Nak Jadi Rakan FB Saya Taip "Kadi Kluang" atau klik bawah ni..

Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

Memuatkan ...

29 Jun 2010

Bagaimana Nak Tahu Lelaki Tu Dah Kawin Ke Belum ?

Baru-baru ni, ada satu kes penipuan, lelaki umur 50 tahun lebih mengaku bujang, tapi dah ada isteri. Lelaki ni kenal dengan perempuan tu, janda umur awal 30-an, katanya anak dua. Bila berkenalan dalam 4 bulan, mereka pun bernikah. Lelaki ni bawak kereta hebat juga, mulanya perempuan tu kata kereta nilai RM 100,000. Kerja pulak, mengaku kerja pengurus di sebuah syarikat. Nikah suka sama suka, janda kawin dengan bujang le katakan.

Dua minggu lepas kawin, ada seorang perempuan datang ke rumah perempuan tu, mengaku isteri lelaki tu. Terkejut beruk ler perempuan tu, rupanya dia tu dimadukan. Lelaki tu rupanya dah ada anak 6 dan ada 2 orang cucu. Kereta yang dia pakai tu bukan harga 100,000 tapi sekitar 20,000 jer. Kereta lama tapi convert edisi baru. Lelaki tu bukan pengurus seperti disangka, tapi buruh biasa jer.

Maka perempuan ni datang mengadu di pejabat Kadi. Ok lah, dah mengadu kita ambil tindakanlah. Tindakan apa ? Itu kena serah pada kitalah apa nak buat, janganlah nak mendesak kami pulak, nasihat saya pada dia. Bukan apa, bila dah buat laporan, kenalah ikut prosedur kita dan jangan  nak lebih-lebih, bimbang nanti boleh ganggu proses siasatan dan pendakwaan. Saya cakap atas pengalaman saya lama di Bahagian Penguatkuasa dan jadi Pendakwa Syarie, kekadang pengadu ni nak kita ikut kehendak dia, kita nak ikut kehendak undang-undang.

"Boleh ke tuan keluarkan satu surat menyatakan saya tak tahu lelaki tu dah kawin ?" Kata perempuan tu.

"Kenapa pulak nak keluar surat tu ?". Kata saya.

"Yer le tuan, saya nikah, saya tak tahu dia dah ada isteri, saya ingat dia bujang" Kata perempuan tu.

"Ok lah. Kalau begitu, kenapa pulak saya perlu keluar surat ? Keluarlah surat sendiri.". Kata saya.

Dia pun terdiam, mungkin dia faham sendiri, kenapa pulak saya yang perlu keluar surat pulak. Lepas tu saya tanya, kenapa percaya lelaki tu masih bujang, kan dah umur 50 tahun lebih.

"Macam ni tuan. Dia ni, setiap kali kalau saya telefon atau sms, dia jawab, tak kira bila, siang ke malam. Kalau dia dah kawin, tentu kekadang payah nak jawab telefon atau sms". Kata dia.

Oh gitu rupanya dia percaya lelaki ni bujang.  Setakat telefon dan sms selalu dijawab dah dikira bujang. Kalau gitu, kepada sesiapa yang nak menyamar bujang....kalau perempuan sms dan telefon, kena jawab bila-bila masa saja. Barulah perempuan tu percaya.

28 Jun 2010

Sudah Nasibku 'Mat Burger' : Episod 24

Yanti hanya mampu tergelak tanpa menjawab soalan Aboi, bukan sesuatu yang lucu tapi siapa yang tahu betapa sedihnya Yanti akan meninggalkan JB esok.

Esoknya, Ahad, sebelum turun ke rumah, Yanti telefon Noor yang berada di kampung yang dia masih menyewa rumah itu, bayar separuh iaitu 300 seorang seperti biasa walaupun Yanti tak duduk situ lagi. Banyak barang yang Yanti tinggalkan seperti mesin basuh, peti ais, tv, kerusi meja, almari dan katil. Yanti hanya bawak pakaian dan barang penting saja. Yanti turun rumah jam 8.00 pagi.

Selepas itu, Yanti pusing dan lalu di depan rumah Man. Dilihatnya tiada kereta dan van burger Man di situ. Kereta di kedai cat, van mungkin Aboi yang guna, fikir Yanti. Rumah Man kelihatan bersepah, ada banyak daun-daun di depan rumah seperti rumah tinggal. Terubat rindu Yanti bila dapat lihat rumah Man walaupun Man tiada di situ. Dulu Yanti selalu juga curi-curi lalu terutama pagi Ahad, saja-saja lalu kalau-kalau Man ada di depan rumah. Yanti pasti rindukan itu semua selepas ini. Kemudian, Yanti jalan ke warung Man pula, dilihatnya warung Man yang bertutup itu. Selepas ini, dia tak dapat lagi lalu dan  bermain mata dengan Man di situ yang biasanya hampir setiap petang dan malam.

Yanti kemudian ke kedai mamak Osman, mengisi perut untuk sarapan pagi. Di situlah Yanti selalu makan minum dengan Man terutamanya sarapan pagi atau makan malam. Kelihatan ramai orang di situ, tapi Yanti keseorangan. Hampir tak pernah Yanti keseorangan minum di situ, biasanya Man atau Noor yang teman. Dulu sebelum datang JB, Yanti tak pernah lansung minum kedai mamak. Waktu itu, sebut saja kedai mamak, tekak Yanti dah naik loya, belum makan lagi.

Dalam kepala Yanti, roti canai mamak orang kata sedap sebab mamak tu uli tepung dengan bulu tangan lebatnya. Lepas tu dikesat dan direnjis peluh, sebab tu orang ramai makan. Itu dulu, sekarang Yanti pula peminat roti canai mamak selepas berkawan dengan Man. Tangan Yanti memegang telefon, seolah-olah hendak sms seseorang. Yer, Yanti rindukan Man pagi itu, tiada teman semejanya, Yanti kelihatan kekok duduk seorang, tapi dia memang seorang. Takkanlah Yanti nak sms Man, Man kan belum sihat, nanti kalau jawab pun adik Man atau mak ayah Man, tak ada makna nyer.

Yanti bertolak ke KL dalam jam 9.00 pagi. Dalam kepala Yanti, dia nak ke rumah kawannya di Gombak, kawan rapatnya seuniversiti, Nani orang Kluang. Dalam perjalanan, Yanti menerima banyak panggilan dari kakaknya, Azizah. Tapi Yanti tak mahu jawab dan Yanti tak berapa suka jawab telefon masa memandu. Dalam jam 1.30 Yanti tiba di rumah Nani di Gombak. Nani dah biasa menerima Yanti sebagai kawan yang selalu yanti datang kalau balik KL. Tapi hari itu, Nani nampak perbezaan pada Yanti, pakaian dan barang yang dibawanya banyak, tak seperti biasa.

Banyak perkara dalam hidup Yanti, dia ceritakan pada Nani. Sebelum ini pun, Nani dah tahu cerita kisah cinta Yanti dengan Mat burger yang mendapat halangan keluarga. Jadi, bila Yanti kata dia pindah KL dan hendak duduk di situ, Nani terima sahaja. Sebelum ini, Nani duduk 3 orang, kalau tambah seorang lagi tak mengapa.

Isnin, Yanti melaporkan diri di pejabat barunya. Biasalah hari pertama, Yanti agak pemalu dengan teman-teman baru di situ. Banyak tugas pada hari pertama Yanti terutama bidang latihan kepada kakitangan. Itu bukanlah suatu yang membebankan sebab Yanti sudah biasa dengan tugas sebegitu di JB dulu. Yanti ambil keputusan untuk terus di KL, tanpa menangguhkan pertukaran selama seminggu. Yanti rasa, JB itu jauh, lagi pun Yanti fikir, tidak ada apa lagi di JB, Man pun tak ada lagi.

Di JB, Aboi dah mulakan niaga burger setelah bercakap dengan ayah Man. Aboi setuju guna modal duitnya dan keuntungan diserahkan pada Man dan Aboi ambil upah harian saja. Hari pertama di gerai burger, banyak soalan terutama dari pelanggan tetap Man. Bila ditanya, Aboi kata Man kemalangan dan masih dirawat di kampung. Ramai kawan-kawan Man melahirkan rasa simpati dan mengharapkan Man cepat sembuh.  Petang itu juga, ayah Man datang dari kampung naik bas untuk ambil kereta waja Man yang dah siap awal. Ah Cai yang telefon ayah Man dan ayah Man jumpa resit dalam beg Man. Di kedai cat tu, ayah Man memperkenalkan diri dan nak ambil kereta.

"Mana itu Man burger, takda mari angkat kereta ?". Tanya Ah Cai, lelaki dalam 40-an itu, kurus, dan Bahasa Melayunya fasih juga.

"Tauke. Man kemalangan, sekarang kat hospital di kampung". Kata ayah Man.

"Ayyyaaa... mana macam boleh eksiden, itu hari tengok sini baik saja ? Patutlah, sudah lama tak bukak itu kedai  burger". Kata Ah Chai.

"Man kena pukul, orang jahat pukul sama dia". Kata ayah Man.

"Itu genster pukul ka ? Apa pasat orang baik-baik kena itu macam ?". Kata Ah Chai.

"Tak tahulah tauke, ini bandar besar susah mahu cakap. Buat baik sama orang pun, orang buat tak baik sama kita ". Kata ayah Man.

Ayah Man keluarkan duit 1900 seperti dalam resit dan beri pada lelaki Cina tu. Tapi, Ah Chai tak mahu duit.

"Ini kereta angkat dululah. Nanti Man burger sudah baik, datang sini bayar. Ini hari gua tak mahu angkat wang". Kata Ah Chai.

Ayah Man serba salah. Dia hairan kenapa seorang lelaki Cina yang ayah Man tak kenal, boleh sebaik itu.

""Ayyaaa. Itu Man burger banyak baik punya orang. Kawan sama saya sudah lama oooo. Gua tak mahu angkat wang ini hari. Ini wang kasi itu Man beli ubat, kasi baik cepat". Kata Ah Chai.

Ayah Man bawa balik kereta waja tu ke kampung tanpa bayar pada Ah Chai tu. Teringat pula ayah Man akan Yanti, Yanti semurah itu keluarkan 10,000 dah tak minta ganti. Ayah Man tetap hulurkan duit 1900 tu pada Ah Chai, lagi pun ayah Man tak tahu berapa lama Man boleh baik dan boleh bayar pada Cina tu. Tapi Ah Chai tetap tak mahu. Tiga hari lepas tu, keadaan Man beransur pulih dan sudah boleh bercakap. Man dibenarkan pulang ke rumah dan diminta oleh doktor untuk tak buat kerja-kerja berat.

Yanti kerja seperti biasa dan terus menetap di rumah kawannya, Nani. Satu hari, ditempat kerja, ada sorang datang berjumpa Yanti. Yang datang itu adalah ibu dan kakak Yanti, Azizah. Yanti sudah tidak boleh mengelak kerana orang di pejabat tahu yang datang itu adalah ibu dan kakak Yanti. Kenapa mereka datang ? Bersama siapa mereka datang ?

.....BERSAMBUNG KE EPISOD 25
http://kadikluang.blogspot.com/2010/07/sudah-nasibku-mat-burger-episod-25.html (Episod 26)

27 Jun 2010

Maut Selepas Terjun Hotel, Waktu Serbuan Penguatkuasa Agama

Seorang lelaki mati selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah hotel di bandar ini dipercayai ketika cuba mengelak daripada dicekup sepasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan  (JHEAIK) dalam kejadian awal pagi semalam. Lelaki terbabit disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas dipercayai mengalami pendarahan teruk di kepala.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi, ketika mangsa dipercayai berada dalam sebuah bilik di hotel tersebut sebelum diserbu oleh penguat kuasa agama. Sumber hotel memberitahu, sebelum kejadian, hotel tersebut telah didatangi sepasukan pegawai JHEAIK yang meminta kebenaran untuk menjalankan pemeriksaan dan ketika serbuan di salah sebuah bilik di tingkat tiga didapati seorang wanita duduk berseorangan di bilik berkenaan.

Beberapa minit kemudian, menurutnya, seorang peniaga bersebelahan hotel itu memaklumkan terdapat seorang lelaki terjatuh dari bangunan hotel dalam keadaan berlumuran darah.

"Ketika ditemui, lelaki itu mengerang kesakitan dan kakitangan hotel kemudian menghubungi ambulans sebelum lelaki terbabit dibawa ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Artikel lama saya:
Saya ada pengalaman Seperti ini.


25 Jun 2010

Sebelum Akad Nikah, Pastikan Tangan Jangan Bau Ikan Sardin

Jadi jurunikah ni macam-macam gelagat pasangan pengantin boleh jumpa. Selalu dalam kursus pra perkahwinan, saya pesan, pengantin jangan buat sesuatu yang boleh menyinggung perasaan jurunikah. Mungkin dalam sedar atau tidak, perbuatan mereka menyebabkan jurunikah terasa hati, perlu dielakkan.

Baru tadi, saya nikahkan satu pasangan. Bila mula akad nikah, tangan lelaki tu bau ikan sardin. Majlis dah mula, takkanlah saya nak suruh dia keluar basuh tangan pakai sabun dulu, teruskan je lah akad nikah. Memang kuat bau sardin tangan kanan dia tu yang melekat pada tangan saya pulak bila bersalam untuk akad nikah. Selesai majlis, cepat-cepatlah saya pergi tandas cuci tangan pakai sabun. Tak patut betul pengantin lelaki camtu... BANYAK-BANYAKKANLAH BERSABAR


Mungkin anda minat artikel ini :

Tajuk : "Kadi Kluang Nikah Lagi Satu"
http://kadikluang.blogspot.com/2010/04/kadi-kluang-nikah-lagi-sudah-suratan.html


Tajuk : "Cincin Pengantin Tak Muat"
http://kadikluang.blogspot.com/2010/04/cincin-pengantin-tak-muat.html

Cerai Talak Tiga Pelakon Anne Ngasri: Tak Boleh Rujuk, Tak Boleh Nikah Semula

Pelakon Anne Ngasri sah bercerai talak tiga dengan suaminya, Abdul Wafi Hassan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Hakim syarie, Shaiful Azli Jamaludin mensabitkan tiga talak yang dilafazkan sebanyak tiga kali oleh Abdul Wafi terhadap Anne iaitu talak pertama pada awal Julai tahun lalu, talak kedua pada pertengahan Julai lalu dan talak ketiga pada 25 Mac lalu.

Dalam kes cerai talak tiga, pasangan tak boleh rujuk semula. Juga tak boleh nikah semula dengan bekas isteri. Kalau nak nikah juga, kena tunggu perempuan nikah dengan lelaki lain selepas habis edah, berlaku persetubuhan selepas nikah, kemudian bercerai. Bila habis edah perceraian tu, barulah boleh nikah semula dengan suami lama. Itu pun kalau nak nikah semula.

Sudah Nasibku 'Mat Burger' : Episod 23

Selepas bermalam di hotel malam itu, Sabtu pagi, Yanti hendak pulang ke JB. Memang kena baliklah, Ahad nak ke KL pulak. Sebelum pulang, pagi tu sempat Yanti melawat Man di hospital. Waktu itu hanya ada ayah dan ibu Man yang temankan Man, adik-adik Man mungkin kat rumah. Man sedang tidur waktu itu. Menurut kata ibu Man, Man boleh keluar 2 atau 3 hari lagi dan ibu Man akan menjaga Man di rumah. Bila hendak pulang ke JB, Yanti bersalaman dengan ibu Man. Ibu Man memperkatakan sesuatu pada Yanti.

"Terima kasih Yanti atas segala pertolongan. Duit Yanti akan kami pulangkan semula bila Man dah sihat nanti". Kata ibu Man. Yanti terkejut.

"Pulangkan ? Tidak makcik, pertolongan Yanti ikhlas. Yanti tak mintak semua tu." Kata Yanti.

"Yanti. Man sudah beritahu makcik sebelum pembedahan, yang dia nak bayar semua tu. Cuma hari tu Man tak dapat bayar, dia sudah terbaring". Jelas ibu Yanti.

"Tidak makcik. Pertolongan Yanti ikhlas, ikhlas makcik". Kata Yanti.

Kemudian, bapa Man yang dari tadi mendengar perbualan itu berkata sesuatu.

"Yanti. Terima kasih kerana membantu kami sekeluarga. Yanti mendahulukan duit pada malam itu pun sudah dikira pertolongan yang besar. Kami hargai pertolongan Yanti itu. Cuma, bila Man dah sihat dan boleh ambil duit di bank nanti, Man akan pulangkan semula". Kata bapa Man.

Yanti semakin serba salah. Sebenarnya pertolongannya itu ikhlas, bukan tujuan lain. Itu adalah pengorbanan Yanti kepada Man. Yanti rasa itu adil. Adil sebab kecederaan dan kesakitan dialami Man tidak ternilai dengan wang 10,000 itu. Yanti rasa, dia perlu jelaskan sesuatu pada keluarga Man.

"Makcik...maafkan Yanti. Ada sebab yang paling besar kenapa Yanti sanggup keluarkan 10,000 itu...". Kata Yanti.

Mak dan ayah Man terdiam seketika dan memasang telinga mendengar ayat-ayat seterusnya yang bakal keluar dari mulut Yanti. Yanti pula berhati-hati mengeluarkan setiap kata-kata, jangan sampai tersalah cakap.

"Pakcik, makcik... tolonglah terima pemberian Yanti ini. Jangan biarkan hidup Yanti terus dalam keadaan bersalah. Yanti anggap wang 10,000 itu sebagai penebus dosa dan kesalahan Yanti pada abang Man". Kata Yanti.

"Menebus dosa dan kesalahan ? Apa maksud Yanti ?" Tanya ayah Man lagi. Yanti terdiam seketika.

"Tak ada apa-apa pakcik. Yanti benar-benar berharap, duit 10,000 itu jangan dipulangkan... Man sepatutnya menerimanya lebih dari itu.". Kata Yanti.

Ayah Man lihat Yanti benar-benar mempertahankan pemberiannya itu. Ayah Man akhirnya akur juga untuk hari itu. Lagi pun, dia tahu Yanti nak balik ke JB hari tu setelah dua malam di situ.

"Ok. Yanti, terima kasih atas segala pertolongan Yanti." Ayah Man.

" Sama-sama". Jawab Yanti ringkas.

Yanti bersalaman dan memeluk ibu Yanti. Biasalah, ibu Yanti menangis kesedihan dalam dakapan Yanti. Yanti pun turut menangis kesedihan. Sebelum pulang, Yanti sempat memegang kaki Man yang berselimut itu.

Sampai di JB, rumah Yanti kosong, bila ditelefon rupanya Noor balik kampung di Melaka. Yanti kemas sikit-sikit barangnya untuk dibawa ke KL esok. Petangnya, Yanti keluar untuk cari makanan dan Yanti saja-saja nak jenguk gerai Man. Maklumlah dah lama tak tengok gerai Man, paling kurang terubat rindu Yanti kalau dapat tengok gerai burger Man. Waktu lalu di depan gerai Man, Yanti lihat ada Aboi duduk di atas kerusi mengadap gerai sedang berbual dengan seorang lelaki. Gerai tak buka pulak. Yanti berhentikan kereta dan Aboi nampak Yanti berhenti. Aboi datang ke kereta Yanti.

"Kak Yanti, apa kabar abang Man, dah sedar ke ?". Tanya Aboi.

"Alhamdulillah, abang Man  selamat dan dah mula sedar". Kata Yanti.

"Baguslah abang Man dah sedar, mungkin tak lama lagi abang Man sihat sepenuhnya dan boleh berniaga semula". Kata Aboi.

"Kita doakan begitulah. Dua tiga hari lagi Man boleh keluar hospital dan duduk di rumah dulu. Kalau dah baik betul, barulah boleh niaga". Kata Yanti.

"Lagi satu Kak Yanti, Aboi cadang nak buka gerai ni sementara Man masih kat kampung. Ramai pelanggan dah tanya bila abang Man nak bukak semula. Pembekal daging dan roti burger pun dah banyak kali datang tapi dia tengok gerai tutup jer. Macammana kak ? Boleh ke saya buka ?" Tanya Aboi.

"Itu kamu tanyalah mak atau ayah Man sebab Man pun belum boleh bercakap lagi, hanphone dia pun tak pegang. Kak fikir elok juga kau niaga, paling kurang pelanggan tak lari". Kata Yanti, macamlah dia tahu sangat pasal niaga.

"Ok kak, mintaklah nombor telefon keluarga Man, nanti nak telefon". Kata Aboi.

Yanti pun kasi no tel keluarga Man kepada Aboi. Kemudian Yanti beritahu sesuatu pada Aboi.

"Aboi. Hari ni kakak hari terakhir di JB ni. Esok dah pindah KL". Kata Yanti.

"Pindah KL, kenapa pindah? Kak Yanti mintak ker" Tanya Aboi.

"Ermmmm.. biasalah Aboi, kita bekerja ni ada masa kena pindah-pindah".Kata Yanti.

"Habis bagaimana dengan abang Man, Kak nak tinggalkan abang Man ker ?". Tanya Aboi.

"Abang Man ? Haha..." Yanti tergelak dan tak jawab soalan itu.

Kenapa Yanti tergelak, kenapa dia gelak ?

.......BERSAMBUNG KE EPISOD 24

http://kadikluang.blogspot.com/2010/06/sudah-nasibku-mat-burger-episod-24.html (Episod 24)

24 Jun 2010

Apa Cerita Maya Karin dan Suami ke Mahkamah Syariah ?

Pelakon, penyanyi, pengacara dan model terkenal, Maya Karin Roelcke dan suaminya Muhammad Ali Abdullah atau Steven David Shorthose hadir secara berasingan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini.

Maya, 31, tiba di mahkamah tersebut pada pukul 2 petang bersama peguam syarie yang mewakilinya, Husniah Husin sementara suaminya tiba sejam kemudian bersama seorang rakan. Kesemua mereka memasuki kamar Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin selama dua jam.

Sejurus keluar, Maya dan peguam syarienya enggan memberikan sebarang komen ketika disoal oleh media mengenai urusan mereka ke mahkamah tersebut.

Masak Mee Goreng Udang : Bestttt Gitu



Petang ni nampak ada masa sikit kat rumah, bolehlah masak. Cadang nak masak mee goreng. Tengok kat peti ada sebungkus mee goreng setengah kilo dan ada udang sederhana besar. Sayur nampaknya dah takde, tak gi beli lagi. Tak ada sayur pun takpe, kalau ada lagi bagus.  Kira bolehlah masak mee goreng udang. Ok, chef nak ajar resepinya.

Ambil bawang putih dua ulas, ketuk dan buang kulit. Siang dengan gunting muncung kepala udang dan kaki, kepala jangan buang. Mee keluar dari peti ais, tak payah keluarkan, nanti terus ke dalam kuali jer. Jangan risau, tak keras punya.

Panaskan kuali dan letak minyak, kemudian masukkan bawang putih tadi, biar sampai naik bau sikit. Kemudian masukkan udang tadi (tadi letak 5-6 ekor), biar hingga merah sikit udang tu. Kemudian masukkan kuah kicap (rahsia peribadi) dalam setengah gelas.

 Kemudian kuatkan api, tadi tak kuat sangat. Lepas tu masukkan mee dari  plastik tadi. Kacau hingga sebati. Kemudian letakkan campuran kicap manis dan kicap masin sesedap rasa, tak payah banyak sangat. Kacau dan kira dah masaklah tu. Dari mula tadi, tak sampai pun 10 minit. Makan, sedappppp..... Kenapa ? Tak percaya ker ?......

Siapa Suruh Intai Anak Dara....

Bapa beranak lima didenda RM100 di Mahkamah Majistret, di sini semalam selepas mengaku salah mengintai wanita berusia 25 tahun mandi di sebuah rumah di Taman Jasmin, Jalan Mat Kilau, 21 Jun lalu. Tertuduh, lelaki, 44, dari Taman Uda, Batu 4, Jalan Gambang, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Zaihan Mohamed Ali. Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengintai wanita terbabit ketika mangsa sedang mandi di rumahnya di Taman Jasmin, Jalan Mat Kilau, di sini pada jam 7.30 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan tidak senonoh dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100. Nor Zaihan menjatuhkan hukuman denda RM100 ke atas tertuduh atau dipenjara tiga minggu jika gagal membayar denda itu. Pendakwaan dilakukan Asisten Superintendan T Murugesu.

Banjir Kilat di Johor Bahru Semalam

JOHOR BAHRU: Beberapa kawasan di Bandaraya Johor Baharu dilanda banjir kilat selepas hujan lebat selama dua jam sejak 4 petang semalam.

Kawasan yang terjejas termasuk Wisma Persekutuan dan beberapa bangunan di Jalan Ayer Molek seperti Menara Tabung Haji dan Kompleks Mahkamah Johor Baharu. Selain di kawasan bandar raya Johor Baharu, banjir kilat turut berlaku di Masai yang teruk dilanda banjir kilat itu di mana air naik sehingga paras pinggang.

Pada saya, banjir ini bukan berlaku sekali, malah beberapa hari dengan keadaan cuaca sekarang. Ini akan menyebabkan kesesakan lalulintas. Satu lagi, kepada staf dan pengunjung di Wisma Persekutuan dan yang berhampiran, kenalah cepat mengalihkan kenderaan kalau hujan, jangan tunggu sampai air dah naik.

23 Jun 2010

Sudah Nasibku 'Mat Burger' : Episod 22

"Helo Yanti.. Selamat Hari Jadi...". Suara seorang lelaki yang Yanti sedang camkan siapa lelaki itu. Suara itu kurang jelas sebab suasana bising di belah lelaki itu. Di tempat Yanti pula tidak bising, Yanti berada di penjuru menghala lif seorang diri.

"Errrg.. Siapa ni yer ?" Tanya Yanti untuk kepastian.

"Ini Azharlah... Selamat Hari Jadi, Yanti". Kata Azhar.

"Ohhh Azhar....Harijadi, harijadi siapa pulak ni ?". Yanti bertanya kehairanan.

"Hari jadi kaulah Yanti, kami sambut ramai-ramai di pejabat ni."Kata Azhar.

"Ada pulak hari jadi aku hari ni, kan harijadi aku dua bulan lagilah.."Kata Yanti.

"Tahulah dua bulan lagi. Sebab kau dah tak ada sini dua bulan lagi, maka kami sambut awal hari ni." Kata Azhar.

"Laaaa.. Gitu pulak". Jawab Yanti kehairanan.

"Betul Yanti, kami raikan dengan semua rakan pejabat, semua sekali ada ni, Encik Tasim dan bos pun ada". Kata Azhar.

"Bos ader ?" Kata Yanti.

"Yer, ada kek besar untuk kau dan makanan-makanan lain. Hadiah yang kau dapat dari staf-staf kita pun banyak tu, nanti jangan lupa ambil...... Sayanglah kau tak ada sini. Tapi kalau tak ada pun tak apa, janji kami semua gembira dapat bercakap dengan kau ni". Kata Azhar.

"Ermmmm....... kirim salam semua sekali, aku tak sempat balik JB. Ada hal yang tak dapat dielakkan". Kata Yanti.

""Takde hal ler Yanti, kami semua faham, kau ada perkara lain yang lebih penting. Lagi satu Yanti...ni bos nak cakap dengan kau" Kata Azhar.

"Apa ? Bos nak cakap ? Ada apa hal yer Azhar ?". Tanya Yanti.

"Ala.. cakap jerlah dengan bos, ni ada sebelah ni tengah makan kek". Kata Azhar.

"Ok. Ok...". Kata Yanti. Yanti berdebar-debar bila nak bercakap dengan bosnya, tapi dah tak dapat elak, maka terima sajalah. Waktu itu, suasana di tempat Azhar tu masih bising-bising dan riuh rendah dengan suara orang ramai. Betullah seperti kata Azhar, ada majlis makan-makan.

"Helo Yanti. Kami semua sedang meraikan sempena perpindahan kau Isnin depan. Terima kasih atas sumbangan dan perkhidmatan cemerlang Yanti sepanjang bertugas di sini". Kata bosnya ringkas.

"Terima kasih tuan". Jawab Yanti.

"Kami harap, Yanti terus berkhidmat dengan cemerlang di tempat baru nanti. ...Dan jangan lupa, selalulah berhubung dengan rakan-rakan di sini kalau ada kelapangan. Kalau datang ke JB, jangan lupa singgah di pejabat ni". Kata bosnya lagi.

"Terima kasih tuan. Maafkan Yanti kalau ada salah dan silap pada tuan dan staf-staf lain selama ini. Jasa dan budi baik tuan dan rakan-rakan lain tetap dikenang". Jawab Yanti.

"Yer, sama-sama. Saya dan kami semua pun minta maaf kalau selama ini ada terkasar bahasa, tersalah cakap atau tersalah beri arahan dan sebagainya". Kata bosnya.

"Terima kasih tuan." Jawab Yanti mengakhiri perbualan itu.

Lepas tu, telefon diserahkan pada Azhar semula.

"Ok Yanti. Sekarang kami nak menyanyi ramai-ramai. Lagu ditujukan khas untuk kau.."Kata Azhar.

"Hehe...Lagulah pulak". Jawab Yanti. Azhar pun mulakan menyanyi. Bukan Azhar seorang saja, tetapi kesemuanya menyanyi.

"Allah selamatkan kami...Alah selamatkan kami...Allah selamatkan kami semua.. Allah selamatkan Yanti...". Ramai-ramai menyanyi sehingga bingit telinga Yanti. Dihujungnya mereka bertepuk tangan beramai-ramai.

"Terima kasih. Terima kasih kawan-kawan semua." Jawab Yanti sambil tersenyum.

Perbualan telefon itu memberikan kesan yang mendalam pada jiwa Yanti. Yanti tersenyum selepas perbualan itu. Mulakan, ingatkan Azhar saja buat lawak sambut hari jadi yang hari jadi Yanti dua bulan lagi. Tapi Yanti berterima kasih kepada semua terutama bosnya yang meraikan perpindahannya hari itu. Kata-kata nasihat dari bosnya itu cukup bermakna dalam hidupnya. Yanti sekali lagi tersenyum, tak seperti sebelumnya yang asyik cemas saja.

.....BERSAMBUNG KE EPISOD 23


22 Jun 2010

Pencegah Maksiat Swasta ?

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini dimaklumkan wujudnya satu skuad cegah maksiat swasta yang mengintip dan merakam perlakuan maksiat pasangan bukan muhrim sebelum mengugut pasangan untuk menyiarkan gambar mereka.

Zainuddin Awang Hamat (PAS-Limbongan) berkata skuad berkenaan dilihat cuba membayangi tugas dan tanggungjawab skuad Amru yang dilantik kerajaan negeri dengan menahan pasangan pelaku maksiat itu tetapi dengan cara melakukan ugutan untuk kepentingan dan tujuan tidak diketahui.

 "Apakah kerajaan negeri sedar akhir-akhir ini wujud satu skuad swasta yang pergi tangkap pelaku maksiat, membuat rakaman dan mengugut pasangan itu?" soalnya pada persidangan DUN di sini hari ini. Menjawab soalan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata tiada sebarang laporan rasmi diterima mengenai kewujudan skuad swasta berkenaan.

Beliau berkata pihak berkuasa sentiasa melakukan rondaan di tempat awam yang dikunjungi ramai dan lokasi dikenal pasti sering berlaku maksiat seperti kawasan berkelah, tempat peranginan dan kawasan membeli belah dan pemeriksaan berkala di di rumah-rumah tumpangan bagi mencegah perlakuan mungkar.

Korea Utara Kalah Kena Belasah Teruk 7-0 Dengan Portugal

Sungguh memalukan, tanpa ada rasa belas kasihan, Portugal membelasah Korea Utara 7-0 malam tadi. Pada Portugal, kalau nak belasah pun, janganlah lebih-lebih, simpanlah tenaga untuk perlawanan lain. Portugal jangan tunjuk hero dalam perlawanan awal, banyak lagi perlawanan lepas ni.

Biasanya yang garang-garang mula-mula ni tak ke maner pun lepas ni. Kesian Korea Utara, janganlah sedih sangat. Pasal bola pun nak sedih ker...

21 Jun 2010

Sudah Nasibku 'Mat Burger' : Episod 21

Yanti tutup telefonnya selepas tidak menjawab 2 panggilan dari bosnya. Lepas makan, Yanti terus tidur kerana mengantuk, malam tadi tak lena tidur selepas melawat Man di hospital. Terjaga dari tidur dalam jam 3.30 petang, adalah dikira mustahil kalau Yanti dapat naik ke pejabat hari itu. Tak mungkin sempat untuk balik JB sebelum pukul 5.  Bila dibuka semula telefon, dilihatnya ada sms dari Azhar.

"Yanti. Naiklah ke pejabat. Bos dah bising di pejabat ni.". Sms Azhar.

Yanti tak layan sms tu. Lagilah berserabut kepala Yanti memikirkan perkara itu. Yanti berdiri di tepi cermin tingkap memerhatikan pemandangan di luar termasuk bangunan-bangunan dan kenderaan yang bertali arus. Sambil itu, Yanti mengelamun mengenangkan nasibnya dan apa yang perlu dilakukan selepas ini. Nak taknak, Yanti mesti menempuh hari-hari mendatang dengan sebaiknya.

Yanti dah ada pendirian dan keputusan bahawa dia cuti hari tu dan tak akan naik ke pejabat. Satu lagi yang Yanti fikirkan, Isnin nanti Yanti kena lapor diri di KL. Menurut kata Tasim sebelum ini, kalau nak mohon tangguh beberapa hari, kena lapor diri dulu. Kemudian buat permohonan dengan bos baru di KL, boleh tangguh atau tidak. Tapi bila seakan ada masalah atau halangan dengan bosnya di JB, Yanti seakan tidak mahu tangguh lagi dan akan terus di KL.

Untuk melaporkan diri di KL, Yanti lansung tak ada persediaan. Dia sepatutnya balik ke JB mengemas barang-barang, mana yang patut dibawa ke KL, kalau tak semua, barang yang penting saja. Itu pun Yanti tak buat, jadi macam mana ? Kalau nak lapor diri pun, Yanti sekurang-kurang Ahad dah ada di KL, esok dah Sabtu. Jadi, patutlah Yanti balik ke JB esok, Sabtu, nak bawa sikit-sikit barang kat rumah tu.

Satu lagi yang Yanti fikirkan, Yanti nak duduk di mana di KL nanti. Kalau nak fikir mudah, memang mudah. Rumah mak ayahnya pun KL, tak jauh pulak tu dengan tempat kerja, tak sampai 10 km. Rumah kakaknya Azizah pun tak berapa jauh, pun boleh juga. Tapi Yanti tak mahu susahkan mereka semua. Yanti lebih suka untuk tinggal dengan kawan sama satu universitinya di rumah sewa di Gombak. Biarlah jauh sikit sengan tempat kerja, yang penting ada ketenangan dan kebebasan, fikir Yanti.

Terdapat sedikit perasaan hendak balas dendam dalam diri Yanti. Kalau betullah keluarga Yanti yang ada peranan dalam perpindahan Yanti ni, Yanti hendak mereka semua tidak berpuashati. Kalau mereka hendak Yanti senang dikawal di bawah ketiak ibu bapa dan adik beradik, Yanti berazam untuk menidakkannya. Yanti nak duduk sendirian tanpa susahkan sesiapa. Juga tanpa dikongkong oleh sesiapa. Itu azam baru Yanti bila pindah KL nanti. Walaupun berat nak tinggalkan JB, Yanti nampaknya terpaksa akur. Dia tidak mampu bertahan di posisi pertahanan bila diserang pemain-pemain bolasepak handalan dari setiap sudut.

Yanti kuatkan semangat dan berazam untuk memulakan kerja baru di pejabat baru di KL nanti. Yanti boleh tinggalkan teman-teman sepejabat di JB yang sudah 2 tahun bersama Yanti. Mereka semua sungguh baik dan banyak membantu Yanti di JB. Mereka banyak ajar Yanti cara bekerja dan bergaul dengan masyarakat. Yanti akui dia dulu  seorang yang kurang matang bila mula-mula melangkah ke alam pekerjaan dari seorang pelajar universiti. Pengalaman bekerja di JB cukup bernilai kepada Yanti.

Tapi Yanti tawar hati, kenapa hari akhir Yanti di JB, Yanti buat masalah pula ?  Sedangkan dia sebelum ini seorang pegawai yang cemerlang di pejabat. Tapi hari terakhirnya dia jadi begini, bermasalah dengan bos dan bermasam muka dengan kawan-kawan lain. Tidak ! Tidak ! Maafkan Yanti. Ini bukan kehendak Yanti... Mereka semua tak tahu masalah Yanti, kalau mereka tahu pun, bukanlah mereka boleh tolong Yanti pun.

Yang paling Yanti tak boleh lupakan di JB adalah Man, Man Burger, hero terhandal Yanti. Ikutkan hati, hendak saja terus di JB bersama Man. Walaupun selama ini Yanti tak kawin dengan Man, tapi Yanti melalui hari-hari dalam hidupnya di JB dengan bahagia. Kehadiran Man di dalam hidup Yanti tidak ada galang gantinya, tidak boleh ditebus dengan harta dan wang ringgit. Pada Yanti, kenapa Yanti tak terus di JB, petang petang boleh ke gerai burger Man. Kalau mak ayah halang dari nikah pun tak apa pada Yanti. Yang penting Yanti dapat jumpa Man. Tapi sekarang Yanti terpisah atau dipisahkan dengan insan kesayangannya.

Jam sudah 4.30 petang, Yanti rasa nak ke hospital melihat Man di sana. Bagaimana keadaan Man ? Dah sedar ke belum ? Tiba di bilik Man, Yanti disambut dengan gembira oleh ibu dan adik-adik Man. Syira menuju ke arah Yanti di pintu dan memeluk Yanti.

"Terima kasih Kak Yanti, terima kasih atas pertolongan Kak Yanti... Man dah sedar, Man dah sedar...". Kata Syira.

Yanti lihat ibu Man menangis sambil mengesat air mata. Yanti faham tangisan itu adalah tangisan kegembiraan dari seorang ibu kandung yang satu ketika dulu pernah bertarung nyawa melahirkan seorang anak lelaki bernama Man.

Yanti menuju ke katil Man dan berdiri sebelah kanan Man. Man celikkan mata dan tangannya digerakkan seolah-olah hendak mencapai tangan Yanti. Tapi tangan Man ada wayer yang menghalang. Mulut Man seolah-olah ingin bercakap sesuatu, mungkin nak memanggil nama Yanti. Tapi tiada suara yang keluar dari mulut Man. Tadi doktor sudah beritahu pada keluarga Man yang suara Man tidak keluar dalam dua tiga hari ini kesan dari pembedahan itu. Sesekali Man cuma mengangkat lehernya untuk bangun menyambut Yanti sebagai tetamu tapi tidak berdaya. Mata Man memandang tepat pada Yanti. Kemudian beberapa titis air mata mengalir membasahi pipi Man. Syira secara spontan mengesat air mata abangnya dengan kain tuala.

Yanti tidak dapat menahan sebak dan rasa sedih, walaupun dia sudah berjanji untuk kuatkan semangat tadi. Yanti menangis sepuasnya melihat keadaan Man sebegitu. Yanti sedih melihat keadaan Man yang sebelum ini ceria bercakap dan bergurau terutama kepada pelanggan burgernya. Tapi sekarang suara Man sudah hilang macam orang bisu. Keadaan tubuh Man pula, sebelum ini memang sudah kurus, tapi hari ini nampak semakin kurus kering, nampak tulang. Yanti cukup sedih.

Bagaimanapun, Yanti tetap gembira kerana Man dah selamat. Yanti seakan tidak selesa bila adik Man ucapkan terima kasih pada Yanti, sudah pasti kerana duit 10,000 yang Yanti sumbangkan itu. Yanti ikhlas membantu, lagipun Yanti mampu melakukannya. Yanti harap, dengan sumbangan yang tak seberapa itu, Man dapat memaafkan Yanti. Yanti rasa, Yanti banyak bersalah kepada Man sehinggalah Man jadi begini.

Tak lama kemudian, tepat jam 5.00 petang, Yanti menerima satu panggilan telefon dari pejabatnya di JB iaitu nombor pejabat. Yanti keluar dari bilik Man segera. Yanti serba salah untuk jawab dan tidak jawab panggilan kali pertama itu. Perasaannya berdebar-debar dan tertanya-tanya siapakan yang memanggil itu. Tasim ? Azhar ? Noor ? Atau bosnya ? Atau ada sesiapa yang lain pula di pejabat.

Kemudian sekali lagi telefon berbunyi, panggilan dari nombor yang sama....Kali ini, Yanti rasa nak jawab panggilan ini untuk menamatkan teka-teki siapa orang yang membuat panggilan itu. Yanti beranikan diri menjawabnya.

"Helo Yanti, sebentar ada panggilan dari pejabat...". Kata operator telefon wanita di pejabatnya.

Jantung Yanti terus berdebar.. Siapa pemangilnya ? Kalau sesiapa yang telefon pun, apa tujuan telefon Yanti. Operator pulak tak beritahu siapa yang nak bercakap dengan Yanti. Berita apa ? Berita gembira ke berita tak gembira pulak ... ?

....BERSAMBUNG KE EPISOD 22

Jumpa Janin Dalam Tandas Stesen Minyak

PELABUHAN KLANG: Satu ketulan darah sebesar tapak tangan yang dipercayai janin ditemui di dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di Pendamar Indah 2 di sini, pagi tadi.  Janin itu ditemui kira-kira jam 7 pagi yang dipercayai sengaja dibuang di situ.

20 Jun 2010

Sudah Nasibku 'Mat Burger' : Episod 20

Yanti menghampiri ibu Man dengan keaadaan yang mencemaskan. Yanti kehairanan, kenapa ibu Man menangis bila melihat Yanti. Pada fikiran Yanti, Yanti bimbangkan keselamatan Man. Adakah Man selamat ? Atau Man sudah mening..... ? Yanti kuatkan semangat untuk melangkah ke arah ibu Man untuk mengetahui jawapannya. Ayah Man dan adik-adik Man memerhatikan saja Yanti tanpa berkata apa-apa.

"Makcik . Bagaimana keadaan Man ?". Tanya Yanti.

Tanpa menjawab soalan itu, ibu Man memeluk Yanti dan air matanya terus mengalir dengan derasnya dalam dakapan. Yanti terus kehairanan dan jantungnya terus berdebar kencang

"Bagaimana abang Man makcik ?". Yanti terus bertanya.

Ibu Man masih tidak dapat berkata-kata, kemudian ayah Man menenangkan keadaan.

"Sama-sama kita doakan keselamatan Man. Sudah beberapa jam kami menunggu di sini tapi masih belum ada jawapan dari doktor atau jururawat". Kata ayah Man.

Yanti sedikit lega dengan jawapan itu. Yanti melepaskan pelukan ibu Man tadi. Pada Yanti, dia bimbang kalau-kalau jawapan dari ayah Man tadi menyatakan abang Man dah mening... Tapi tidak, kesemuanya masih menunggu berita. Yanti faham, ibu Man menangis kerana bimbang. Biasalah seorang ibu tak dapat menahan kesedihan bila anak kesayangannya bertarung dalam bilik pembedahan seperti itu. Ditambah lagi, kalau dijanjikan tempoh masa pembedahan satu jam, pada ibu Man, sejam itu mestilah tepat juga. Tapi Yanti nampaknya dapat mengawal perasannya. Pada Yanti, kelewatan seperti itu tidak sepatutnya dirisaukan sangat.

Kemudian Yanti nampak seorang lelaki keluar dari bilik pembedahan itu, lagaknya seperti doktor dalam lingkungan 40-an. Yanti pergi ke arah lelaki tersebut dan berbual dalam bahasa Inggeris. Betullah itu salah seorang doktor yang bertugas pada malam itu.  Diberitahu kepada Yanti, Man sudah selesai pembedahan tetapi masih dirawat di dalam bilik itu dan belum dibenarkan keluar lagi. Bila ditanya, bagaimana keadaan Man, doktor tersebut enggan ulas lanjut atas sebab-sebab tertentu.

Apabila Yanti kembali ke kerusi menunggu, ayah, ibu dan adik beradik Man menerpa ke arah Yanti untuk mengetahui perkembangan cerita baru yang Yanti perolehi. Bila dijelaskan, keluarga Man mulai lega dan serba sedikit hilang perasaan sedih.

"Doktor kata, Man masih perlu rawatan lanjut di dalam dan bila dah selesai, Man akan dibawa ke bilik semula. Harap kita semua bersabar". Kata Yanti.

Tak lama kemudian, dalam jam 1.30 pagi, Man dibawa ke bilik Man tadi. Keadaan kepalanya berbalut dan Man belum sedarkan diri. Pada alat yang Yanti fikir sebagai pengukur denyutan nadi, keadaan Man stabil, cuma belum sedar selepas pembedahan. Yanti kembali ke hotel manakala keluarga Man tidur menemani Man.

Esoknya jam 8.30 pagi, Yanti ke hospital lagi melawat Man. Waktu itu Man masih belum bangun tidur atau beum sedar. Menurut Syira, malam tadi dia nampak ada pergerakan pada mulut, kaki dan tangan Man.

Di pejabat Yanti di JB, Yanti tak hadir dan diberitahu oleh Noor, rakan serumahnya, Yanti mohon cuti. Bagaimanapun, sukar untuk ketua keraninya, Tasim untuk membenarkan Yanti bercuti.

"Hari ni dia cuti ? Kan hari ini hari terakhir dia bertugas di JB ni. Isnin dia kena melapor diri di Kuala Lumpur." Kata Tasim pada Noor.

"Saya tak tahulah Encik Tasim. Yanti cuma beritahu saya itu saja. Dia kata, hari ni dia cuti. Dia pun tak kata dia berada di mana. Malam tadi dia tak tidur kat rumah". Kata Noor.

"Masalahnya kalau bos tanya nanti saya nak jawab apa. Hari ni bos mesti tanya dan nak jumpa Yanti untuk serah tugas dan lain-lain lagi. Kalau Yanti tak ada, susahlah nanti." Kata Tasim.

"Saya cuma menyampaikan pesan Yanti saja. Kalau Encik Tasim nak tau cerita lanjut, telefonlah Yanti sendiri". Kata Noor.

Tasim serba salah juga untuk telefon Yanti. Bos ada di pejabat hari ni. Mungkin sebentar lagi bos tanya Tasim pasal Yanti. Tasim nak jawab apa ? kalau cuti mesti isi borang cuti dan mohon cuti dulu. Lagi pun hari terakhir di JB takkanlah bos boleh benarkan cuti. Macam-macam benda kena buat. Tasim kemudian panggil Azhar yang sebaya Yanti. Tasim dan Azhar keluar minum bersama pagi itu. Di kedai makan mereka berbual pasal Yanti.

"Azhar. Boleh ke kau telefon Yanti. Kalau boleh mintak dia naik pejabat juga hari ni. Banyak benda nak selesaikan." Kata Tasim.

"Telefon Yanti suruh dia naik pejabat ? Susahlah Encik Tasim, silap haribulan, saya pulak kena marah dia pulak nanti". Kata Azhar.

"Saya faham Azhar. Tapi saya rasa kau seorang sajalah yang boleh berbincang dengan Yanti tu. Kalau Noor tu, saya nampak macam takut-takut dengan Yanti tu". Kata Tasim.

Azhar akhirnya akur dan bersetuju menelefon dan memujuk Yanti. Waktu di hospital, telefon Yanti berbunyi. Dia tahu itu panggilan dari Azhar dan menjawab panggilan tersebut.

"Yanti. Apa khabar ? Ada di mana sekarang ?". Kata Azhar.

"Baik. Aku sihat. Aku berada di satu tempat lain, bukan JB. Aku sendirian untuk mencari ketenangan jiwa." Kata Yanti.

"Ketenangan jiwa ? Bagus lah tu Yanti, harap-harap kau enjoy dengan suasana di situ". Azhar.

"Maklumlah Azhar. Kau kan tahu, orang dah tak suka aku lagi kat JB. Jadi, baiklah aku membawa diri". Kata Yanti.

"Janganlah cakap camtu Yanti. Kami semua sedih kehilangan kau di sini.." Kata Azhar.

"Kau tak kena macam aku rasa, Azhar. Tak apalah, aku turutkan saja, apalah daya aku... Errrrg, apa cerita kat opis hari ni ?" Kata Yanti.

"Pasal opis ? Inilah nak beritahu kau Yanti. Kalau boleh, kau naiklah opis hari ni. Hari ni hari akhir kau kat sini, ada banyak benda perlu buat, pasal tugas, rekod perkhidmatan, cuti dan lain-lain. Lagi pun kami nak jumpa kau hari last ni". Kata Azhar sambil memujuk.

"Naik opis ? Taknaklah...... aku bukan ada kat JB ni, aku jauh. Aku kan cuti banyak lagi, takkan cuti sehari pun bos nak bising ". Kata Yanti yang masih berkeras.

 "Oklah. Lagi satu, kalau bila-bila bos tanya hari ni, susah Encik Tasim nak jawab. Encik Tasim kata, mesti bos nak jumpa kau hari ni. Apa encik Tasim nak jawab pada bos". Kata Azhar. Yanti terdiam seketika.

"Yanti. Fikirkanlah kerja kita. Jangan sampai rekod kerja kita  kotor nanti. Kita kan belum disahkan jawatan. Banyak benda yang kita kena fikir pasal masa depan kerja kita.  Kalau kita tak jaga hati bos, susahlah dia nak menyokong pretasi kerja kita nanti". Kata Azhar lagi.

Yanti termenung selepas perbualan telefon dengan Azhar itu. Fikirannya makin serabut. Man masih belum terjaga lagi. Yanti sukar untuk meninggalkan Man dalam keadaan macam itu, dia tak sanggup. Yanti fikir, sekurang-kurang dia hendak melihat Man sedar dan Man melihat sendiri Yanti yang hadir. Kalau boleh, kali pertama mata Man celik, yang dipandangnya adalah Yanti. Yanti tak mahu melepaskan peluang itu. Itulah bukti paling kukuh yang membuktikan kesetiaan cinta Yanti pada Man Burger.

Dalam jam 11.00 tengahari, Tasim dipanggil ke bilik bosnya.

"Tasim. Di mana Yanti hari ni, tak nampak pun ?". Tanya bosnya.

"Maaf tuan. Yanti tak naik, dia beritahu dia cuti, ada masalah peribadi". Kata Tasim.

"Cuti ? Siapa benarkan dia cuti ?". Kata bosnya.

"Tak tuan. Dia cuma beritahu saja. Saya dah hubunginya dan minta dia kena naik juga tapi sampai sekarang dia belum naik ". Kata Tasim.

"Apa masalah Yanti ni. Hari ni kan hari terakhir. Isnin dia dah kena lapor diri KL. Bila dia nak buat serah tugas dan lain-lain ?". Kata bosnya.

"Maaf tuan. Saya akan cuba hubungi dia lagi". Kata Tasim.

"Tak payah! Biar saya saja hubungi dia kejap lagi". Kata bosnya dengan suara yang agak tinggi.

Tasim keluar dari bilik bosnya dengan muka yang masam. Kakitangan lain dapat lihat perubahan pada muka Tasim yang mereka tahu, mungkin Tasim kena marah bos hari ni. Memang Tasim dah jangka, hal Yanti ini akan menyebabkan bos dia naik angin. Dalam hati Tasim, perasaan marah tetap ada pada Yanti. Hati Tasim membebel, tak sepatutnya Yanti buat begini, dirinya yang jadi mangsa kemarahan bos. Tapi Tasim buat tak kisah saja, kerja pun dah lama sampai dah dekat nak pencen. Jadi setakat kena tegur keras sikit dengan bos ni dah jadi perkara biasa dan tak simpan dalam hati sangat.

Dalam jam 11.30, hari itu Jumaat, Yanti masuk semula ke hotel. Yanti  menyambung untuk bermalam sehari lagi di hotel itu. Tiba di bilik hotel, Yanti dapat panggilan telefon dari bosnya. Yanti tahu, itu bosnya yang telefon melalui telefon bimbit. Yanti cukup gementar untuk menjawab panggilan itu. Yanti ambil keputusan untuk tidak jawab 2 panggilan itu. Fikiran Yanti bertambah kusut. Dia takut bila bos nombor satu sendiri yang telefonnya. Tidak ! Tidak ! Tidak !.. Yanti tak akan jawab panggilan itu.

....BERSAMBUNG KE EPISOD 21



19 Jun 2010

Berjaya 100,000

Alhamdulillah, hari ini blog saya sudah mencapai 100,000 pengunjung. Blog ini baru berusia 9 bulan, yang dimulakan pada September 2009.

Terima kasih kepada semua pembaca blog saya terutama pembaca setia saya. Terima kasih juga kepada penulis blog lain yang membuat pautan di dalam blog mereka dan mempromosi blog saya. Ucapan terima kasih khas ditujukan kepada Mazidul Akmal Sidek  http://mazidulakmal.blogspot.com/ kerana paling banyak membantu menambahkan pembaca saya.

Teruskan membaca blog saya dan memberi sokongan kepada saya untuk terus menulis.

18 Jun 2010

Piala Dunia : Jerman Kalah Dengan Serbia 0-1

Serbia menewaskan Jerman 1-0 pada perlawanan Kumpulan D, Piala Dunia 2010, di Stadium Nelson Mandela Bay, sebentar tadi. Gol dijaringkan Milan Jovanovic pada minit ke-38, seminit selepas pemain Jerman, Miroslav Klose dibuang padang.  Yang saya tengok tadi, satu tendangan penalti pemain Jerman no.10, Podolski tak masuk. Kesian Jerman.

Jangan Cepat Menghukum Pelawak "Apek"

Pelakon komedi terkenal, Apek, yang ditahan  kerana mengambil dadah di sebuah rumah di Subang Jaya, Sabtu lalu, dibebaskan dengan jaminan polis, semalam. Sebelum itu, suspek  direman selama lima hari bermula Isnin lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Setakat hari ini, tiada satu pertuduhan atau pendakwan ke atas suspek.  Dalam kes ini, dia hanya ditahan reman. Kes ini pun belum dipastikan untuk dituduh ke mahkamah atau tidak. Peguam Negara atau Pendakwaraya belum pun mengumumkan untuk mendakwa atau tidak. Kalau dituduh di mahkamah pun, dia bebas melantik peguam dan melalui perbicaraan dahulu di mahkamah. Jadi, jangan cepat menghukum Apek, sebelum mahkamah memutuskan sama ada dia bersalah atau tidak

17 Jun 2010

Azrinaz Mazhar Hakim dicerai Talak 1

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah menceraikan isteri kedua baginda, Azrinaz Mazhar Hakim, bekas wartawan TV3 dengan talak satu berkuat-kuasa petang semalam. Pengumuman rasmi dibuat Istana Brunei, 8 malam semalam menerusi laman berita nasional Brunei iaitu http://www.rtbnews.rtb.gov.bn.

Perceraian itu diumumkan Pengerusi Majlis Adat Istiadat Pengiran Alaudin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar yang disiarkan di laman web berkenaan.

“Baginda atas sebab yang khas yang diperuntukkan oleh hukum syarak menjatuhkan talak satu ke atas Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar pada petang 16 Jun 2010,” katanya dipetik dari laman itu.

Mengikut pengumuman sama, semua gelaran diraja ditarik balik.Azrinaz Mazhar diijab kabul dengan Sultan Brunei pada satu majlis tertutup di Kuala Lumpur pada 2005.

16 Jun 2010

Sudah Nasibku 'Mat Burger' : Episod 19

Di dalam hotel, Yanti seakan sukar hendak lelapkan mata, memikirkan keadaan Man. Tadi Yanti pesan pada Syira, kalau Man dah selesai pembedahan supaya menghubunginya segera. Yanti ternanti-nanti penggilan Syira itu. Yanti teringat suatu yang penting diberitahu pada Man semasa Man dalam perjalanan naik bas hari itu. Iaitu cadangan Yanti untuk nikah senyap-senyap dengan Man di Siam. Hari itu, Yanti berkobar-kobar  beritahu pada Man, seakan memaksa Man menerima cadangan peliknya itu.

Kini, Yanti terasa sangat bersalah kerana semua itu. Yanti fikir, tidak patut seorang wanita yang beriya-iya meminta lelaki berbuat demikian, sedangkan tindakbalas Man nampaknya hambar. Apatah lagi, Yanti seperti memaksa Man melansungkan perkahwinan segera dalam sehari dua ini. Tapi, dengan peristiwa Man masuk hospital dan menjalani pemedahan, Yanti kira cadangannya itu terpaksa dibatalkan segera. Yanti juga malam itu,  mahu melupakan keluarganya yang padanya, perbuatan abangnya Fuad tidak dapat dimaafkan. Juga keluarga-keluarganya yang suka menyakitkan hatinya sahaja. Yanti mahu tenang dalam hotel 3 bintang itu.

Sedang Yanti baring dan mengelamun, kakaknya Azizah telefon. Walaupun pada mulanya berat untuk menjawabnya, tapi Yanti jawab juga.

"Yanti, abah tak sihat dan selalu sebut nama Yanti." Kata kakaknya.

Yanti tersentak tetapi Yanti seakan tidak percaya dengan cerita itu.

"Kak, abah sakit ?  bagaimana keadaannya." Tanya Yanti.

"Sejak akhir-akhir ni, abah selalu sebut nama kau, Yanti.  Dan setiap kali dia sebut Yanti, abah nampak semakin tak sihat. Kami semua risaukan kesihatan abah. " Kata kakaknya.

Yanti bertukar  jadi sedih. Tapi seseekali  Yanti terlintas untuk kata, ini semua berlaku kerana tak mahu ikut kemahuan Yanti.... Kan lebih elok kalau terima saja lelaki pilihan Yanti tu. 

Yanti tahu, dia anak kesayangan abahnya. Dia anak bungsu yang paling dapat perhatian dan paling dimanjakan dalam keluarga. Waktu kecil, hampir ke mana saja mak dan ayahnya pergi, Yanti akan ikut. Kebiasaannya di dalam antara ibu dan ayah, orang lebih manja dengan ibu, tapi Yanti tidak. Yanti lebih rapat dan manja dengan ayahnya. Ayahnya tak tak pernah marah dan tinggi suara dengan Yanti pun selama ini. Berbanding dengan ibu Yanti yang suka bising-bising dengan Yanti walaupun Yanti sudah besar. Oleh sebab itu, Yanti lebih rapat dengan ayahnya berbanding ibunya.

Hampir semua kemahuan Yanti dituruti oleh bapanya. Tapi ada beberapa perkara yang Yanti rasa kecil hati dengan bapanya. Pertama, masa nak belajar ke luar negara, bapanya halang selepas dengar nasihat abang-abang Yanti. Itu yang Yanti rasa sukar menerimanya, lantas menaruh rasa kesal dengan sikap bapanya. Pernah Yanti fikir, bapanya tak mahu Yanti pergi jauh ke luar negara kerana ayahnya mahu dekat dengannya, tapi Yanti tidak boleh menerima alasan itu.

Pada Yanti, cita-citanya sejak di bangku sekolah adalah untuk belajar ke luar negara, kenapa perlu dihalang. Soal kewangan bukan masalah, ke luar negara ada biasiswa dan pinjaman. Yang Yanti kecewa, kenapa bapanya tidak mahu memahami perasaan hatinya.....Selalu hati Yanti berkata, Yanti dah besar, bukan budak-budak kecil lagi yang semuanya ibu bapa nak menjadi penentukan halatuju hidupnya.

Kedua, dalam soal jodoh dan memilih bakal suami, bapanya menghalang setelah dipengaruhi abang-abang Yanti. Dalam hal ini, walaupun Yanti tahu yang menentang ini adalah abangnya, tapi Yanti tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa pada bapanya sendiri. Pada Yanti, kalau bapanya sayangkan Yanti, fikirkanlah kebahagian Yanti, pedulikan apa yang abangnya cakap, Yanti ada pilihan sendiri..... Perbualan telefon antara Yanti dan kakaknya tadi terdiam seketika bila Yanti lama menyelamun, kemudian kakaknya meneruskan bicara.

"Yanti, kau tak boleh berterusan begini... Abah terasa hati dengan kau, hingga kesihatannya terganggu. Ini abah kita, kita pun tak tahu berapa lama lagi umur abah, kita mesti ingat. " Kata kakak Yanti.

Yanti menangis mendengar ayat itu, umur ayahnya sudah lanjut, menjangkau 70-an. Yanti kenangkan bapanya yang tidak berapa sihat dan pernah menjalani pembedahan jantung beberapa tahun lepas.  Darah tinggi abah, kekadang normal kekadang tak berapa menentu, ditambah lagi  kalau dalam kerunsingan. Yanti tidak menolak kemungkinan, kesihatan ayahnya kembali tak stabil bila Yanti seolah-olah menyalahkan  ayahnya dan juga adik beradik lain dalam isu jodoh Yanti.

"Yer kak... maafkan Yanti. " Kata Yanti ringkas.

"Yanti. Kau telefonlah abah sekarang, dia rindukan kau. Abah nak sangat dengar suara anak kesayangannya. Mak kata, hari-hari abah tanya kan kau, dia tanya bila  kau nak telefon, tak larat mak nak jawab. Mak beri alasan macam-macam....kata kau sibuk kerja dan ada kursus. Tapi yanti... sampai bila mak nak bohong abah hari-hari. Kau  telefonlah abah, sekurangnya tanya-tanya khabar". Kata kakaknya lagi.

Perbualan hari itu walaupun agak ringkas, tapi mendatangkan kesan yang mendalam pada jiwa Yanti. Terlintas juga rasa bersalah seorang anak pada bapanya. Sebelum peristiwa  hampir setiap hari, pasti dia telefon dan berbual dengan ayahnya. Tapi sejak peristiwa kemarahan keluarganya pada Mat Burger, Yanti tidak lagi menelefon bapanya, merajuknya berpanjangan. Kerinduan mula terasa pada diri Yanti. Teringat semasa kecil bersama ayahnya.....

Yanti teringat, masa dia dalam umur 6 tahun, dia ikut ayahnya memancing di tepi sawah padi di kampung ayah di Kedah. Dalam ramai adik beradik Yanti, ayahnya suka bawa Yanti hampir ke mana-mana saja masa kecil dulu. Sedang ayahnya syok memancing, Yanti bermain seorang diri di tepi batas. Tiba-tiba, Yanti terjatuh ke dalam sawah kerana tergelincir dan menjerit meminta tolong. Ayahnya terus mencampakkan joran pancing dan terjun ke dalam sawah yang tak berapa dalam itu menyelamatkan Yanti. Walaupun airnya agak cetek juga, tapi kalau bapanya tak sedar tadi, Yanti boleh kelemasan dalam air itu. Balik ke rumah mak Yanti pula membebel pada ayahnya,  kerana mak kata ayah dia cuai jaga anak. Mengimbas kembali peristiwa silam ini, Yanti semakin banyak menangis, teringatkan ayahnya.

Yanti serba sedikit berterima kasih dengan nasihat kakaknya supaya telefon ayah. Mulanya, Yanti nak saja dail dan cakap dengan ayahnya. Tapi bila dikenangkan semula betapa tergurisnya hatinya, Yanti tak jadi telefon. Yanti mahu bersendirian buat masa ini, tak mahu diganggu. Mungkin sehari dua atau esok lusa, Yanti akan telefon bapanya. Hari ini, fikiran Yanti masih bercelaru dalam banyak perkara yang belum selesai-selesai.

Dalam jam 12.00 malam, Yanti terjaga dari tidur. Rupanya dia terlelap tadi, tak tahu jam berapa dia terlena tadi. Yanti melihat telefonnya, tiada satu pun miscal atau sms. Tiada pun panggilan dari Syira untuk beritahu perkembangan dan keadaan Man dari bilik pembedahan. Yanti rasa tak sedap untuk menghubungi Syira, tapi Yanti ambil  keputusan untuk pergi ke hospital yang cuma tak sampai 1 km dari hotelnya menaki kereta.

 Tiba di hospital, Yanti kehairanan bila dilihatnya bilik dan katil Man kosong saja. Yanti sekali lagi membaca tulisan yang tertera penghuni sebenar bilik itu, betul itu bilik Man, tapi ke mana Man ? Hati Yanti kelihatan gusar dan cemas, kalau ikutkan pembedahan sejam seperti kata doktor, sepatutnya jam 9 Man dah keluar, tapi sekarang jam 12.30 Man masih belum kelihatan di biliknya.

Yanti mencari-cari tunjuk arah ke bilik pembedahan dan ditujunya ke tingkat 3. Sedang Yanti menuju ke kaunter pertanyaan, Yanti nampak ayah, mak Man juga adik-adik Man yang lain di kerusi menunggu. Lebih mencemaskan Yanti, mak Man menangis sepuasnya dan  bila melihat kehadiran Yanti sambil mengesat air mata dengan lengan bajunya. Yanti tidak dapat berkata apa-apa, perasaannya terus jadi sedih....... Apa yang berlaku ke atas Man ? Sungguh mencemaskan......

 ....bERSAMBUNG KE EPISOD 20

http://kadikluang.blogspot.com/2010/06/sudah-nasibku-mat-burger-episod-20.html (Episod 20)

15 Jun 2010

Kata Hari Ni Ada Adun Keluar BN, Tapi Adun DAP Pula Keluar Pakatan

Apa cerita ni? Cerita politiklah ......

Ahli dewan undangan negeri Malim Nawar, Perak, Keshvinder Singh a/l Kashmir Singh dari DAP hari ini mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan parti itu.Beliau mengumumkan keputusan untuk berpaling tadah itu pada sidang akhbar di Hotel Holiday Villa, di Subang, tengah hari tadi.

Pada pilihan raya negeri 2008, Keshvinder Singh mengalahkan calon Barisan Nasional Dr Chai Song Poh dengan majoriti 1,362 undi.

Gores dan Menang, Tak Menang-menang

Sindiket gores dan menang yang diperangi habis-habisan sejak beberapa tahun lepas kini dikesan kembali aktif dengan mensasarkan pelajar kolej sebagai mangsa penipuan mereka. Kebanyakan mangsa baru ialah pelajar yang berusia dalam lingkungan 20an dan hanya perlu menggores untuk memenangi pelbagai hadiah yang dijanjikan namun perlu menyerahkan sejumlah wang atau barangan peribadi untuk menuntutnya.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, modus operandi mereka kali ini sama seperti apa yang pernah dilaporkan berlaku cuma sindiket ini menukar pejabat operasi dan kawasan mencari mangsa.

"Sasaran mereka masih sama iaitu wanita, cuma kali ini pelajar kolej kerana mereka tahu mangsa mempunyai wang hasil pinjaman dan mudah terpikat dengan tawaran mudah memenangi hadiah.

"Namun seperti biasa selepas memberikan wang, mangsa tidak memperoleh hadiah yang ditawarkan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Sejak beberapa tahun lepas pelbagai pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan dan persatuan politik dilaporkan memerangi sindiket penipuan itu bagi menyedarkan masyarakat tentang gejala gores dan menang ini.


14 Jun 2010

Piala Dunia Punya Pasal, Jualan Kondom Meningkat


 Kadar jualan kondom naik lima kali ganda di Korea Selatan apabila peminat dan penyokong skuad bola sepak negara itu meraikan kemenangan pertama di Piala Dunia Afrika Selatan, kelmarin. Kira-kira sejuta peminat yang berbaju merah di seluruh negara termasuk 200,000 di Seoul membanjiri dataran, stadium dan taman rekreasi malam Sabtu lalu untuk meraikan kejayaan Korea Selatan menewaskan juara Eropah 2004, Greece 2-0.

Jualan kondom paling laris dicatat di kedai mesra dan pusat makanan segera selepas peminat menyambung untuk meraikan kejayaan itu di jalan raya, demikian lapor akhbar JoongAng Daily. Akhbar itu memberi contoh, di kedai rangkaian Bokwang Family Mart menunjukkan jualan kondom meningkat dua kali ganda.

Kedai di kawasan perumahan juga melonjak dari segi jualan terutama jualan arak dan bir yang meningkat tiga kali ganda dan dua kali ganda untuk makanan ringan. Selepas perlawanan tamat, peminat yang masih dalam semangat bergembira, membeli lima kali ganda kondom berbanding ketika meraikan prestasi Korea Selatan beraksi di Piala Dunia 2006 lalu.

13 Jun 2010

Pelawak Terkenal "Apek" Ditahan Kes Dadah

Polis menahan seorang pelakon komedi terkenal dan lima rakannya serta merampas 40 gram dadah dipercayai ganja di rumahnya di Jalan PJS7 Subang Jaya, dekat sini malam, semalam. Pelakon komedi lelaki berusia 41 tahun itu ditahan bersama rakannya yang berumur lingkungan 20-an dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 10 malam.
 
Kesemua suspek ditahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

12 Jun 2010

10,000 Lagi Guru J-Qaf akan Ditambah


Kementerian Pelajaran merancang untuk menambah 10,000 lagi guru bagi program Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) dalam usaha memperkasakan program itu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penambahan itu amat penting bagi menampung kekurangan guru J-Qaf di seluruh negara, yang kini hanya seramai 14,000 orang.

Katanya, pengambilan tenaga guru J-Qaf juga akan dipermudahkan dari semasa ke semasa tetapi syarat kelayakan mungkin akan diperketat dengan calon lepasan Sijil Menengah Agama (SMA) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan diberi pertimbangan untuk mengikuti pengajian dalam program pendidikan agama di institut pendidikan guru.
"Pada masa sama, kami juga sedang mempertimbangkan beberapa perkara dan melihat kesesuaian masa sebelum membolehkan jawatan guru-guru agama dan J-Qaf diselaraskan mengikut standard terkini,” katanya katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Guru-guru Agama Negeri Kedah, di sini hari ini.
Katanya, perkara itu penting bagi membolehkan program J-Qaf melahirkan lebih ramai pelajar aliran agama yang berkualiti dan berdaya saing selaras dengan pelan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang memberi penekanan kepada transformasi ke arah kecemerlangan.

Piala Dunia : Mexico 1 , Afrika Selatan 1

Keputusan perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010 antara pasukan tuan rumah, Afrika Selatan dan Mexico sebentar tadi berkesudahan seri 1-1. Gol Afrika Selatan diperoleh menerusi Tshabaala pada minit ke-55 dan gol penyamaan Mexico oleh Marquez (m-79).

11 Jun 2010

Pernikahan Bong Mokhtar Raden dan Zizie Izette Sah : Mahkamah Syariah

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari memutuskan bahawa pernikahan ahli parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin dengan pasangannya pelakon Zizie Izette adalah sah. Mahkamah juga mengarahkan supaya pernikahan mereka didaftarkan dengan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Kuala Lumpur, kata peguamnya Zuklifli Che Yong.

Pengesahan tersebut dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303), oleh Hakim Kanan Syarie Mohd Abdul Radzi Abd Latif selepas mendengar penerangan pihak pemohon dan saksi-saksi. Mahkamah dijadualkan membuat keputusan mengenai status pernikahan pasangan itu semalam, tetapi ianya ditangguh ke hari ini.

Pasangan itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan pengesahan dan pendaftaran pernikahan pada 4 Jun lalu. Dalam permohonan itu, pasangan berkenaan juga memohon pernikahan tersebut diterima dan didaftarkan oleh Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan selari dengan Seksyen 12(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Kasi Geran Tanah, Dapat Sejuta Ringgit...PANAS !

Kira-kira sebulan lepas, seorang lelaki datang rumah saya. Hari itu hari Ahad, sebaik saya masuk ke laman rumah, dia pun masuk, mungkin dia tunggu saya balik rumah. Saya memang kenal dia sebelum ini, kira orang yang ada nama juga di Kluang ini.

Dia menawarkan pelaburan, satu darinya, kalau ada geran tanah, photostat dan kasi pada dia. Kemudian akan diadakan temuduga di Labuan, katanya oleh sebuah bank terkemuka di sana.  Dia meyakinkan saya, katanya Labuan sebagai pusat pelaburan bank pesisir. Janganlah sebut saja pesisir, dia faham ke, apa maksud bank pesisir tu. Duit tambang dan hotel kena keluar sendiri. Lepas tu, bank tersebut akan kasi duit sejuta selepas 3 bulan. Saya tanya, tanah itu diberikan kepadanya atau tidak. Katanya tidak, cuma ambil geran saja. Sungguh pelik, tapi dapat duit sejuta. Orang ini pun sudah masuk skim ini dengan memberikan geran tanahnya.

Di pejabat, saya nasihatkan staf saya supaya jangan terjebat dalam skim seperti ini sebab ramai orang di Kluang dah masuk. Seorang staf saya kata, ada seorang kawannya sudah membayar duit RM 10,000 kepada orang tertentu. Duit itu dibayar semasa temuduga di labuan tu. Orang ini rasa, 3 bulan lagi dapat duit sejuta. Saya lagilah tak percaya, kenapa kena bayar duit 10,000 pulak. Mulanya kata tak kena bayar apa-apa.

Hari ni saya terkejut bila baca akhbat Utusan Malaysia, 4 lelaki didakwa semalam di Batu Pahat, kes penipuan geran tanah di Kahang, Kluang. Tahniah diucapkan kepada polis Kluang kerana berjaya membenteras sendikit ini. Kalau dibiarkan lama, makin ramai orang yang terpedaya.

Satu lagi yang saya fikirkan, geran tanah yang diserahkan itu perlu mendapat pengesahan pejabat Tanah Kluang sebelum dibawa ke Labuan. Ada kemungkinan, sendikit ini boleh menukarkan hakmilik tanah ini secara penipuan terancang ? Tak mustahil.


10 Jun 2010

Sudah Nasibku 'Mat Burger' : Episod 18

Yanti tiba di Hospital, terus ke bilik katil Man lebih kurang 5.00 petang. Sebaik dapat berita tadi, Yanti bergegas menaiki kereta seorang diri dari JB. Yanti tinggalkan pejabat begitu saja, tanpa beritahu bos atau ketua keraninya.  Sampai di bilik Man, dengan ditemani seorang jururawat, Yanti lihat Man sedang tidur dan tidak sedarkan diri. Yang Yanti tahu, ikut alat berkomputer itu, denyutan jantung Man normal. Ibu Man sedang memicit-micit tangan Man dari tadi.

Mulanya ibu Man tak perasan Yanti yang datang. Disangkanya seorang doktor muda masuk bersama jururawat. Yanti berdiri depan pintu, merenung tajam ke arah Man dari jauh. Perasaan Yanti amat sedih melihat keadaan Man sebegitu. Berapa banyak wayer dilekatkan di tangan,  hidung, telinga dan lain-lain. Yanti juga perhatikan pergerakan aliran komputer pada alat yang dipasang pada Man. Bunyi alat itu sangat mencemaskan. hati Yanti cukup tersentak.....

"kejam sungguh abangnya Fuad.... Ini sudah boleh sampai ke tahap membunuh..". Bisik hati Yanti. Yanti menangis sepuasnya di hadapan pintu tapi tidak mengeluarkan suara. Ibu Man masih kehairanan, memikirkan kenapa seorang doktor wanita boleh menangis melihat keadaan Man. Menyedari ibu Man tak kenal Yanti, Yanti menuju ke arah ibu Man dan bersalaman.

"Makcik.....Kenal Yanti Makcik ? Maafkan Yanti makcik...". Kata Yanti.

Barulah ibu Man perasan yang itu Yanti, mereka bersalaman dan berpelukan. Kedua-duanya menangis kesedihan.

"Maafkan Yanti makcik, maafkan keluarga Yanti...". Kata Yanti.

Ibu Man kehairanan, kenapa Yanti mohon maaf dan juga mohon maaf bagi keluarga Yanti. Yanti sedar yang dia telah silap cakap. Bila Yanti tanya keadaan Man, tahulah Yanti yang Man tak beritahu siapa yg pukul Man. Yanti diberitahu yang pembedahan akan dilakukan ke atas Man jam 8.00 malam ni. Sekarang ini, Man sedang tidur kerana dimasukkan ubat sebelum pembedahan dilakukan malam nanti.

Dalam jam 6.00 petang, ayah Man dan semua adik beradik Man datang. Yanti kelihatan ramah dengan adik-adik Man. Ada juga beberapa orang yang mungkin sedara mara Man.

"Syira.. sabarlah. Kita semua doakan abang Man selamat. Allah Taala akan bersama kita". Kata Yanti pada Syira. Perkataan itu membuatkan Syira dan adik-adiknya jadi tabah dalam menghadapi ujian ini.

Kemudian semua 4 adik beradik Man duduk bersila di atas karpet dalam bilik itu. Mereka sama-sama membacakan surah Yaasin yang dipimpin oleh Nizar. Suasana di dalam bilik itu sungguh memilukan. Yanti adalah orang yang paling rasa bersalah. Adakah kerana Yanti kekasih Man, Man jadi begini ? ... Soalan ini tiap detik bermain di kepala Yanti. Perlukah Yanti menyesal kerana menyintai Man ?

Yanti nampak adik-adik Man bersatu hati, sama-sama baca Yaasin. Pada fikiran Yanti, keluarga Man dididik dengan pendidikan agama dan akhlak yang cukup baik. Yanti bandingkan dengan keluarga Yanti sendiri, jauh perbezaannya. Walaupun keluarga Man orang kampung, tak kaya, tapi mereka hidup bahagia. Tapi keluarga Yanti  walaupun kaya dan berjawatan tinggi, kekadang bertekak sesama sendiri dan jarang bersependapat.

Yanti sukar mempercayai yang abangnya, Fuad lah yang menyebabkan kecederaan teruk yang dialami Man. Ikut hati, nak saja dia telefon abangnya itu dan memaki hamum abangnya. Tapi Yanti fikir itu tindakan yang sia-sia saja. Yang penting sekarang, bagaimana hendak menyelamatkan nyawa Man. Pada fikiran Yanti, kalau Man mati, bukan saja Yanti yang kecewa, tetapi seluruh keluarga Man akan kehilangan termasuk ibu, bapa dan adik-adik Man. Baru Yanti perasan, Man adalah seorang insan yang sangat bernilai. Kalau Man mati, bukan sedikit orang yang meratapinya. Kerana tingginya nilai yang ada pada Man itulah, Man jadi pilihan Yanti.

Yanti kurang yakin dengan penjelasan ibu Man tadi. Pada Yanti, mungkin ibu Man tersalah terima laporan dari doktor, maklumlah ibu Man orang kampung, tak faham keseluruhan bahasa perubatan. Yanti ajak ibu Man sekali lagi jumpa doktor untuk penjelasan lanjut. Soalnya, wajarkan pembedahan dilakukan ? Bagaimana pula risiko daripada pembedahan ini ? Bila berjumpa doktor, barulah Yanti percaya, apa yang dijelaskan ibu Man tadi adalah betul. Yanti berbicara dengan doktor dalam Bahasa Inggeris. Pembedahan akan dilakukan  doktor pakar jam 8.00 malam ini. Yang paling tersentak, bila doktor jelaskan risiko yang boleh berlaku kesan pembedahan ini. Di antaranya termasuk, Man boleh jadi sakit jiwa. Tapi kebarangkalian itu sangat kecil.

Yanti lihat adik-adik Man sudah selesai membaca Yaasin dan sekarang memegang sama ada tangan dan kaki Man yang masih terlena. Tak lama kemudian doktor memberitahu yang ibubapa perlu menandatangani satu surat sebelum pembedahan dilakukan. Bayaran RM 10 ribu juga perlu dijelaskan dahulu atau cagaran wang. Ibu bapa Man tiada masalah untuk menandatangani borang itu, tapi wang 10 ribu .... ? Ibu bapa Yanti termenung memikirkan, sedangkan pada awalnya menyangkakan boleh bayar kemudian menggunakan kad bank Man, bila keluar nanti.

Melihat keadaan itu, Yanti menawarkan diri untuk membantu.

"Makcik. Jangan susah hati, Yanti nak bantu bayarkan. Gunakan kad kredit Yanti". Kata Yanti sambil tangannya menyeluk ke dalam beg tangan mengeluarkan 2 kad kreditnya.

Ayah dan ibu Man jadi serba salah. Kenapa Yanti yang tidak ada hubungan keluarga dengannya boleh semurah itu untuk membantu. Kesemuanya terdiam tak berkata apa-apa.

"Pakcik, Makcik. Ini pertolongan ikhlas dari Yanti, Yanti tak minta balas apa-apa.. Percayalah makcik..". Kata Yanti lagi. Ibu dan ayah Man berpandangan antara satu sama lain tapi tak berkata apa-apa.

"Makcik, pakcik dan adik-adik....... Kalau kita semua sayangkan Man, terimalah permintaan Yanti ini. Kita semua mahukan Man selamat, kita tak mahu kehilangan Man...Kalau kita lengahkan, nyawa Man dalam bahaya, kita semua mahu Man selamat....". Kata Yanti lagi.

Keadaan senyap seketika, kemudian ayah Man bersuara dalam suara yang sedih. Semua yang hadir mendengar dengan teliti, apa yang ayah Man nak cakapkan.

"Baiklah. Terima kasih Yanti kerana susah payah membantu kami..". kata ayah Man.

Kelihatan adik-adik Man gembira kerana ayah Man menerima tawaran itu. Apa yang penting kepada adik-adik adalah keselamatan abangnya terjamin. Si ayah dan ibu Man pula bukan taknak terus terima, tetapi terfikir pula, kenapa Yanti yang bukan keluarganya begitu mudah membantu mengeluarkan sejumlah wang yg besar. Kalau nak harapkan Tabung Haji mak Man, dah nak malam mana boleh keluar duit.

Yanti, ayah dan ibu Man ke tingkat bawah untuk membuat pembayaran melalui kad kredit, manakala ayah Man menandatangani dokumen sebelum pembedahan dilakukan.

Bila masuk ke bilik semula, kelihatan Aboi bersama mak Aboi baru saja sampai. Aboi perkenalkan maknya kepada mak Man dan orang-orang lain. Mak Aboi menceritakan kepada mak Man yang Man seorang pemuda yang baik dan banyak membantu keluarganya di JB. Pujian demi pujian kepada Man diluahkan oleh setiap pengunjung. Syira tersenyum dan bangga kerana abangnya sebenarnya seorang yang disayangi, tidak seperti kata abangnya malam tadi yang merendah diri sebagai orang terbuang dan penjual burger.

Suasana amat sedih apabila beberapa jururawat masuk ke bilik untuk membawa Man ke bilik bedah. Man akan dibawa masuk ke bilik bedah sekarang ini. Ibu Man secara spontan memegang katil supaya jururawat tidak membawa Man keluar. Bagaimanapun, ditenangkan oleh ayah Man dan keluarga yang lain. Tangisan bertalu-talu mengiringi Man keluar dari bilik itu untuk masuk ke bilik bedah. Jururawat dan petugas tetap menjalankan tugas menolak katil, sehingga dibawa keluar menaiki lif.

Yanti nampaknya tenang saja, mungkin dia sudah puas menangis sebelum ini. Satu perkara yang membuatkan Yanti tidak sedih, iaitu dia sudah membantu Man untuk pembedahan ini. Itu Yanti rasa sebagai penebus dosa Yanti pada Man, juga dosa keluarga dan abang Yanti yang menghina Man. Juga dosa abang Yanti yang  telah membelasah Man sehingga Man jadi begini.

Yanti menenangkan adik-adik Man.

"Insyaallah.. Man akan selamat. Allah akan menolong kita semua... Sama-samalah kita doakan keselamatan abang Man....".Pesan Yanti pada adik-adik Man.

Yanti malam itu tidur di hotel, dia tak balik JB. Yanti sms kawan serumahnya, Noor yang juga kawan sepejabatnya yang dia tak balik malam ini. Tapi Yanti tak beritahu di mana dia berada. Malam itu, Man bertarung dengan nyawa, menjalani pembedahan yang bermula kira-kira jam 8.00 malam seperti dikatakan doktor tadi. Man juga sedang bertarung, adakah dia akan pulih seperti sediakala, atau hilang pendengaran telinga sebelah kanan. Yang paling menakutkan adalah pertarungan...... adakah Man akan kembali normal, atau akan menjadi penghuni Hospital Permai selepas ini ? Man jadi gila ?

 Yanti solat hajat di bilik hotel, doakan kesejahteraan dan dijauhkan dari bala bencana. Waktu itu, tepat jam 8.00 malam, sudah tentu Man sudah mula dibedah fikir Yanti. Yanti berjanji, tidak akan balik ke JB selagi dia tak berpuashati dengan kesihatan Man.

Aboi pula pulang ke JB menaiki motosikal bersama ibunya, meredah lebuhraya dalam suasana hujan renyai-renyai itu. Ibu Aboi perlu bekerja pagi esok sebagai tukang cuci. Malam itu juga, di rumah Man diadakan bacaan Yaasin dan solat hajat dipimpin oleh imam surau kampung itu, ramai yang hadir. Semuanya menunjukkan simpati kepada keluarga Man.

......BERSAMBUNG KE EPISOD 19

http://kadikluang.blogspot.com/2010/06/sudah-nasibku-mat-burger-episod-19.html (episod  19)