Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

Memuatkan ...

23 Mei 2013

Pengarah Tabung Haji Pulau Pinang Didakwa Khalwat Dalam Hotel

Pengarah Tabung Haji Pulau Pinang  dan seorang staf wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di Balik Pulau hari ini atas tuduhan berkhalwat.
   
Lelaki, 46, dan perempuan, 35, dituduh melakukan kesalahan itu di bilik bernombor 328C di sebuah hotel di Kompleks Tabung Haji di Bayan Lepas pada kira-kira jam 6.10 petang 20 Mei lepas.
   
Dia dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala perempuan mengikut Seksyen 27 (b) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
  
Hakim Syarie Mohamed Zaidi Abdullah membenarkan kedua-duanya, masing-masing diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun untuk sebutan semula kes.
  
Kedua-dua mereka diwakili peguam Wan Faridulhadi Mohd Yusoff manakala pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Mohd Zulkhairi Aziz.

Kes Bunuh Sosilawati Lawiya: Pathmanabhan Dihukum Mati


SHAH ALAM - Bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya  dihukum gantung sampai mati selepas disabitkan oleh Mahkamah Tinggi di sini, sebentar tadi, dengan kesalahan membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, hampir tiga tahun lalu.
 
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan semua bukti dan bahan bukti yang dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan yang bermula pada 4 Julai 2011.

Katanya, pendakwaan berjaya membuktikan kes berkenaan melangkaui kerugian munasabah manakala pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Pathmanabhan, 44; T Thilaiyagan, 22; R Matan, 23 dan R Khatavarayan, 33, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot Nombor 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, 30 Ogos 2010. Sosilawati dilahirkan di Sri Medan, Batu Pahat, Johor.

20 Mei 2013

Kursus Pra Perkahwinan 25-26 Mei 2013 di Kluang


Kursus pra perkahwinan akan diadakan pada hujung minggu ini, 25-26 Mei 2013, hari Sabtu dan Ahad di Pejabat Kadi Kluang. Untuk pengetahuan kursus adalah yang terakhir sebelum kursus ini ditukarkan ke format baru mulai 1 Jun 2013. Mulai Jun 2013, berlaku beberapa pindaan di dalam kursus pra perkahwinan seluruh Johor.

Kepada sesiapa yang berminat menyertainya, sila daftar melalui mana-mana kakitangan Pejabat Kadi Kluang atau mendaftar dengan saya melalui email Kadikluang@yahoo.com. Selepas mendaftar, sila datang untuk berkursus di Pejabat Kadi Kluang pada jam 8.00 pagi hari Sabtu 25 Mei ini. Sila bawa bersama duit RM 120 bersama 2 keping gambar. Lelaki berbaju Melayu dan perempuan berbaju kurung. Berseluar jean tidak dibenarkan.

Untuk pengetahuan, kursus ini adalah ganti dari kursus yang sepatutnya berlansung pada 5Mei lalu yang dibatalkan kerana pilihanraya umum lalu. Sila mendaftar awal. Terhad kepada 100 orang peserta sahaja.

Untuk cerita lanjut, sila baca kenyataan dari JAKIM

18 Mei 2013

Rumah Lelong Episod 10 (Gelembong Hartanah)


Alhamdulillah, tulisan saya mengenai lelong rumah dapat menarik minat ramai pembaca dari seluruh negara. Banyak juga soalan melalui FB saya dan blog ini yang saya jawab secara sempoi saja.  Semoga tulisan saya ini memberi sedikit ilmu dan pengetahuan kepada pembaca. Bagaimanapun, saya makin kurang menulis pasal rumah lelong sejak kebelakangan ini. Ada beberapa sebab:

Pertama, rumah lelong makin kurang sekarang, tak macam tahun 2008 dan 2009 waktu saya mula ceburi bidang lelong rumah ini. Kenapa dah kurang? Sebabnya dah tak banyak rumah kena lelong. Kenapa tak banyak kena lelong? Sebab orang bayar pinjaman dia cantik. Ops... bahasa 'cantik' ini salah tapi orang biasa guna perkataan ini. Sebenarnya orang bayar pinjaman ikut jadual bukanlah 'cantik'. Tapi saya dah terpengaruh cakap-cakap orang sekarang.

Yer, betul. Kalau orang bayar bank cantik, maka rumah dia orang tak kena lelonglah. Masa tahun 2007, 2008, 2009 dan pulih semula tahun 2010 dulu, negara kita terkesan dengan kegawatan ekonomi global terutamanya Amerika.  Masa tu Amerika ada krisis hartanah yang dipanggil 'subprima' dan mintak maaflah kalau saya salah eja. Dalam satu ceramah anjuran JCorp tahun 2009, saya tanya penceramah tu apa maknanya subprima. Maka penceramah tu jawablah. Lepas tu masa minum, kawan-kawan saya tanya saya, apa yang saya soal tadi, ramai orang tak tahu apa itu subprima. Saya kata, krisis hartanah di Amerika.

Yang saya faham, subprima lebih kurang begini... iaitu seorang beli rumah dengan cara pinjaman. Lepas tu dia beli hartanah kedua dengan hasil sewaan hartanah pertamanya. Rumah kedua juga buat loan. Lepas tu dia beli hartanah ketiga pula hasil sewaan rumah kedua dengan cara loan juga. Sudah bertahun-tahun lamanya sistem ini berjaya dan pembeli hartanah mendapat keuntungan dengan cara ini. Dalam sebuah buku mengenai hartanah dalam Bahasa Melayu yang ada jual di Badan Cemerlang Angsana JB pun ada cerita taktik beli rumah terutama rumah lelong dengan cara macam ini.

Entah betul entah tak, penulis buku itu cerita, ada seorang Mamat tu ada 30 biji rumah dan tak bekerja. Kerja dia tiap pagi minum teh tarik dan roti canai kedai Osman. Cuma tak diceritalah Mamat ni ada isteri dua ker tiga ker. Mamat ni katanya beli rumah pertama dengan loan, seterusnya beli rumah kedua walaupun dia tak layak buat loan rumah kedua. Tapi kerana dia ada penyata dan bayaran sewa yang tinggi untuk rumah itu, maka dia layak buat loan rumah kedua. Lepas kedua, ketiga dan sampailah 30 biji rumah dia beli. Makan pendapatan dia melebihi 10,000 sebulan tanpa bekerja.

Sistem Runtuh

Mana-manalah sistem dalam dunia ini, tetap ada kelemahan. Akhirnya sistem ini runtuh di Amerika tahun 2008 dan kesannya hingga tahun 2010. Runtuh apabila rumah pertama tidak ada penyewa atau sewanya tidak tinggi. Maka rumah yang lainnya turut jadi beban pada dia. Lepas itu menular ke Eropah dan Singapura. Malaysia ada kesannya terutama di Johor Bahru. Ramai juga kawan saya kena diberhentikan kerja di Singapura dan terpaksa balik kampung. Maka rumah sewa dia di JB tak bayar dan belah begitu saja jer.

Maka tuan punya rumah pun sakit dan susah nak pusing. Bila dia lambat bayar, bank pun taknak tunggu lama-lama. Kalau dibiarkan, bukan seorang dua yang tak bayar, ramai lagi. Maka pelelong pun lelonglah rumah tu. Sebab tu, rumah lelong banyak tahun 2008, 2009 dan 2010 terutama di JB. Alhamdulillah, saya ambil peluang itu dengan beli rumah lelong tahun 2008.

Sekarang, rumah lelong makin kurang tapi bukan tak ada lansung, ada tapi sikit. Apabila sikit, maka pilihan kita kurang dan harga pun tinggi. Ada lelongan yang saya rekmenkan kawan saya masuk lelong di Bandar Baru Uda Jb, harga buka RM 90,000 tapi pemenang lelongan itu dapat dengan harga RM 250,000, cukup tinggi itu. Kawan saya kalah.

Gelembong Hartanah

Ini satu lagi istilah yang saya jumpa dalam pembacaan saya dalam  urusan hartanah. Sekarang ini harga hartanah meningkat dengan begitu ketara. Jangan cakap di JB, di Kluang pun harganya kusssss semangattttt. Nak dibuat contoh, harga rumah yang saya beli tahun 2008 itu dengan harga dalam 79,000. Tapi sekarang ada projek baru tak jauh dari situ, saiz yang hampir sama harganya sudah 290,000. Dari tahun 2008 ke 2013, baru 4 tahun. Terus terang saya cakap, yang harga 290,000 itu, jauh lebih best lokasi rumah saya dan ada banyak faktor lain yang saya kata rumah saya lebih baik pada itu.

Jadi, kita perlu bersedia dengan suasana 'Gelembong Hartanah' yang entah bila akan berlaku. Maksudnya, kalau kita beli rumah terlalu mahal sekarang, kita perlu berwaspada. Kita jangan anggap, kalau harga hartanah sekarang mahal, maka dia akan naik lagi mahal lagi, tidak semestinya. Ini bahaya. Pesan saya, berhati-hati nak beli rumah sekarang. Adalah lebih selamat, kita sewa saja rumah dulu. Nanti, kalau ada rumah yang betul-betul kita tertarik sama ada dengan harganya, lokasinya dan kemegahannya, maka belilah. Kalau nak belipun sekarang, belilah selepas kajian terperinci dibuat.

Kumpul Aset?

Oleh kerana harga rumah yang makin mahal sekarang, kita memerlukan modal kewangan yang besar untuk beli rumah. Kemudian bayaran bulanan kita akan lebih tinggi berbanding kawan kita yang beli rumah 3 tahun dulu. Walaupun mahal rumah kita itu, bank tetap beri kita pinjaman yang tinggi juga. Kemudahan pinjaman ini menjadikan kita leka. Ramai juga yang beli rumah bertujuan untuk buat 'aset' katanya. Tapi pada saya, aset tu aset juga, tapi kalau dengan adanya aset itu, duit tunai kita semakin kurang, tida ada gunanya juga.

Ada orang kata, ada aset, kalau sesak-sesak, nanti boleh jual. Kita perlu ingat, jual rumah ini bukan macam jual goreng pisang atau jual kereta. Ada masanya jual rumah ini payah dan kalau masa dah suntuk, belum sempat kita jual rumah, rumah kita sudah dilelong.

Untung Dengan Hartanah

Ada orang untung dan jadi jutawan kerana bidang hartanah ini. Kalau kita lihat dan kaji sejarah orang ini, kita jadi bersemangat untuk jadi kaya macam dia juga. Memang betul, dia berjaya tapi bukan semua orang yang berjaya kerana hartanah. Ramai juga yang jadi muflis dan bankrupsi kerana dengan sebiji rumah murah. Ingat, sejarah adalah sejarah dan cerita orang adalah cerita orang, nasib kita belum tahu. Perancangan kewangan kita yang sebaik mana pun, kalau Allah Taala tak mahu beri kejayaan pada kita, kita tidak ke mana juga.

Oleh itu, keredhaan Allah itu yang paling penting dalam hidup dan menjamin kejayaan kita di dunia dan akhirat. Jangan sombong dengan jawatan, pangkat dan kekayaan kita kerana itu semua milik Allah yang abadi bukan milik kita. Kalau sekarang kita kaya, kita tanya diri kita, adakah kita sudah wajib bayar zakat harta? Kalau tak tahu, tanyalah pejabat agama atau pejabat yang menguruskan soal zakat. Kalau kita sudah wajib keluar zakat, bayarlah, harta itu bukan milik kita tapi milik orang fakir miskin dan asnaf-asnaf zakat yang lain. Dan jangan lupa bersedekah kerana ramai orang Islam yang hidup susah dan bergembira serta mendoakan kita kalau kita beri sedekah padanya. Insya Allah, doa orang susah yang kita bantu itu akan menggandakan harta dan rezeki kita serta menjadikan harta kita berkat.

Seronok Bercerita

Janganlah beli rumah sekadar nak bercerita dengan kawan-kawan yang kita ada rumah. Atau untuk panggil open house raya nanti nak tunjuk rumah baru. Atau kita ini seorang pegawai, kita rasa malu sedangkan bukan pegawai pun ada ada rumah, kita belum ada. Perkara seperti ini saya dah lalui, pelbagai sindiran masyarakan saya dah dengar, saya buat tak tahu saja sebab orang tak tahu apa perancangan kewangan saya, masalah kewangan saya dan beban kewangan saya.

Jangan Gelojoh

Pada saya, dalam mengurus kewangan kita tidak boleh boros, menunjuk-nunjuk atau terikut-ikut dengan gaya hidup mewah orang lain yang mungkin ada kemewahan lebih pada kita. Kita hendaklah menapak langkah demi langkah, rancangan kewangan kita dengan betul, kemudian barulah dapat mencapai target atau cita-cita kewangan kita. Janganlah kerana gelojoh hendak hidup mewah cepat sedangkan kita dibebani hutang keliling pinggang yang mengelembong. Satu masa nanti, belon yang mengelembong itu boleh pecah atau meletup, hidup yang kita bina selama ini boleh musnah, hancur berkecai.

........BERSAMBUNG KE EPISOD 11
Baca dari Episod 1, klik sini 

17 Mei 2013

Siapa Pelakon Lelaki Terkenal Ditangkap Khalwat?


Seorang pelakon lelaki terkenal tempatan ditangkap khalwat oleh sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sebuah unit Apartment Taman Sri Subang di Shah Alam semalam.
  
Pelakon berusia 25 tahun itu, yang pernah bertunang pada Disember tahun lepas, ditahan pada jam 3.30 pagi selepas pasukan penguatkuasa mendapat maklumat daripada orang awam.
  
Pengarah Jais Datuk Marzuki Hussin, dalam satu kenyataan hari ini, mengesahkan bahawa pelakon itu, yang sudah bertunang Disember lepas, ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jais berdasarkan maklumat awam.
  
"Dia ditahan mengikut Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995," katanya.

10 Mei 2013

Isteri Benarkan Suami Kawin Dengan Janda Anak Lima


Lelaki 30-an kerja di sebuah kilang dengan pendapatan lebih kurang RM 1,800 sebulan. Dia sudah punyai isteri 30-an kerja kilang gaji dalam 1,000 dan 3 orang anak. Dia kata dia bahagia dengan isterinya tetapi di tempat kerja, dia 'miang-miang' dengan seorang janda.

Janda ini 30-an, anak lima, satu kilang  dengannya. Lelaki mengenali perempuan ini sejak arwah suaminya masih hidup lagi. Sejak kematian suami, lelaki ini begitu mengambil berat tentang wanita ini dan kelima-lima anaknya. Mereka merancang nak nikah.

Beritahu Isteri Pertama

Mana tak mengamuknya isteri pertama bila suami dia kata nak nikah lagi. Tapi lelaki ini nekad juga nak nikah. Akhirnya, isteri dia benarkan juga suami dia nikah dan pergi ke mahkamah syariah. Hakim menetapkan secara bertulis, bayaran nafkah bulanan yang perlu diberikan kepada isteri pertama selepas berkahwin nanti. Bernikahlah lelaki anak 3 ini dengan janda anak 5 pada hari Jumaat yang mulia hari ini.

09 Mei 2013

Isteri Pertama Desak Ceraikan Isteri Kedua

d
Lelaki ini umur 50-an, kerja swasta, gajinya dalam 5,000. Dia sudah ada isteri dan 5 orang anak, dua orang menantu dan seorang cucu. Isteri pertama kerja swasta. Kehidupan suami isteri ini bahagia katanya.

 Lelaki ini mengenali seorang perempuan janda, kerja kerajaan, gaji dalam 5,000. Perempuan yang dikenali ini umur 40-an, berstatus janda dan mempunyai 2 orang anak. Dalam 2 tahun berkenalan, lelaki dan janda ini semakin rapat dan merancang untuk bernikah. Lelaki ini tanpa berselindung, memperkenalkan perempuan ini kepada isterinya dan berhasrat untuk bernikah. Ini ditentang hebat oleh isteri dan anak-anak. Kecuali cucu saja tak menentang sebab masih kecil lagi, cuma menangis kalau pampers dia basah saja, bukan menentang tu.

Nikah Juga

Oleh kerana dah tak tahan, akhirnya lelaki dan perempuan ini bernikah juga senyap-senyap. Pada anggapan dia, apa-apa hal nikah dulu. Tak tahulah dia dapat nasihat dari siapa ni. Nanti apa nak jadi, itu belakang kira.

Mula cadang, lepas nikah nak rahsiakan, tapi rupanya tak berapa boleh nak rahsia. Mana nak rahsianya, isteri pertama dan kedua dalam daerah yang sama, daerah ini pun bukanlah besar sangat. Dalam seminggu selepas nikah, akhirnya isteri dan anak-anak dia tahu, kira dah pecah tembelanglah. Berlakulah perang yang dahsyat juga.

Suruh Ceraikan

Diringkaskan cerita, suami tak berupaya bertahan lama dan akhirnya terpaksa mengaku kalah. Dia telah membawa isteri pertama dan  anak-anak berjumpa isteri keduannya. Di situ juga dia melafazkan cerai kepada isteri kedua. Katanya, dia mencerikan dengan rela hati setelah memikirkan semasak-masak telur mentah masaknya. Maknanya, pernikahannya dengan isteri kedua hampir sebulan saja.

06 Mei 2013

Keputusan Penuh Pilihanraya 2013: Parlimen Johor



P.140 – SEGAMAT
SUBRAMANIAM A/L K.V SATHASIVAM (BN) – 20,037
DATO CHUA JUI MENG (PKR) - 18,820
P.141 – SEKIJANG
 JULAILEY BIN JEMADI (PKR) – 16,927
 ANUAR BIN ABD. MANAP (BN) – 19,934

P.142 – LABIS
RAMAKRISHNAN A/L SUPPIAH (DAP) – 15,468
CHUA TEE YONG (BN) – 15,821
P.143 – PAGOH
MAHIADDIN BIN MD YASIN (BN) – 26,274
MOHAMAD ROZALI BIN JAMIL (PAS) – 13,432

P.144 – LEDANG
HAMIM BIN SAMURI (BN) – 30,619
HASSAN BIN ABDUL KARIM (PKR) – 28,652
P.145 – BAKRI
LEE CHING YONG (BN) – 26,051
ER TECK HWA (DAP) -  31,118

P.146 – MUAR
NOR HIZWAN BIN AHMAD (PKR) – 19,221
 RAZALI BIN IBRAHIM (BN) – 20,867

P.147 – PARIT SULONG
KHAIRUDDIN BIN A RAHIM (PAS) – 18,505
 NORAINI BINTI AHMAD(BN) – 30,258

P.148 – AYER HITAM 
HU PANG CHAW (PAS) – 14,735
 WEE KA SIONG (BN) – 22,045

P.149 – SRI GADING
MOHD KHUZZAN BIN ABU BAKAR (PKR) -  16,692
 AB AZIZ BIN KAPRAWI (BN) – 22,453

P.150 – BATU PAHAT
MOHD IDRIS BIN JUSI (PKR) – 38,667
MOHD PUAD BIN ZARKASHI (BN) – 36,935
  P.151 – SIMPANG RENGGAM
 SUHAIZAN BIN KAIAT(PAS) – 14,048
LIANG TECK MENG (BN) -  19,754

P.152 – KLUANG
HOU KOK CHUNG (BN) – 33,215
LIEW CHIN TONG (DAP) -  40,574

 P.153 – SEMBRONG 
 HISHAMMUDDIN BIN DATUK HUSSEIN (BN) – 22,841
ONN BIN ABU BAKAR (PKR) - 12,210

P.154 – MERSING
ROSLAN BIN NIKMAT (PAS) – 10,437
 ABD. LATIFF BIN AHMAD (BN) – 26,184

P.155 – TENGGARA
 HALIMAH BINTI MOHD SADIQUE (BN) – 25,698
MUHAMAD SAID BIN JONIT(PAS) – 8,502

P.156 – KOTA TINGGI
 ONN BIN JAAFAR (PAS) – 5,799
 NOOR EHSANUDDIN BIN MOHD HARUN NARRASHID (BN) – 30,373

P.157 – PENGERANG
TENGKU INTAN BINTI TENGKU ABDUL HAMID (PKR) – 4,484
AZALINA BINTI OTHMAN (BN) -  26,992
 MOHD AZAMAN BIN JOHARI (BEBAS) – 795

P.158 – TEBRAU
CHOONG SHIAU YOON (PKR) – 38,218
KHOO SOO SEANG (BN) – 39,985

P.159 – PASIR GUDANG
 AHMAD FAIDHI BIN SAIDI (PKR) – 42,899
 NORMALA BINTI ABDUL SAMAD (BN) – 43,834

P.160 – JOHOR BAHRU
SHARIL @ SHAHRIR BIN AB SAMAD (BN) – 44,285
MD HASHIM BIN HUSSEIN (PKR) – 34,151

P.161 – PULAI
NUR JAZLAN BIN MOHAMED (BN) – 43,751
SALAHUDDIN BIN AYUB (PAS) – 40,525
P.162 – GELANG PATAH
A. GHANI BIN OTHMAN (BN) – 39,522
LIM KIT SIANG (DAP) – 54,284
P.163 – KULAI
TEO NIE CHING (DAP) – 43,338
TAY CHIN HEIN (BN) – 29,888
SURENDIRAN A/L KUPPAYAH (BEBAS) – 238
P.164 – PONTIAN
HANIFF @ GHAZALI BIN HOSMAN (PKR) – 14,077
 AHMAD BIN MASLAN (BN) – 27,804

P.165 – TANJONG PIAI
    WEE JECK SENG (BN) – 25,038
AHDZIR BIN IBRAHIM (DAP) -  19,581

03 Mei 2013

Khalwat Dalam Hotel


BATU PAHAT - Seorang penjawat awam wanita  ditahan bersama pasangannya di salah sebuah hotel bajet  sekitar daerah ini dalam  operasi cegah maksiat, awal pagi semalam.

Wanita terbabit yang  bekerja di utara tanah air merayu kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) Daerah Batu Pahat supaya tidak ditahan  dalam serbuan itu.

Dia turut mengaku baru sahaja selesai melaksanakan undian awal bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan memberi alasan bimbang untuk pulang sekaligus mendorongnya mendaftar masuk hotel bajet berkenaan bersama teman lelakinya.
“Kes ini akan melibatkan kerjaya saya. Tak bolehkah kita 'settle' tepi bang,” katanya.

Timbalan Penguatkuasa JAIJ Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, wanita berusia 20an itu  didapati berada dalam keadaan yang mencurigakan bersama pasangannya.

Menurutnya, anggota dan pegawai penguatkuasa juga terpaksa menunggu beberapa minit sebelum pasangan berkenaan membuka pintu bilik hotel bajet tersebut.

“Semasa pintu bilik berkenaan dibuka, kami menemui seorang lelaki hanya memakai tuala, manakala pasangannya memakai pakaian lengkap.

“Pemeriksaan lanjut  mendapati, mereka ini tidak mempunyai hubungan yang sah dan turut menyatakan baru sahaja berkenalan sekitar enam bulan lalu serta berhasrat  untuk bernikah.

“Pada awalnya, pelbagai alasan diberikan pasangan itu terutama wanita terbabit  kerana bimbang penahanan itu akan memberi kesan  kepada kerjayanya sebagai  penjawat awam,” katanya.

Saiful Ariffin berkata, pasangan terbabit ditahan untuk tindakan selanjutnya kerana berada dalam keadaan berkurung di dalam bilik hotel dan melakukan perkara yang mencurigakan.

Jelasnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika disabitkan kesalahan kedua mereka bakal berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua- duanya sekali.

“Pasangan berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi siasatan lanjut sebagai pengajaran kepada mereka.

“Semua pihak dinasihatkan tidak melakukan maksiat atau berada dalam keadaan mencurigakan bagi mengelak ditahan. JAIJ akan terus mengadakan lebih banyak serbuan dan pemeriksaan bagi memastikan daerah ini bebas  daripada maksiat,” katanya.

(Dipetik dari akhbar Sinar Harian)

PRU13: Kenapa Johor Negeri PANAS? (Episod 8)


Selepas saya cerita kecenderungan pengundi Cina di Johor, perlu saya ulas sikap pengundi Melayu pula. Saya nak bahagikan antara kawasan felda, kampung, taman perumahan, pinggir bandar dan bandar. Saya berpendapat, lebih 90% pengundi Melayu di kawasan felda akan mengundi BN, malah boleh mencapai nisbah 95 peratus di Johor kali ini. Bagi kawasan kampung pula, BN boleh mendapat 80% sokongan. Bagaimanapun di kawasan taman perumahan, pinggir bandar dan bandar, sokongan terhadap BN menjadi sedikit tandatanya. Di Johor sekarang semakin banyak kawasan bandar dan taman baru yang sikap pengundinya sukar diramal.

Ramai Datang Ceramah Pakatan Rakyat

Kehadiran kepada ceramah PR sejak akhir-akhir ini semakin mendapat sambutan orang taman dan bandar. Di kampung dan felda, sambutannya tidaklah begitu hebat. Memang betul, kehadiran orang mendengar ceramah belum tentu mereka akan menjadi pengundi PR. Tetapi kesungguhan mereka mendengar ceramah PR dengan duit minyak sendiri, tiada jamuan makan dan sanggup bersesak-sesak dalam mendengar ceramah PR, menunjukkan mereka berpotensi menjadi pengundi PR. 

Gambar-gambar yang kita lihat di internet dan youtube, dapat kita nilai dan kira tahap sokongan mereka kepada PR. Contohnya, semalam ceramah yang dihadiri oleh Anwar Ibrahim di dua lokasi di Johor Bahru iaitu Sutera Mall Skudai dan sebelah stadium Larkin, menunjukkan PR semakin mendapat sokongan kuat di negeri Johor. Suasana sebegini tidak dilihat pun pada tahun 2008 dulu.

Ramalan Saya, Kawasan BN Boleh Menang

Dalam keadaan sekarang, sukar diramalkan sesuatu kerusi itu siapa yang menang antara BN dan PR di Johor. Kalau dulu, tahun 1986 dan sebelumnya, kalau PAS bertanding di Johor kebanyakannya hilang wang pertaruhan. Tahun 1990, barulah sokongan kepada PAS meningkat sedikit selepas bergabung dengan parti S46 di Johor. Satu yang mengejutkan adalah tahun 2004 apabila PAS menang tanpa bertanding di DUN Sengarang Batu Pahat apabila calon BN melakukan kesalahan teknikal dan ditolak pencalonannya. Orang pandang sinis kemenangan satu kerusi kerana kemenangan itu bukan kerana berlawan tapi menang percuma.

Tahun 2008, beberapa hari lagi hendak mengundi, saya duduk dengan kawan saya di kedai mamak minum teh tarik. Kawan saya itu adalah penyokong kuat BN di Muar. Saya meramalkan pada kawan saya tu yang DUN Sungai Abong, BN bakal kalah kepada PAS. Kawan saya tidak percaya kerana terlalu  ghairah dengan kekuatan BN di Johor. Malah, katanya, BN akan sapu bersih kerusi di Johor dalam pilihanraya 2008. Saya kata, calon PAS di Sungai Abong iaitu Dr Syeikh Ibrahim adalah seorang yang terkenal dan sudah dua kali bertanding sebelum ini tapi tewas dengan Dr Haris  dari BN. 

Saya kata, BN melakukan kesilapan kerana tidak mencalonkan Dr Haris Saleh juga seorang doktor terkenal di Muar. Sebagai orang Muar, saya kenal sangat dengan dua orang doktor ini yang selayaknya diangkat sebagai calon di Sungai Abong. Bila keputusan diumumkan, memang benar, PAS menang di Sungai Abong dengan majoriti lebih 1500 undi. Kawan saya ini menelefon saya sebelum keputusan DUN Sungai Abong diumumkan dan ucap tahniah kerana ramalan saya tepat. Bukan itu saja, PAS menang secara bermaruah di DUN Maharani melalui calonnya Dr Muhamad Taslim, iaitu DUN yang bersebelahan dengan DUN Sungai Abong.

Jadi, pada pilihanraya 2013 ini, BN sudah serik dengan kekalahan di Sungai Abong dan mencalonkan semula Dr Haris Salleh sebagai calon BN berentap dengan Dr Sheikh Ibrahim. Saya meramalkan peluang nak menang adalah 50-50 di DUN Sungai Abong.


Kerusi Parlimen Selamat BN

Kali ini, saya cuma berani meramalkan beberapa kerusi parlimen yang BN boleh menang mudah. Di Mersing saya meletakkan peluang BN menang mengatasi PR adalah 70-30. Di Kota Tinggi antara BN dan PR adalah 95-5. Di Tenggara 80-20 dan Pengerang 70-30. Kesemua kerusi ini, BN dijangka mendapat majoriti yang sangat besar. 

Bagi parlimen Semberong yang ditandingi Dato Seri Hishamudin Tun Husin pula BN dijangka menang dengan nisbah 60-40 antara BN dan PR. Di parlimen Pagoh yang ditandingi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, BN dijangka menang dengan nisbah 60-40 antara BN dan PR.

Bagi kerusi parlimen Parit Sulong yang ditandingi oleh Datuk Noraini Ahmad, nisbah kemenangan BN mengatasi PR adalah 65-35. Saya membuat ramalan atau jangkaan ini bukanlah secara kajian dari jauh tapi ada alasan tertentu termasuklah kawasan yang saya selalu pergi. Anggaplah ini sebagai ramalan peribadi saya saja, tidak dipengaruhi sesuatu pihak.

Kawasan Lain?

Di atas tadi, saya hanya meramalkan 7 kerusi yang saya jangka BN  menang. Tapi bagaimana dengan baki 19 kerusi parlimen lagi? Sebenarnya, soalan ini sukar untuk saya jawab dalam situasi politik Johor sekarang. Bukan saya tak mahu jawab, tapi saya sendiri begitu susah untuk mencari jawapan terbaik. Dengan kata lain, kesemua 19 kerusi itu adalah kerusi yang PANAS dan menjanjikan perebutan yang sengit. Suasana tahun 2008 dengan 2013 sudah banyak berubah di Johor.

..........BERSAMBUNG KE EPISOD 9

01 Mei 2013

PRU13: Kenapa Johor Paling PANAS? (Episod 7)


Lim Kit Siang pasti telah membuat kajian terperinci sebelum datang ke Gelang Patah. Kalau kita kaji, kalau dia ingin menang selesa, lebih baik dia kekal di Ipoh Timur saja atau pergi ke Pulau Pinang, Selangor atau Kuala Lumpur yang harapan menang lebih cerah. Tetapi kenapa Kit Siang pilih Gelang Patah?

Hendakkan Gelang Patah Milik DAP

Perselesihan yang berlarutan antara DAP dan PKR dalam merebut kerusi Gelang Patah akhirnya dimenangi DAP apabila DAP mengemukankan calon kuat iaitu Kit Siang. Pada saya, kalaulah sekadar orang biasa yang dihantar DAP, mana mungkin Anwar Ibrahim bersetuju menyerahkan kerusi itu kepada DAP. Nama Kit Siang lebih hebat dari Jui Meng.

DAP Terperangkap?

Ada kemungkinan juga Kit Siang dan DAP tersilap dalam percaturannya bertanding di Gelang Patah yang hanya mempunyai 52% pengundi Cina, 34% Melayu dan 12% India. Kalau ikut kajian lampau di Johor, dalam kedudukan pengundi berdasarkan kaum seperti ini, peluang untuk DAP menang adalah sukar. Lebih sukar lagi apabila Kit Siang terpaksa bertarung dengan calon BN Dato' Seri Abdul Ghani Othman, MB Johor sekarang yang menjadikan laluan Kit Siang semakin payah.

Saya nampak, Abdul Ghani akan mendapat sokongan tidak berbelah bagi dari pengundi Melayu. Sokongan dari pengundi India pun akan kuat iaitu melebihi sokongan mereka pada tahun 2008 terhadap BN. Pengundi Cina yang menilai 'politik pembangunan' dan mengenang jasa Abdul Ghani sebagai MB yang banyak membawa kemajuan kepada Gelang Patah, sudah tentu memilih BN.

Gelang Patah dalam tahun awal 90-an dulu adalah pekan 'koboi' yang terpencil tetapi telah meningkat maju dengan mendadak selepas terbinanya Nusajaya, Pelabuhan Gelang Patah, Laluan Kedua Ke Singapura, Legoland dan sebagainya. Secara lansung, peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan meningkat. Kerajaan juga terus merancang untuk membawa kemajuan berterusan di Gelang Patah selepas ini. Pengundi Cina juga mengenang jasa Abdul Ghani kerana peluang perniagaan semakin banyak di kawasan ini. Johor diibaratkan sebagai tarikan kepada pelabur-pelabur dalam dan luar negara dengan projek Iskandar Malaysia yang berada di dalam parlimen Gelang Patah. 

Lawannya Bukan MCA, Bukan Gerakan

Kit Siang tidak pernah menjangka yang parlimen Gelang Patah akan diserahkan dari MCA kepada UMNO tapi rupanya diserahkan kepada UMNO juga. Apabila diumumkan Abdul Ghani sebagai calon, Kit Siang tidak boleh berundur atau membatalkan hasratnya untuk terus bertanding di situ. Kit Siang yang umum awal. Mungkin ada kesilapan strategi dari pihak DAP.

Dalam sejarah pilihanraya Kit Siang, beliau selama ini bertembung dengan MCA dan Gerakan sahaja tetapi belum pernah bertarung dengan calon Melayu dari UMNO. Jadi, isu-isu atau strategi Kit Siang selama ini mengalahkan calon bangsa Cina BN, adalah tidak sesuai dalam menghadapi calon UMNO di Gelang Patah. Sekiranya Kit Siang tidak mengubah cara berpolitiknya seperti sebelum ini, Kit Siang boleh tewas di Gelang Patah.

Sejarah Tahun 2008
Cuma pada tahun 2008, majoriti yang diperolehi DAP di DUN Skudai adalah 12,854 dan kekalahan PAS di DUN Nusajaya adalah 7,384. DAP merasakan, kalau kerusi parlimen ditandingi DAP yang meletakkan calon bangsa Cina tahun 2008, DAP boleh mencatat kemenangan majoriti dalam 5,000. Tapi jangan lupa, tahun 2008 pengundi Cina di sini adalah 58% telah merosot kepada 52% sahaja tahun ini. Ini berikutan kemunculan taman-taman perumahan baru di sana yang ramai dibeli oleh orang Melayu. 


Kluang

Seorang pemimpin muda DAP dari Pulau Pinang iaitu Liew Chin Tong   dibawa bertanding ke parlimen Kluang. Beliau yang menang besar dan selesa di Bukit Bendera tahun 2008 dengan majoriti lebih 16,000, sanggup bertandang di kerusi sukar di Kluang, menunjukkan semangat juang yang tinggi pemimpin DAP ini. Ikut sejarah, DAP pernah menang parlimen Kluang tahun 1978 yang waktu itu majoriti pengundi Cina adalah tinggi di Kluang. Sekarang di Kluang pengundi Cina 49%, Melayu 39% dan India 9%. Bermakna, kalau sekadar undi dari pengundi Cina sahaja, DAP pasti akan kalah.

Di Kluang sekarang, Liew Chin Tong begitu rapat mendampingi pengundi Melayu dan kerjasama dengan PAS dikatakan cukup baik. Kempen-kempen melalui ceramah, facebook, lawatan, pengedaran risalah, begitu giat dilakukan. Dari segi personaliti, Chin Tong bukanlah seorang tokoh besar dalam DAP tetapi kemunculannya di Kluang mendapat sambutan hebat juga terutama masyarakat Cina berikutan sikap 'peramah' serta mudah bergaul beliau. Lawan Chin Tong di Kluang adalah Datuk Dr Hau Kok Chung, seorang timbalan menteri pengajian tinggi yang lebih dikenali masyarakat, dihormati dan banyak berjasa kepada masyarakat Kluang.

Oleh itu, isu yang dibawa di parlimen Kluang adalah calon BN anak jati Kluang sedangkan calon DAP adalah orang luar yang tak mengetahui masalah orang Kluang. Kempen DAP pula lebih kuat kepada isu nasional melalui slogan 'UBAH'. Siapa yang bakal menang di parlimen Kluang? Saya meletakkan peluang sama kuat kali ini ialah 50:50. Tidak seperti tahun 2008 peluang BN menang mengatasi DAP adalah 65:35.

Kulai

Seorang lagi pemimpin yang dibawa masuk DAP adalah seorang wanita, Teo Nie Ching yang pada tahun 2008 menang besar majoriti 21,000 di parlimen Serdang Selangor. Nie Ching berasal dari Batu Pahat, Johor tetapi menetap di Selangor. Parlimen Kulai mempunyai 56% pengundi Cina, 33% Melayu dan 10% India, menjanjikan saingan yang hebat antara BN dan DAP di sini.

Dengan kehadiran 3 orang kuat DAP di Johor ini, maka sokongan pengundi Cina kepada DAP meningkat begitu ketara. Cuma, seorang lagi pemimpin terkenal DAP iaitu M.Kulasegaran dari Ipoh Barat yang mulanya disebut-sebut dan ditunggu-tunggu akan turut sama berjuang di Johor, tidak jadi kenyataan, tetapi kekal di parlimen Ipoh Barat. Bagaimanapun, M.Kula turut bersama pemimpin DAP lain berkempen di Johor terutama kepada pengundi India.

Kehadiran Chua Jui Meng dari PKR di Segamat, dilihat mendapat sokongan yang kuat di sana. Maka, kehadiran pemimpin berpengaruh berbangsa Cina di Segamat, Bakri (DAP menang tahun 2008),  Kluang, Kulai dan Gelang Patah, bermakna sudah menyeluruh dari utara Johor, seluruh pantai barat Johor dan selatan. Hanya daerah seperti Mersing dan Kota Tinggi di pantai timur Johor tidak menjadi tumpuan DAP kerana jumlah pengundi Cina tidak begitu tinggi. Bagaimanapun, berdasarkan sokongan, pengundi Cina di seluruh Johor bakal memberikan undi yang tinggi kepada PR nanti.

Sekiranya undi pengundi Cina mencapai 75% kepada PR dalam pilihanraya kali ini, maka  kedudukan BN di Johor adalah tidak selesa. Tidak mustahil juga sokongan pengundi keturunan Cina di Johor terhadap PR akan meningkat melebihi 75% menjelang hari-hari terakhir berikutan kempen berterusan PR. Dalam keadaan ini, suasana di Johor sekarang boleh menyamai suasana pilihanraya 2008 di Perak dan Selangor kerana jumlah pengundi Cina yang besar dan melibatkan sebahagian besar kerusi parlimen dan DUN. Inilah PANASnya politik Johor yang kali ini saya bincangkan mengenai pengundi Cina.

............BERSAMBUNG KE EPISOD 8.klik sini

PRU13: Kenapa Politik Johor PANAS? (Episod 6)


Johor mempunyai 26 kerusi parlimen dan 56 kerusi DUN. Sekiranya PR bercita-cita besar kononnya hendak menawan Malaysia, mereka tidak boleh melupakan negeri Johor. 26 parlimen itu bukan sedikit. Oleh itu, PR perlu melakukan 'menggempur' ke negeri-negeri seperti Johor, Sabah dan Sarawak yang selama ini sebagai kubu kuat BN yang sukar ditembusi.

PAS Hantar Salahudin Ayub

Seperti saya ceritakan dalam episod yang lepas, PAS 'menghalau balik' Salahudin Ayub ke Johor sebagai langkah pertama. Yang saya lihat, moral PAS meningkat dengan begitu ketara dengan kehadiran Salahudin ini. Serba sedikit, kekuatan PAS dan PR bertambah dan membuka lebaran baru menariknya politik Johor. Gandingan Salahudin dan pengerusi PKR Johor, Chua Jui Meng nampaknya ada keserasian.

Lim Kit Siang ke Johor

Anwar Ibrahim mengumumkan Lim Kit Siang bertanding atas tiket DAP di Parlimen Gelang Patah telah menyebabkan sokongan orang Cina terhadap PR melonjak dengan begitu ketara. Saya anggap pilihanraya 2013 ini, pertarungan di Parlimen Gelang Patah antara Dato' Seri Abdul Ghani Othman dan Lim Kit Siang adalah yang terhebat di Malaysia. Malah, saya anggap, pertarungan ini adalah pertarungan paling hebat politik Malaysia sejak negara merdeka tahun 1957. Kenapa jadi hebat dan PANAS?

Pertarungan Terhebat

Sebelum ini, iaitu tahun 2008, orang Cina Johor tidak seperti orang Cina Selangor, Perak dan Penang dalam menyokong PR. Di Johor tahun 2008, orang Cina hanya menjadi menyokong kuat DAP pada kerusi yang ditandingi oleh DAP. Sebab itu, DAP boleh menang 4 kerusi DUN Johor dan 1 parlimen di Bakri. Malah, di beberapa tempat, calon DAP tidak diterima oleh orang Cina kerana mereka melihat calon MCA yang lebih baik. Antaranya kekalahan DAP di Kulai kerana MCA meletakkan Presiden MCA Ong Ka Ting dan di Labis apabila MCA meletakkan anak Chua Soi Lek. Tapi itu dulu iaitu tahun 2008.

Dalam masa 5 tahun, politik orang Cina Johor sudah banyak berubah. Antaranya, orang Cina Johor kebanyakannya bukanlah betul-betul berasal dari Johor. Ramai orang Cina yang ada di Johor ini berasal dari negeri seperti Perak dan Penang. Mereka banyak berhijrah ke Johor kerana berniaga di Johor atau bekerja di Singapura. Semasa perayaan Tahun Baru Cina, ramai orang Cina yang menyambutnya di utara. 

Politik Pulau Pinang yang dipimpin DAP dan PR banyak memberi ruang kepada orang Cina berfikir dan menilai secara perbandingan antara DAP dan BN. Bagi negeri Perak pula, mereka melihat kepimpinan seorang MB PAS boleh bekerjasama dengan DAP sebagai suatu yang 'menakjubkan'. Pergolakan politik Perak sehingga membawa kepada kejatuhan PR dan DAP di Perak telah menaikkan minat orang Cina mengikuti dunia politik Perak.

Sendiwara Politik Lim Kit Siang?

Saya nak cerita satu perkara tentang gaya Kit Siang berpolitik sebelum ini. Antara saya nak cerita adalah 'politik simpati' Kit Siang dan saya akui beliau seorang yang handal dalam sendiwara ini. Kedatangan Kit Siang ke Gelang Patah tahun ini, dapat saya sahkan sekali lagi, bahawa beliau memang seorang 'pelakon' politik yang hebat. Kekadang saya terfikir, bahawa 'lakonan' dalam politik ini memang perlu ada tetapi dengan gaya masing-masing.

Politik Kit Siang

Saya akui Kit Siang seorang yang handal dan punyai rekod yang cemerlang dalam pilihanraya sebelum sebelum ini. Beliau berasal dari Batu Pahat, Johor. Tapi beberapa negeri yang beliau bertandang, beliau mendapat menang besar iaitu di Selangor, Melaka, Penang dan Perak. Sekarang pada usia 70-an ini, beliau balik ke negeri asalnya Johor. Apakah tujuannya ?

Pada tahun 1990, DAP bersama S46 bercita-cita besar menawan Pulang Pinang yang dinamakan 'Projek Tanjong'. Kekuatan di antara BN dan DAP/S46 waktu itu dianggap seimbang. DAP dijanjikan jawatan Ketua Menteri sekiranya berjaya menawan Pulau PInang waktu itu. Suatu yang menarik, Lim Kit Siang turun bertandang ke Pulang Pinang dan mencabar Ketua Menteri waktu ini, Dato' Lim Chong Eu di DUN Padang Kota. Yang mengejutkan, Lim Kit Siang menang dan berjaya mengalah Chong Eu tokoh terkenal waktu itu. Tetapi DAP gagal menawan Penang, cuma menafikan majoriti 2/3 sahaja.

Politik simpati yang saya nak cerita ini, sebelum hari pengundian, Kit Siang mencari simpati dari pengundi di sana. Iaitu, katanya, sekiranya beliau kalah, beliau akan bersara dari politik dan DAP akan lemah dan mungkin terus berkubur selepas itu. Isu ini tidak semestinya disebut atau diucapkan oleh beliau sendiri tetapi pelbagai kaedah penyampaian boleh dilakukan. Sentimen sebegitu yang dimainkan oleh Kit Siang telah menyebabkan beliau menang dalam pertarungan 'berani mati' itu.

Projek Tanjong 2

Tahun 1995 pula, sekali lagi DAP/S46 bercita-cita menawan Penang dalam projek "Tanjong 2". Kali ini, Kit Siang secara berani mencabar Ketua Menteri, Koh Tsu Koon. Kalau lihat kekuatan DAP waktu itu, tidaklah sekuat tahun 1990 tetapi Kit Siang tetap juga mahu berentap dengan ketua menteri. Seperti biasa, Kit Siang merayu simpati supaya pengundi bersimpati dengannya. Dan beliau mengistiharkan akan bersara dari politik sekiranya kalah dengan Tsu Koon waktu itu.

Kit Siang Tewas 

DAP dan sekutunya tidak kuat tahun 1995 dan Kit Siang Tewas dengan Tsu Koon yang lebih junior darinya. Maka, janji perlu ditunaikan iaitu bersara dari politik. Kit Siang mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Setiausaha Agong DAP dan katanya hendak bersara terus. Bagaimanapun, katanya, ahli DAP meratapi pemergian seorang tokoh besar ini. Katanya, desakan banyak yang mahukan Kit Siang terus menerajui DAP dan menarik balik hasratnya meletakkan jawatan. 

Masihkan kita ingat lagi peristiwa ini ? Kali ini, dalam pertembungan di Gelang Patah, tidak mustahil sentimen seperti ini ditiup. Contohnya, dalam usia 70-an Kit Siang menagih simpati pengundi untuk beliau mengakhiri politiknya selama ini dengan rekod cemerlang. Atau, kalau dia kalah di Gelang Patah, maka padamlah rekod baiknya yang sudah dibina sebelum ini. Atau slogan 'ini kalilah Ubah' maksudnya kalau tak lakukan kali ini, peluang selepas ini tidak ada lagi. Kalau kita fikir secara logik, kenapa tidak ada peluang lagi selepas ini? Tidakkah kita terfikir, ini memang peluang terakhir kepada Kit Siang yang saya rasa mustahil beliau nak bertanding lagi 5 tahun lagi atas faktor usia yang dah masuk usia emas.

 Inilah yang saya gambarkan sebagai politik simpati Kit Siang dalam mendapat undi. Maafkan saya, saya bukan nak mengkritik Kit Siang, cuma 'terpesona' dengan gaya politik beliau, bagai kita sedang  memandu kereta proton Pesona. Orang-orang politik lain, tidak kira apa parti, saya rasa perlu juga berpolitik secara begini untuk meraih undi.

Memang PANAS politik Johor kali ini. Yang saya dengar, malam ini pula, 1 Mei 2013, katanya Anwar Ibrahim, Kit Siang, Salahudin Ayub, Jui Meng dan lain-lain orang kuat PR turun ke tempat letak kereta Sutera Mall Skudai dalam kempen politik yang semakin menyemarakkan PANASnya politik Johor.

..... BERSAMBUNG KE EPISOD 7, klik sini

PRU13: Kenapa Johor Negeri Paling PANAS? (Episod 5)


Saya nak buat perbandingan antara politik Johor dengan negeri Perak dan Selangor. Tahun 2008, tidak siapa menjangka Perak dan Selangor jatuh kepada Pakatan Rakyat(PR). Kalau ada ramalan pun, hanya sekadar meletakkan untuk PR menafikan majoriti 2/3 BN sahaja. Tapi apabila keputusan 2008 diumumkan, PR menang dan berjaya membentuk kerajaan negeri.

Kalau kita lihat, di Johor jumlah pengundi Cina yang agak besar di semua DUN dan parlimen, hampir-hampir sama dengan negeri Perak dan Selangor. Malah, kehadiran pengundi Cina di Johor lebih menyeluruh di setiap parlimen dan DUN. Mengenai setiap parlimen dan DUN pula, lebih banyak kerusi campuran antara Melayu, Cina dan India seperti di Selangor dan Perak. Ini menjadikan parti yang dapat diterima oleh pelbagai kaum akan menjadi pemenang pilihanraya 2013 ini nanti. Kalau harapkan satu kaum sahaja seperti Melayu sahaja yang menyokong, di Johor nampaknya hanya boleh berjaya satu dua kerusi sahaja.

Bagi kerusi yang ramai pengundi Cina pula, Johor tidak ada kerusi parlimen yang mempunyai lebih 60 peratus pengundi Cina, tidak seperti di Perak dan Selangor. Bagi DUN pula, hanya satu dua sahaja yang mempunyai pengundi Cina lebih 60 peratus. Pengajaran bagi DAP di Johor, mereka tidak boleh naik sendirian dalam  politik Johor tanpa sokongan rakan mereka PAS dan PKR untuk menarik pengundi Melayu.

Politik Perak

Tahun 2013 ini, antara BN dan PR, siapakah yang bakal berkuasa di Perak?  Politik Perak jadi menarik selepas PR iaitu PAS, PKR dan DAP menang di Perak tahun 2008. Dari 3 parti itu, DAP mempunyai paling banyak kerusi dan PAS yang paling sedikit. Ketiadaan ADUN Melayu, menyebabkan tidak boleh terlantiknya MB dari kalangan DAP.

Apa yang mengejutkan adalah, DAP lebih bersetuju melantik Dato' Seri Mohamad Nizar dari PAS menjadi MB, bukan dari PKR. Perkara ini mengejutkan waktu itu kerana dalam persahabatan mereka dalam PR, PAS dan DAP banyak tidak ada persefahaman dalam banyak perkara. Mereka bersahabat hanya untuk menumbangkan BN sahaja dalam menghadapi pilihanraya 2008 tetapi halatuju dan pendapat mereka banyak bertentangan. Antaranya, Orang DAP curiga dengan PAS mengenai negara Islam, hukum hudud dan perlaksanaan Islam di negara kita. Orang PAS juga curiga dengan DAP dalam isu Malaysian Malaysia, perkauman dan hak keistimewaan Melayu.

Nizar MB Perak

Bagaimanapun, pengerusi DAP Perak, Dato' Ngeh Khoo Ham sudah mengenali Nizar secara rapat di Perak. Walaupun pada peringkat permulaan, Lim Kit Siang memberi amaran keras kepada DAP Perak tentang bahaya perlantikan MB Nizar ini kepada DAP, namun ahli DAP sendiri yang 'membelasah' Kit Siang di dalam laman internet. Kit Siang akhirnya akur dan menarik balik kenyataan kerasnya kepada DAP Perak seterusnya bersetuju menyokong Nizar sebagai MB.

Pentadbiran MB Nizar dari PAS bersama DAP telah membuatkan DAP rasa selesa. Bermakna, apa yang digambarkan DAP selama ini kepada PAS berpuluh tahun dulu adalah tidak semuanya betul. Pemerintahan PR di Perak hanya 11 bulan sahaja selepas 2 ADUN PKR dan 1 ADUN DAP 'melompat' dengan mengistiharkan diri sebagai calon bebas.

Rasuah dan Lompat Parti

Dua ADUN PKR didakwa oleh SPRM kerana rasuah yang kemudiannya melompat parti. Serba sedikit keyakinan DAP terhadap PKR mula hilang dengan isu lompat ini. Apatah lagi di peringkat parlimen di negeri lain, beberapa orang ahli parlimen PKR juga melompat, tetapi tidak kepada PAS. Ini telah membuatkan DAP lebih meyakini perjuangan PAS yang dirasakan lebih kukuh dalam perjuangannya dan bukan semudah itu untuk menyeberang atau mengkhianati rakan dalam PR. Pengajaran dari isu Perak, DAP akhirnya mengakui yang PAS adalah sekutu atau rakannya sewaktu senang dan susah serta berpegang kepada prinsip perjuangan.

Mohamad Nizar

Ir Mohamad Nizar Jamaludin sebelum 2008 juga telah bertanding dalam pilihanraya Perak tetapi tewas. Tahun 2008 dia kali pertama menang di DUN. Oleh kerana ketokohan beliau, PAS menawarkan jawatan MB kepada Nizar untuk dinilai oleh sekutunya DAP dan PKR. Akhirnya Nizar dilantik menjadi MB walaupun PAS mempunyai kerusi DUN paling sedikit. Ini suatu yang mengejutkan bagi orang PAS sendiri.

Antara kelebihan Nizar adalah berpelajaran tinggi, berpendidikan luar negara, boleh berbahasa Inggeris dan Mandarin dan berpendidikan rendah di sekolah Cina. Ibunya berbangsa Cina Perak. Dari segi kebolehan, beliau seorang yang hebat berpidato, berkhutbah Jumaat dan menjadi imam solat di masjid.

Antara Nizar dan Salahudin Ayub

Sengaja saya bawa cerita Nizar untuk dibandingkan dengan Salahudin Ayub. Ada beberapa persamaan antara Salahudin Ayub dan Nizar ini. Iaitu ibu Salahudin adalah orang Cina (Pontian) seperti Nizar. Secara kasar, dalam mendapatkan sokongan pengundi Cina di Johor, Salahudin nampaknya tidak menghadapi banyak masalah kerana ramai saudara mara dia berbangsa Cina. Dari segi kebolehan berpidato dan berucap, Salahudin juga seorang yang hebat seperti Nizar. Boleh kita renungkan, adakah persamaan antara kedua-dua tokoh ini (Nizar dan Salahudin) dapat membuahkan kejayaan kepada Salahudin?

Politik Johor kali ini memang PANAS terutama menjelang 4 hari lagi ke tarikh pengundian 5 Mei nanti. BERSAMBUNG KE EPISOD 6....,KLIK SINI

28 April 2013

PRU13: Kenapa Politik Johor Paling PANAS? (Episod 4)

Selepas saya cerita negeri Kelantan dan Terengganu, saya nak cerita pasal Kedah pula. Memang setiap kali pilihanraya, Kedah jadi tumpuan iaitu sama ada PAS berjaya menawan Kedah atau tidak. Maka pada tahun 2008, barulah Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan dengan majoriti kecil. Pengajaran kepada PAS, kalau hanya dengan PAS sendirian, belum tentu boleh menumbangkan BN tahun 2008.

Presiden PAS sebelum Haji Hadi iaitu Allahyarham Dato' Fadhil Noor ada kaitannya dengan Johor. Sebelum aktif dalam politik PAS, beliau adalah seorang pensyarah di UTM Skudai, Johor. Beliau balik bertanding di Kedah, antaranya Parlimen Kuala Kedah, Pendang dan DUN Bukit Raya sejak tahun 1982 lagi. Maka parlimen Pendang dan DUN Bukit Raya menjadi kubu kuat PAS berpuluh tahun lamanya sehingga sekarang.

Tapi, sehebat mana politik Kedah tahun 2013 ini iaitu, berjayakan PAS mempertahankan kerajaannya di Kedah? Atau sekadar satu penggal saja? Memang menarik untuk diperbincang dan dipanaskan. Tapi, panas lagi politik Johor sekarang ini.

Kenapa Bertanding di Kedah?

Kenapa Fadhil Noor balik bertanding di Kedah dan tidak di Johor? Sedangkan seseorang menjadi berpengaruh di tempat dia bekerja tetapi kenapa Johor bukan pilihannya? Jawapannya mudah, iaitu sekitar tahun 80-an, PAS lansung tidak mendapat tempat dalam politik Johor. Malah, bertanding atas tiket PAS waktu itu, bersiaplah untuk hilang wang pertaruhan.

 Untuk pengetahuan, UTM Skudai itu terletak di bawah DUN Nusajaya dan Parlimen Gelang Patah. Iaitu dua kerusi paling panas di Johor sekarang. Sedangkan PAS Kedah waktu itu jauh berganda-ganda kuatnya berbanding Johor.

Begitu juga Dato Seri Azizan Abdul Razak selepas berhenti dari pensyarah Syariah di UKM, beliau terus bertanding di DUN Sala Kedah tahun 1995 dan menang, malah sekarang menjadi MB Kedah. Soalnya, kenapa Azizan tidak bertanding tiket PAS di Bangi Selangor sahaja tahun 1995? Jawabnya, PAS Selangor tak ada harapan lansung nak menang waktu itu.

DUN Nusajaya

DUN Nusajaya dan Parlimen Gelang Patah adalah satu kawasan yang pesat membangun. Di sinilah terletaknya pusat pentadbiran kerajaan Johor, pelabuhan, laluan kedua ke Singapura, Legoland dan banyak lagi tumpuan seperti perniagaan dan hartanah.

Kenapa Salahudin Pilih Nusajaya?

Jawapan saya, kerana Salahudin Ayub rasa itu kawasan yang selamat bagi dia. Sebagai Naib Presiden, dia punyai kuasa besar untuk memilih sendiri kerusi yang dia mahu. Dia sedar bahawa majoriti pengundi bangsa Cina akan berpihak kepadanya kerana berada di bawah parlimen Gelang Patah. Mulanya Salahudin menyangka yang kerusi parlimen Gelang Patah akan ditandingi oleh PKR dengan calonnya Chua Jui Meng. Kalau betullah Jui Meng berganding dengan Salahudin di situ, maka laluan Salahudin menang dirasakan menjadi mudah.

Bagaimanapun, kerusi Gelang Patah menjadi rebutan antara PKR dan DAP. Kenapa mereka berebut? Jawapan yang saya berikan, kerana kerusi itu ada potensi besar untuk menang. PAS berdiam diri semasa pergolakan PKR dan DAP dalam merebut kerusi itu kerana PAS rasa, mana-mana parti pun yang bertanding, sokongan pada Pakatan Rakyat tetap sama.  Sehinggalah Anwar Ibrahim mengumumkan sendiri di Gelang Patah yang kerusi itu adalah milik DAP. Dan yang paling mengejutkan, calonnya adalah orang nombor satu DAP iaitu Lim Kit Siang.

PAS gembira dengan kedatangan Lim di Gelang Patah kerana akan meningkatkan sokongan kaum Cina di Gelang Patah dan Nusajaya. Walaupun Jui Meng pada mulanya kecewa tetapi dapat pula bertanding di Segamat iaitu kerusi yang kurang potensi menang berbanding Gelang Patah. Tapi apa nak buat, peluang pertama terlepas, ambil jugalah parlimen Segamat.

Kalau Nusajaya Tumbang?

Kalau Salahudin menang di Nusajaya, bermakna PAS telah mencapai satu kejayaan besar dalam sejarah pilihanraya di Johor. Bukanlah bermakna jatuhnya DUN Nusajaya bermakna jatuhnya seluruh Johor, tapi Nusajaya adalah pusat pentadbiran kerajaan negeri dan memberi impak yang tidak baik kepada BN.

Impian Salahudin untuk menang di sini bukanlah satu omong-omong kosong. Berdasarkan pengundi Melayu 47%, Cina 38% dan India 12%, menjadikan parti dan calon yang boleh diterima pelbagai kaum lebih berpeluang menang. Sekiranya Salahudin mendapat sokongan padu pengundi Cina kerana faktor sokongan DAP dan Kit Siang, Salahudin hanya memerlukan suku sahaja undi dari pengundi Melayu dan India untuk menang selesa di Nusajaya.

BN Bersedia
BN sudah lama menjangkakan yang Salahudin akan turun merebut kerusi DUN Nusajaya. Sebab itu BN mempertaruhkan seorang doktor perubatan tempatan sebagai calon pilihan di Nusajaya. Walaupun Dr Zaini Abu Bakar masih belum begitu dikenali dalam politik negara berbanding Salahudin, tetapi sudah pasti menjanjikan pertarungan yang sengit. Selain mempunyai dua buah klinik sendiri di sini, Dr Zaini banyak terlibat memberi ceramah dalam kursus pra-perkahwinan dan dikenali oleh anak-anak muda. Dengan kajian yang teliti dan mendalam BN terhadap 'calon boleh menang', akhirnya nama Dr Zaini terpilih mengatasi nama-nama lain yang lebih lama berkecimpung dalam politik.

BN sudah pasti menggerakkan jentera kempennya di Nusajaya untuk menyekat kemaraan Salahudin, PAS dan Pakatan Rakyat ke Nusajaya. Pertarungan ini bukan sekadar untuk mempertahankan satu kerusi DUN saja, tapi yang lebih penting adalah mempertahankan Johor sebagai tiangseri UMNO dan BN di negara kita.

....BERSAMBUNG KE EPISOD 5, klik sini


PRU13: Kenapa Politik Johor PANAS? (Episod 3)


Tahun 2013 ini saya meletakkan politik Johor jauh lebih panas dari negeri Terengganu. Sedangkan dari dulu, Terengganu berada di tangga teratas terpanas. Kenapa bukan Terengganu yang panas kali ini ?

Setiap kali pilihanraya, PAS bercita-cita besar menawan Terengganu. Nampaknya PAS berjaya dalam tahun 1999 tetapi jatuh semula tahun 2004. Sebelum itu pun, PAS pernah memerintah Terengganu, tapi saya tak mengikuti sejarah itu.

Setiap Kali, PAS Bercita-cita Tawan Terengganu

Bermula tahun 1990, PAS membayangkan cita-cita menawan Terengganu akan berjaya. Ketika itu, UMNO dalam perpecahan juga sehingga keluarnya tokoh-tokoh besar UMNO seperti Ku Li, Dr Rais Yatim, Ibrahim Ali dan lain-lain yang menubuhkan S46. Tokoh S46 terkenal di Terengganu adalah Tengku Seri Paduka Raja yang bertanding di salah satu DUN Terengganu dan menang di situ. Ini ditambah lagi dengan kekuatan PAS yang sememang susah lama kuat di Terengganu. Dari segi ketokohan pemimpin PAS, di Terengganulah tempat Dato Seri Abdul Hadi Awang, Dato' Harun Taib, Dato' Mustafa Ali dan Wan Mutalib Embong yang merupakan tokoh ternama PAS.

Angkatan Perpaduan Ummah antara PAS dan S46 gagal menawan Terengganu tahun 1990 tetapi berjaya menang di banyak kerusi atau kalah tipis sahaja. Mengulas kekalahan tipis PAS dan S46 di Terengganu ada banyak faktor, tapi saya nak cerita satu perkara yang mungkin orang PAS tidak berapa nampak. Iaitu kerjasama antara PAS dan S46 tidak mantap. Seolah-olah PAS menganggap kehadiran S46 di Terengganu tidak membawa banyak keuntungan kepada PAS.

Maka berlakulah sikap saling curiga mencurigai dan perebutan kerusi. Contohnya yang saya ingat, berlaku pertembungan 3 penjuru di DUN Serada antara BN, PAS dan S46. Keputusannya BN menang tipis. Tetapi kalau kita campurkan undi yang PAS dan S46 dapat, jumlahnya sudah pasti mengalahkan undi BN.

Masih Ada Perbalahan ?
Ada segelintir pemimpin PAS di Terengganu dari dulu hingga sekarang, mempunyai sikap yang tersendiri. Dulu tahun 1990, PAS dengan S46, sekarang PAS dan PKR pula menghadapi masalah yang hampir serupa. Tahun 2013 ini, PKR hanya diberi bertanding di satu parlimen iaitu di Kemaman. Kalau ikutkan PKR, mereka sudah tentu ingin kerusi yang banyak lagi. Bagi DUN pula, PKR menghantar 5 calon DUN termasuk Azan Ismail, bekas ahli parlimen Indera Mahkota Pahang.

PKR diberi 5 kerusi DUN adalah dianggap sedikit tetapi PAS tidak mahu beri lebih pada itu. Kerusi yang diberi kepada PKR pun adalah kerusi yang PAS tidak kuat di situ atau dengan kata lain, tempat yang harapan tipis untuk menang di situ. Dengan memberikan 5 kerusi kepada PKR pun, ramai orang PAS tidak bersetuju dengan pelbagai alasan. Antaranya mengatakan, PKR tidak ada cawangan dan bagaimana hendak bekerja kalau sedikit cawangan dan ahli. Pada saya, kenapa perlunya cerita ini diungkit kerana ini adalah keputusan PAS pusat sendiri.

Kedua, timbulnya cerita kononnya calon PKR adalah calon 'tangkap muat' atau calon yang tidak mampu menang di kawasan tersebut. Orang PAS kata, calon PAS ramai lagi yang bagus berbanding calon PKR itu. Kalau saya nak jawab boleh saja, pilihanraya belum lagi. Soal siapa calon yang boleh menang, bukan dilihat dari satu sudut atau kacamata pihak kita saja, banyak lagi faktor. Kita jangan pandang orang lain tiada kebolehan untuk menang, kita saja yang betul semua. Mungkin orang itu ada kelebihan dari sudut lain pula yang kita tidak nampak. Lagi satu, kalau kerusi itu sudah diperuntukkan kepada PKR, kenapa pula orang PAS 'sibuk-sibuk' masuk campur urusan dalaman PKR ?

Perbalahan Tak Selesai
Maka pada hari penamaan calon, PAS juga meletakkan 3 calon di 3 kerusi DUN bertembung dengan PKR. Kenapa ini berlaku ? Media terus memainkan isu pakatan rapuh Pakatan Rakyat dengan isu ini. Soalnya, siapa yang mengeluarkan tauliah kepada calon ini kalau bukan presiden PAS, Hj Hadi atau setiausaha agong PAS, Mustafa Ali yang juga orang Terengganu?  Mungkinkah wujud perancangan sulit untuk 'mensabotaj' dalaman antara PAS dan PKR di Terengganu? Atau mungkinkah mereka terpaksa tunduk kepada ahli-ahli PAS yang menjadi pendesak utama di Terengganu ?

Calon Pil Kuda
Menarik juga nak cerita pasal calon pengedar pil kuda ini. Kita lihat siapa yang kena yer...Seperti disiarkan di dalam tv, petikan ceramah Hj Hadi mengenai pertembungan 3 penjuru di Terengganu. Antara yang disebut, adalah 'calon pengedar pil kuda'. Walaupun beliau tidak menyatakan secara tepat, tetapi tidakkah PKR terkilan? Sebagai satu perbandingan, bagi orang negeri lain, kekadang merasakan perkataan Ustaz Azhar Idrus banyak bahasa kasar. Antaranya perkataan 'bodoh'. Tapi sebenarnya, ada beberapa perkataan orang Terengganu yang kita dengar kasar, tetapi perkataan itu adalah biasa di Terengganu.

Jadi, apa yang diucapkan oleh Hj Hadi mengenai 'pil kuda' ini, saya rasa adalah kiasan dan mantiq dengan balaghah yang tinggi. Ceramah itu di Terengganu dan yang dengarnya adalah orang Terengganu juga. Dengan kata lain, siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya. Adakah orang PKR terasa pedasnya? Apa pun kesimpulan kita, sama ada ahli PAS, PKR atau lain-lain, persahabatan atau pakatan itu perlulah menyeluruh dan tidak ada unsur-unsur 'tikam belakang'. Masing-masing dengan sikap kerasnya dan tolak meja perundingan kerana merasakan dia besar dan kuat, orang lain tak kuat. Kalaulah antara PAS dan PKR di Terengganu tidak boleh bersama bermuafakat, bagaimana pula hubungan mereka dalam peringkat nasional nanti?

Tidak Selesai
Dari dulu, dua tiga tahun dulu mereka berbincang pembahagian kerusi di Terengganu tapi tak pernah selesai soal pembahagian kerusi PAS dan PKR. Anwar Ibrahim terpaksa beralah kerana menyedari pengaruh besar PAS di Terengganu dan pengaruh Hj Hadi dan Mustafa Ali di sana. Akhirnya, 3 calon PKR yang bertembung kerusi di Terengganu menarik diri tanpa nak komen lebih-lebih. Komen lebih-lebih nanti, bimbang PAS Terengganu boikot PKR terus, maka PKR boleh hilang wang pertaruhan di sana.

Kesan Penarikan Diri
Peraturan baru SPR tahun ini, sesiapa yang menarik diri, namanya terus dicetak dan SPR anggap mereka terus bertanding. Jangan nak salahkan SPR kerana peraturan ini telah melalui proses yang teliti iaitu kajian penambahbaikan pilihanraya. Yang kelakarnya, calon yang menarik diri pun boleh diistiharkan menang kalau dia dapat undi tertinggi. Sebab itu, sebelum masuk bertanding, berpakatlah elok-elok dulu. Sebagai presiden dan setiausaha agong pun jangan 'gelojoh' keluarkan tauliah.

Pertembungan PKR dan PAS di Johor

Kaitan Terengganu dan Johor yang saya nak cerita ini, berlaku juga pertembungan PAS dan PKR di Johor iaitu DUN Panti. Pada saya, kalau pertandingan satu lawan satu di DUN Panti pun, Pakatan Rakyat sudah tidak ada harapan menang, bagaimana pula kalau 3 penjuru. Jangan lupa, DUN Panti adalah kubu terkuat BN di Johor.

Isu ini dianggap selesai apabila PAS menarik diri, tapi pada saya macam dah terlewat. Macam biasa, nama dan lambang bulan tetap tercatat dalam kertas undi dan serba sedikit mengelirukan pengundi nanti. Apabila ditanya kenapa pertembungan 3 penjuru di Panti, PAS jawab, kerana calon PKR datang lambat dan PAS kena hantar borang dulu supaya BN tidak menang percuma.

Saya nak ulas sikit, iaitu berkenaan tauliah calon dikeluarkan bila?  Sehari sebelum itu atau pagi itu juga ? Atau sain borang tauliah kosong ? Kalau alasan calon PKR lambat, maknanya tauliah calon PAS dikeluarkan pagi itu semasa di dewan penamaan calon atau sudah ada di tangan, tauliah kosong yang ditandatangani tanpa nama, tidakkah begitu ?

Mungkin Juga Sebab Lambat

Cerita sebab calon PKR lewat mungkin ada juga logiknya. Kira kreatif juga PAS ini yang terus bertindak segera untuk tak beri BN menang percuma. Kalau menang percuma nanti, kira satu punya hal, akan riuh rendah isu ini dipukul canang seluruh media. Logiknya kerana DUN Panti ini semua sedar, ini adalah kawasan susah pakatan rakyat nak menang. Harapan nak menang cuma 5% pada pakatan dan 95% pada BN. Kalau betullah mereka nak rebut kerusi, tentu mereka rebut kerusi lain yang ada potensi menang, bukan Panti.


Inilah uniknya politik Johor yang tahun ini PANAS. Antaranya, kalau calon satu parti dalam pakatan rakyat lewat pergi sarapan roti canai dan tarik, maka komponen parti satu lagi akan serah borang dulu.
......BERSAMBUNG KE EPISOD 4, klik sini


27 April 2013

PRU13: Kenapa Politik Johor Paling PANAS? (Episod 2)


Sebelum saya cerita panasnya politik Johor, izinkan saya habiskan cerita saya pasal air mata Dato' Nik Aziz itu. Tahun 2008, Nik Aziz menerima Dato Ibrahim Ali sebagai calon menggunakan lambang PAS yang bertanding di Parlimen Pasir Mas. PAS sebelum itu telah menamakan seorang tokoh tempatan terkenal untuk bertanding di situ, akhirnya memberi laluan untuk memenangkan Ibrahim Ali. Soalnya, kenapa Ibrahim Ali dibenarkan bertanding oleh PAS?  Tidakkah PAS sudah bekerja sekian tahun di situ tetapi apabila tiba pilihanraya, dikasi free saja kepada orang lain.

Pada saya, orang PAS tidak boleh menyalahkan sesiapa. Pertama, kerana ini adalah keputusan Nik Aziz sendiri atau untuk bahasa yang lebih sedap, "keputusan pucuk pimpinan parti", itu saja, nokhtah. Kedua, kehadiran Ibrahim Ali dapat memberi manfaat yang besar kepada PAS di seluruh Kelantan. Tahun 2004, kerusi Pasir Mas dipertandingkan tiga penjuru antara BN, PAS dan Ibrahim Ali yang membawa kepada kemenangan selesa kepada BN. Jadi, saya rasa PAS tidak mahu kalah lagi di Pasir Mas kerana Ibrahim Ali tetap mahu bertanding walaupun dengan tiket bebas sekali lagi.

Kedua, sokongan Ibrahim Ali terhadap PAS telah menambah kekuatan kepada PAS. Yer, dalam keadaan PAS semakin merasa kehilangan negeri Kelantan, Ibrahim Ali yang ramai penyokong di Kelantan, dirasakan akan memberi sinar baru kepada PAS. Betul, keputusan pilihanraya 2008 dimenangi Ibrahim Ali menggunakan logo PAS di Pasir Mas dan disambut dengan kegembiraan oleh PAS. Dalam masa yang sama, PAS berjaya mempertahankan Kelantan dengan kemenangan besar. Tetapi, persahabatan longgar PAS dan Ibrahim Ali tidak kekal lama selepas kemenangan itu. Bukan saja Ibrahim Ali tidak menyokong PAS, malah beliau mengkritik PAS secara terbuka termasuk Nik Aziz sendiri. Apabila ini berlaku, orang PAS rasa sangat dukacita dan mengungkit kembali bagaimana dia menghulurkan tangan dan memberi pinjam lambang PAS tetapi lain pula jadinya selepas menang.

Saya ingin melontarkan soalan ini, iaitu, "Apakah jasa Ibrahim Ali terhadap kemenangan PAS Kelantan tahun 2008 ?". Mungkin di kalangan ahli PAS marah kepada saya kerana bertanya soalan seperti ini. Yer, jawapannya, jasa Ibrahim Ali kepada PAS ada juga iaitu menyelamatkan PAS di Kelantan. Dahulu sewaktu PAS diserang dengan jentera BN termasuk gelombang lautan biru, Ibrahim Ali diperlukan untuk membantu, betul ? Saya cerita kebaikan, bukan nak cerita keburukan orang.

Siapa Ibrahim Ali ?

Seorang kawan saya  katanya kuat politik, tetapi dia tak kenal siapa Ibrahim Ali. Pada saya, tokoh besar politik negara, antaranya adalah Ibrahim Ali. Tahun 1990 Ibrahim Ali bersama Tengku Razaliegh (Ku Li) di dalam parti S46 berkongsi kuasa dengan PAS dalam menumbangkan BN Kelantan. Kemudian Ibrahim Ali masuk UMNO dan S46 dibubarkan.

Okey, tahun 2004 Ibrahim Ali bertanding sebagai calon bebas selepas dipecat dari UMNO. Tahun 2008, Ibrahim Ali menggunakan lambang PAS. Tapi, pilihanraya 2013 ini, pada mulanya sudah tidak ada parti yang menawarkannya bertanding. Ibrahim Ali mengelak untuk bertanding tiga penjuru kerana harapan menang cukup tipis. PAS sememangnya sudah marah sangat pada Ibrahim Ali. Pada mulanya saya ingat Ibrahim Alli akan bertanding atas tiket BN, terutama selepas Tun Dr Mahadhir mencadangkan demikian. Pujian Tun kepada Ibrahim Ali begitu tinggi kerana kejayaannya memimpin PERKASA menjadi satu pertubuhan yang berpengaruh. Tun juga berjanji akan berkempen untuk Ibrahim Ali sekiranya bertanding di Pasir Mas atas tiket BN.Tapi akhirnya BN meletakkan calon lain.

Kejutan pada hari penamaan calon iaitu BN tidak menghantar calon, menjadi topik perbualan hangat juga. Entah kenapa calon itu enggan menghantar borang walaupun hadir dan masuk ke dewan penamaan itu. Pada saya, itulah satu kehebatan yang ada pada Ibrahim Ali. Kekadang kita tidak terfikir, apakah tindakan politik yang akan beliau buat dalam mengatur strategi. Kini Ibrahim Ali sebagai calon bebas akan berdepan dengan anak Nik Aziz di Pasir Mas. Pertarungan ini pasti sengit. Ibrahim Ali sudah berpuluh tahun berpolitik dan kenal sepak terajangnya. Sedangkan Nik Abduh walaupun seorang yang ada ketokohan juga, tapi dia belum banyak diuji lagi dan lebih menumpang nama bapanya NIk Aziz.

Kelantan Sebagai Landasan Politik Johor

Bagi PAS, dalam jangka masa panjang, memikirkan untuk meluaskan pengaruhnya seluruh negara terutama Johor yang PAS paling lemah. Tahun 1990, PAS meletakkan Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok, bekas pensyarah Syariah UKM sebagai calon di Parlimen Rantau Panjang, Kelantan dan menang. Daeng Sanusi adalah orang Rengit, Batu Pahat tetapi diterima oleh pengundi di Kelantan. Tahun 1995 juga Dr Daeng menang di Rantau Panjang.

Tapi pada tahun 1999, apabila merasakan pengaruh PAS semakin kuat, Dr Daeng yang waktu itu Naib Presiden PAS dihantar balik ke Johor untuk melebarkan sayap PAS di Johor. Yer, kira-kira 9 tahun berada di parlimen sebagai wakil parlimen Kelantan, kenapa pula beliau tidak mahu balik ke negeri sendiri ? Tapi Dr Daeng kalah teruk di DUN Johor tahun 1999 dan 2004, dibelasah teruk seperti dia bukan tokoh utama. Kalau dikira dari segi perancangan, nampaknya PAS gagal menonjolkan ketokohan Dr Daeng di Johor walaupun berjaya di Kelantan. Inilah uniknya politik Johor yang orang luar Johor tak berjaya ulas dengan baik.

Tahun 2004 dan 2008 juga, Kelantan mengambil seorang anak Johor iaitu Salahudin Ayub bertanding di Kubang Kerian, Kelantan dan mendapat kemenangan besar di sana. Sebelum ini Salahudin dah masuk pilihanraya di Johor tahun 1986, 1990 dan 1995 lagi tapi dapat kalah besar. Selain kedudukan Salahudin  sebagai Ketua Pemuda PAS yang dirasakan perlu diberi satu kerusi selamat di Kelantan, PAS ingin meletakkan batu asas kepada seorang pemimpin PAS Johor.

Dan, kita tahu, pilihanraya 2013 kali ini, Salahudin Ayub dihantar balik sebagai seorang pahlawan ke Johor untuk meneruskan misi politik beliau setelah bertapa seperti mendapat ijazah dari pendekar Wak Mustar dalam cerita Pendekar Bujang Lapok. Soalan saya, adakah Salahudin Ayub akan senasib macam Dr Daeng Sanusi dahulu ? Iaitu kalah teruk di negeri sendiri? Kita tunggulah pilihanraya nanti. Tapi PAS kali ini, bukan sekadar masuk bertanding untuk mencukupkan korum, tetapi menyimpan cita-cita untuk menjadikan Salahudin Menteri Besar sekiranya Pakatan Rakyat berjaya.

Ada satu sindiran mengenai kembalinya Salahudin ke Johor. Katanya kerana dia sudah tidak diterima di Kelantan lagi, sebab itu dia balik. Alasan ini ada logiknya. Seperti kita bertandang ke rumah orang kalau sekali dua dan duduk tak lama, biasa orang tak berbunyi. Tapi kalau dah lama sangat, lama-lama orang berbunyi juga. Jadi, sebelum kena halau, cepat-cepatlah belah dan bungkus baju. Kita lihat, orang luar yang dikekalkan bertandang di Kelantan hanyalah Dr Hatta Ramli. Tapi saya tak tahulah, adakah Dr Hatta anak kelahiran Kelantan atau isteri dia orang Kelantan. Yang lain, macam dah tak dapat tempat dah.

Memang panas politik Johor kali ini.... Ada banyak lagi cerita yang saya akan sambung nanti.

........BERSAMBUNG KE EPISOD 3, KIIK SINI


25 April 2013

Pilihanraya Umum 13, Kenapa Johor Jadi Negeri Paling PANAS ? (Episod 1)


Tiba-tiba sahaja negeri Johor menjadi negeri yang menjadi tumpuan pada PRU13 ini. Apa yang dapat kita gambarkan dengan istilah seperti 'Panas', 'Tumpuan' atau 'Menarik' ini ? Apa pun yang kita terjemahkan, maknanya Johor tahun ini ada sesuatu tarikan kepada pemerhati pilihanraya dan rakyat negera kita seluruh negara. Minta maaflah negeri lain, Kelantan ker, Terengganu ker, Penang ker, Perak ker, Selangor ker, minta maaflah, tahun ini Johor jadi lebih tumpuan. Kenapa ? Marilah ikuti kupasan saya satu persatu, mula-mula kita merautau dan mengulas negeri orang lain dulu.

Kenapa pula nak tumpu pada Johor ? Bukan negeri lain. Apa yang ada ? Sebelum ini orang tak  pandang sangat politik Johor kecualilah dulu ada pertembungan Dato' Sahril Samad dari parti bebas melawan calon BN di parlimen Johor Bahru tahun 1988 yang membawa kemenangan kepada calon bebas. Lain-lain yang menarik, macam tak ada. Tahun 2010, pilihanraya kecil di DUN Tenang memberi kejayaan besar pada BN yang menamatkan tanda tanya mengenai kekuatan BN Johor selepas pilihanraya 2008.

Saya nak bawa satu contoh, iaitu waktu lepas pilihanraya 1999, saya berada di Terengganu, nombor kereta saya nombor Johor, orang sana kata politik Johor tak menarik lansung. Biarkan apa orang nak kata pada masa tu, saya diam saja. Diam bukan saya ni bisu tapi saya sendiri pun rasa tak menarik pun politik Johor waktu tahun 1999. Sedangkan pada tahun 1999 itu politik nasional menarik juga apabila Tun Mahadhir menghadapi era reformasi Anwar Ibrahim. Waktu itu orang kata saingannya kuat antara parti yang berlawan, tapi Johor, BN sapu bersih.


Sebenarnya saya baru sekali mengundi iaitu tahun 2008 saja dan insyaallah kali kedua tahun 2013 ini. Sedangkan saya sepatutnya dah boleh mengundi tahun 1999 dan 2004, tapi saya tak turun mengundi. Kalau orang tanya saya, ermmmm... sebenarnya orang tak tanya saya kenapa tak mengundi. Waktu tu pun saya tak pernah dikejar atau diberitahu oleh mana-mana parti politik yang saya kena mengundi di lokasi ini ker, DUN ini ker, Parlimen ini ker. Bila orang tak kisah saya, saya lagilah tak kisah. Akhirnya hilang minat saya nak mengundi.


Kalau orang tanya kenapa saya tak mengundi 1999 dan 2004, jawabnya senang saja, iaitu rasa satu undi saya tak mampu merubah apa-apa. Jawapan ini adalah salah tapi saya tetap nak jawab begini juga. Memang betul, kalau saya mengundi parti A atau B, kalau A menang, kemenangannya besar sangat. Kalau saya undi B dan B kalah besar dan undi saya hanya digelakkan saja.

Tapi sekarang, 2013 dah banyak berubah, bukan macam politik dulu. Parti politik, calon dan pengundi bukanlah orang yang sama. Minat dan selera mereka pun bukanlah sama. Penerimaan maklumat mereka bukan hanya radio dan tv atau kedai kopi macam dulu. Malah internet dan telefon pintar dan banyak lagi cara. Maka perubahan tetap ada. Tapi yang menghairankan, kenapa Johor pula yang berada di tempat pertama sedangkan dulu Johor antara tempat terbawah atau paling sejuk dulu. Tapi sekarang kenapa panas ?

Kenapa Bukan Kelantan ?

Waktu kejatuhan BN dan kemenangan PAS di Kelantan di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) tahun 1990, saya sudah melangkah ke alam dewasa dan mengikuti sendiri perkembangan politik negara. APU ini adalah gandingan parti PAS, Semangat 46, Hamim dan Berjasa berjaya menumbangkan BN sehingga sekarang. Tahun 1995, kerjasama PAS dan S46 semakin longgar tetapi berjaya juga bertahan di Kelantan. Tahun 1999, PAS berjuang bersendirian tanpa S46 (yang sudah dibubarkan) dan berjaya mengekalkan kemenangan besar di Kelantan.

Tahun 2004 BN berada dalam keadaan terkuat kerana pengaruh Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga sokongan Puteri UMNO yang masih baru dan segar. Keputusan pilihanraya 2004, PAS hampir tewas sehingga dikatakan pengiraan undi masuk ke hari kedua. PAS tetap berjaya memerintah kelantan dengan kelebihan satu kerusi DUN. Malah, salah satu kerusi DUN pula, iaitu DUN Kemuning  dimenangi PAS dengan majoriti hanya 2 undi.

Diberitakan juga, ada kemalangan maut yang berlaku kepada pengundi dari ibukota untuk balik mengundi iaitu 3 orang dalam satu kereta. Bayangkan, kalau 3 orang ini mengundi parti mana-mana di DUN Kemuning, sudah tentulah boleh merubah keputusan pilihanraya sehingga meruntuhkan kerajaan PAS Kelantan. Kemenangan tipis PAS di Kelantan menyebabkan kepimpinan PAS di bawah Dato' Nik Aziz dalam keadaan genting.

Selepas itu, beberapa calon BN yang tewas telah menfailkan petisyen pilihanraya DUN yang sekiranya diterima, boleh menyebabkan berlaku pilihanraya kecil yang boleh menumbangkan PAS di Kelantan. Lima DUN yang difailkan petisyen itu adalah kawasan yang PAS menang sekitar 100 undi sahaja.Akhirnya, PAS berjaya bertahan sehingga pilihanraya 2008 walaupun dengan kelebihan satu DUN dan 2 undi sahaja. Mungkin ini satu rekod dunia.

Nik Aziz Manangis Semoga Kelantan Dipertahankan

Tahun 2008, politik tanahair tetap menumpukan Kelantan di carta teratas. Dengan keputusan yang hampir rebah PAS tahun 2004, ramai penganalisa meramalkan kerajaan PAS boleh tumbang dan BN kembali memerintah. PAS Kelantan diasak dari pelbagai sudut dan isu sehingga ramai meramalkan, BN berkuasa semula di Kelantan bukanlah hayalan. Saya teringat, satu perhimpunan beberapa hari sebelum pilihanraya di mana Dato' Nik Aziz menangis pada satu majlis solat hajat yang dirakamkan oleh media. Air mata seorang Menteri Besar dan pemimpin nombor satu sebuah parti sudah tentu meningkatkan persoalan di kalangan rakyat Malaysia. Pada penyokong PAS, mereka cukup terharu dengan mengalirnya air mata bersama pemimpin besar mereka sebagai satu simbol perjuangan yang cukup besar.

Dari satu sudut di kalangan lawan pula, air mata Dato Nik Aziz itu dianggap, akan berakhirnya atau nokhtah kepada pemerintahan PAS di Kelantan. Bagi BN, inilah peluang yang terbuka luas untuk menawan Kelantan apabila seorang pemimpin nombor satu sudah menunjukkan dirinya dalam keaadaan cukup cemas dan hampir menyerah diri. Bagaimanapun, keputusan pilihanraya 2008, PAS menang, bukan menang kecil tapi menang besar.

Itulah menariknya politik Kelantan yang sempat saya rakamkan dari tahun 1990 hingga sekarang. Yang cerita sebelum itu, bacalah sendiri sejarah. Tapi, sepanas-panas dan menariknya politik Kelantan, rupanya tahun ini politik Johor lebih hebat. Kenapa Johor panas, sila baca episod  kedua nanti.

 ....BERSAMBUNG KE EPISOD KEDUA, klik sini