Nak Jadi Rakan FB Saya Taip "Kadi Kluang" atau klik bawah ni..

Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

Memuatkan ...

10 November 2009

KISAH DUDA GILA GRO



Zul (bukan nama sebenar) bertugas sebagai pembantu am rendah di sebuah sekolah di Johor Bahru, berusia 40an. Dia duda anak dua selepas bercerai beberapa bulan dulu. Sekarang dia tinggal di kuarters dalam kawasan sekolah, bersama dua orang anaknya.

Suatu hari, Zul datang ke pejabat memperkenalkan dirinya untuk membuat aduan mengenai kes GRO. Katanya dia banyak tahu berkenaan wanita yang bekerja di kelab malam, dia banyak beri maklumat kepada saya. Apabila diperiksa, aduan-aduan yang diberikan adalah betul dan tepat. Serbuan dan tangkapan pun dibuat ke atas GRO dan orang Islam yang  minum arak di kelab malam.

Bagaimanapun, selepas beberapa bulan saya mengenali Zul, ada sesuatu yang membuatkan saya rasa curiga. Dia banyak bertanya maklumat berkenaan operasi dan mahu tahu apa tindakan yang dilakukan berkaitan aduan yang diberikan itu. Perkara ini saya pandang serius, rahsia tetap rahsia. Sebagai pengadu, peranan dia adalah membuat aduan sahaja. Apa yang penguatkuasa buat kepada aduan itu, itu pengadu tidak perlu tahu. Kalau diberitahu semuanya kepada pengadu, maka proses risikan dan siasatan boleh terganggu.

Zul bertalu-talu membuat aduan berkaitan GRO di sebuah kelab malam dan mendesak serbuan dilakukan secepat mungkin. Kali ini dia mengadu kepada anak buah saya seorang lagi penguatkuasa setelah saya bersikap dingin terhadap aduan Zul. Bila penguatkuasa jumpa saya memberitahu aduan itu, saya sekali lagi bersikap dingin seolah-olah enggan memberikan keutamaan. Bagaimanapun, selang beberapa minggu, serbuan dilakukan dan berjaya menangkap 4 orang GRO wanita Melayu di kelab malam itu. Kesemuanya ditahan di lokap malam itu dan siang esoknya dijalankan proses siasatan.

Selesai siasatan, saya lihat Zul datang ke penguatkuasa untuk menjadi penjamin kepada salah seorang GRO bernama Ani (bukan nama sebenar). Saya mula curiga dan hilang kepercayaan kepada Zul kerana kenapa dia menjadi penjamin kepada pesalah seperti ini sedangkan dialah pengadu. Zul jumpa saya dan menyatakan, dia kenal  Ani yang baru berusia awal 20-an dan mahu membimbing Ani ke pangkal jalan. Untuk meyakinkan saya, Zul bawa dua orang anaknya yang masih sekolah rendah, mungkin dalam usahanya untuk menagih simpati. Katanya, kedua-dua anaknya mesra dengan Ani. Saya sekali lagi macam tak  berapa mahu dengar penjelasan Zul. Bagaimanapun Zul dibenarkan menjadi penjamin Ani kerana tiada penjamin lain.

Beberapa hari  kemudian, pada sebelah pagi, seorang penguatkuasa masuk ke bilik saya, menunjukkan satu aduan kes khalwat. Kes ini berlaku di sebuah rumah kuarters guru di dalam kawasan sekolah. Yang menjadi masalahnya, persekolahan sedang berjalan dan perlu melalui pintu masuk hadapan. Ok, saya setuju untuk penguatkuasa masuk ke kawasan sekolah setelah mendapatkan waran dari Mahkamah Syariah. Saya tidak ikut serta. Serbuan telah dilakukan dan berjaya menangkap kes khalwat seorang lelaki dan wanita dalam rumah tersebut. Hanya mereka berdua saja di dalam rumah. Kedua mereka dibawa ke balai polis seterusnya dibawa ke pejabat penguatkuasa.

Sampai saja ke pejabat, lelaki itu datang mendapatkan saya, rupanya dia adalah Zul yang ditangkap dengan pasangan GRO yang dijaminnya sebelum ini. Zul cuba hendak cakap sesuatu untuk merayu kepada saya supaya tindakan tidak diambil ke atasnya. Oleh kerana saya amat marah, saya telah menengking Zul, kesabaran sudah tidak dapat dikawal lagi.

"Orang seperti kamu tidak boleh diberi  muka! .... Mula-mula kenal kamu, ingatkan kamu orang baik, tapi rupanya kamu lebih hantu dari dia orang semua !.. Kamu dah kena tangkap, tanggung sendiri, takde merayu-rayu! ..."


Bila ditengking, Zul terus terdiam dan tidak berani lagi merayu. Memang kasar kata-kata saya, tak sepatutnya sebagai penguatkuasa JAIJ mengeluarkan kata-kata sebegitu. Tapi itulah reaksi spontan saya, bila ada orang mempermain-mainkan kita. Kadang-kadang, kita hilang kawalan bila menghadapi situasi sebegini. Mulanya berlagak alim beri aduan, rupanya ada niat buruk di sebalik buat baik itu. Inilah kisah kehidupan di kota, baik dijadikan tauladan, buruk dijadikan sempadan.






2 ulasan:

  1. salam...apela duda tu.kalo btol nak kan GRO tu wat la cara btol.xperlu la nk mnggunakan pihak JAIJ.las2 diri sndri yg tertangkap..

    p/s:maapla tetibe je nk mngomen lam ni.hehhehe

    BalasPadam

Dipersilakan komen.