Nak Jadi Rakan FB Saya Taip "Kadi Kluang" atau klik bawah ni..

Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

Memuatkan ...

14 September 2010

Terkini Kes Datuk Susilawati: Jangan Ganggu Siasatan Polis

Semasa ke kedai, membeli dua akhbar berbeza tadi, ramai orang membeli akhbar, tak macam hari biasa. Beberapa hari ni jualan akhbar meningkat beberapa kali ganda, suatu bonus kepada akhbar. Saya percaya, kes Datuk Sosilawatil yang menyumbang kepada larisnya akhbar beberapa hari ni.

Soalnya, adakah hari ini media mendahului pihak berkuasa ? Dari mana sumber beritanya ? Sumber yang kuat atau tidak ?  Yang saya tahu, media tak sewenang-wenangnya mengeluarkan sesuatu berita kalau sekadar dari sumber yang lemah. Kebiasaannya akhbar mendapat nasihat dari pegawai undang-undangnya sama ada sesuatu berita itu boleh dikeluarkan atau tidak.

Muka Suspek

Ada akhbar semalam dan hari ini menayangkan muka salah seorang suspek kes ini. Ada juga akhbar yang lebih berhati-hati, menutup muka suspek ini. Yang mana satu betul ? Boleh tunjuk muka atau tidak ?

Soalnya, adakah boleh seorang yang baru ditahan untuk siasatan atau suspek didedahkan di media ? Orang ini baru ditahan untuk membantu kes ini, bukan sudah dituduh. Bagaimana kalau selepas ini, orang yang ditahan itu tidak didakwa di mahkamah ? Bolehkah orang berkenaan mengambil tindakan mahkamah ? Kenapa tidak...

Lihat kes pembunuhan Norita Shamsudin beberapa tahun lepas. Ada beberapa orang yang ditahan pada peringkat awal, tetapi tidak didakwa di mahkamah. Mereka ini mengambil tindakan undang-undang di mahkamah terhadap beberapa media. Nama beliau telah diaibkan oleh media, media menayangkan namanya, mukanya dan pekerjaannya. Adilkah begitu caranya ? Soal siapa menang, siapa kalah dalam saman ini bukan soalnya, yang penting maruah dan harga diri orang ini telah diaibkan.

Kenapa Media Berani ?

Mereka berani masukkan muka sebab mungin beberapa kes sebelum ini orang tak cabar. Tapi jangan ingat lepas ni orang tak cabar, lebih-lebih lagi orang ini pandai undang-undang. Tidak mustahil keluarga suspek ini sudah melantik peguam masing-masing sekarang. Peguam mereka dah tentu peguam terbaik dan pakar, kerana ini kes bunuh, bukan kes kecil.

Atau ada kes sebelum ini, bila orang saman akhbar, akhbar berada di pihak yang menang. Pada saya, jangan fikir begitu, sekali menang jangan ingat semua kes boleh menang. Lain kes, lain fakta dan penghujahannya. Dan juga lain hakim yang mendengar kes itu.

Gambar Tempat kejadian dan Semasa Siasatan

Di akhbar hari ni, ramai orang cukup puashati sebab dapat tengok beberapa gambar. Antaranya gambar tempat kejadian dan semasa siasatan di lokasi dipercayai lokasi kejadian. Bagaimana wartawan atau jurugambar boleh ambil gambar sebegini ? Entahlah.... Mungkinkah kamera dia boleh zoom berkilometer jauhnya ? Atau mungkin juga berjaya masuk ke situ ?

Yang saya terkejut adalah gambar barang kes yang dipercayai ditemui di lokasi kejadian. Kenapa dan bagaimana jurugambar media boleh merakamkannya ? Ini bukan benda kecil, bahan bukti penting ini mungkin bakal dikemukakan di mahkamah. Jangan sampai peguam tertuduh nanti mencabar dan mempertikaikan bahan bukti penting ini.

Kenapa Tak Boleh Ganggu Siasatan Polis ?

Kes ini saya anggap satu kes mencabar dan polis berusaha  keras mengendalikannya. Saya rasa, polis menggunakan pelbagai kaedah seperti forensik, DNA, kimia dan lain-lain cara siasatan. Saya percaya, polis tidak mahu ada suatu ruang pun yang boleh memberi kelebihan pada penjenayah kejam  ini untuk lepas.

Kes ini mencabar kerana mayat mangsa bunuh dipercayai sudah dibakar sehingga rentung, tulang dan abu dibuang ke sungai. Antara soalan-soalan yang bakal ditimbulkan oleh peguam terduduh nanti adalah perkara teknikal. Peguam tanya memang senang, tapi pihak penyiasat yang nak jawab, perlukan kepakaran, bukan boleh sebarangan jawab di mahkamah.

Berhati-hatilah

Satu lagi, jangan sampai gambar di akhbar dijadikan hujah kepada tertuduh untuk lepas dalam kes ini. Contohnya kalau keterangan saksi pakar,kalau tidak sama dengan gambar yang disiar media, mungkin boleh meragukan mahkamah. Tidak mustahil kalau jurugambar itu nanti yang akan menjadi saksi penting sehingga boleh membantu tertuduh  lepas. Harap-harap tak begitulah, tapi tak mustahil.

Kita mahukan perbicaraan yang adil di mahkamah nanti. Seseorang belum boleh dihukum salah selagi mahkamah belum memutuskannya. Biarlah pihak berkuasa meneruskan tugasnya dengan sebaik mungkin untuk mencari keadilan di mahkamah nanti. Sebarang gangguan, sebaiknya janganlah ada.

Ulasan saya ini bukan untuk mempertikaikan sesuatu pihak tetapi sebagai peringatan agar kita  berhati-hati selalu.
Sekian.

1 ulasan:

  1. rakyat pasti marah jika hukuman setimpal tidak dijatuhkan.

    View Profile: Mohd Amir®

    BalasPadam

Dipersilakan komen.