Yanti terkejut yang amat sangat. Lelaki itu tidak lain adalah Man Burger, berbaju kemeja biru lengan pendek dan seluar slack hitam dan berkasut. Tersentak jantung Yanti....
Satu lagi... Man bukan seorang, tetapi ada seorang wanita berkaca mata dan baju dan tudung coklat di sebelahnya. Yanti dan Syira nampak, Man begitu rapat dengan wanita itu...
Yanti undur ke belakang, supaya Man tidak sedar kehadiran Yanti di kedai itu, di celah-celah baju wanita yang bergantungan. Yanti terpijak kaki Syira yang ada di belakangnya dan Syira sedikit sakit. Yanti pula hampir terjatuh tetapi dipegang Syira. Dalam keadaan begitu, pelayan wanita di kedai itu cuba membantu kerana menyangka Yanti terjatuh.
Man yang berada di depan itu terus tersedar. Mula sekali Man sedar adalah adik perempuannya Syira tetapi kemudian, Man merenung tajam ke arah seorang wanita cantik, wajahnya seperti Syila Majid, itulah Yanti. Man tunduk dan seakan cuba mahu melarikan diri pula. Dalam keadaan itu, wanita yang bersebelah Man tadi memegang tangan Man secara tidak sengaja untuk tidak mahu Man lari dari situ. Syira tergamam dan macam tak tahu hendak buat apa-apa pada mulanya.
Syira bertukar menjadi marah, marah kerana wanita yang bersama Man itu dia kenal sangat. Itulah Cikgu Syikin, cikgunya yang dulu dia juga perkenalkan pada Man. Paling marah kerana Cikgu Syikin keluar bersama Man berdua dengan begitu mesra dan berpegangan tangan pula. Lebih Syira marah lagi, perbuatan seperti itu ditunjukkan di depan mata Yanti. Bagaimana Syira boleh menahan sabar kepada abangnya itu dan Cikgu Syikin.
Syira menerpa ke arah Man dalam keadaan marah, seperti mahu menyerang Man dan berlaku tolak menolak antara Syira, Man dan Cikgu Syikin.
"Kejam ! Kejam !" Teriak Syira.
Nizar tiba-tiba muncul yang dari tadi ikut kakaknya dari belakang. Yanti dan Cikgu Syikin tak kata apa-apa walaupun berpandangan sesama sendiri. Pelayan kedai juga cuba menenangkan keadaan kerana merasakan ada pergaduhan di kedainya. Orang ramai yang lalu lalang juga singgah dan melihat drama itu, yang hendak tahu apa hujung pangkal pertelingkahan itu. Ada juga yang berbisik-bisik, bergaduh kerana pakwe dan makwe tapi tak tahu mana satu dari tiga wanita itu makwe Man. Man rasa dirinya teramat malu tetapi Syira terus menyerang Man dengan kata-kata pedasnya sambil menangis teresak-esak.
Keadaan Syira semakin tidak dapat dikawal. Dia pergi ke arah Man dan bertindak membaling beg plastik berisi kasut yang baru dibeli ke arah Man dan terkena bahu Man. Nizar yang tidak berkata apa-apa dari tadi, membantu mengutip kasut yang jatuh itu.
Sekali lagi Syira menerkam ke arah Man dan menumbuk-numbuk dada Man dan sesekali ke kepala Man. Man sedikit pun tak melawan, cuma menggosok dadanya yang sakit itu. Cikgu Syikin cuba menenangkan Syira dengan cuba memegang Syira tetapi Syira meronta dan Syikin terkena beberapa tumbukan Syira. Tak lama kemudian, muncul beberapa pengawal keselamatan lelaki dan wanita. Man telah ditarik dan dipegang oleh pengawal lelaki manakala dua pengawal perempuan telah berjaya menghalang Syira.
Mereka telah berjaya dipisahkan, Cikgu Syikin bersama Man. Manakala Syira, Yanti dan Nizar dibawa ke tingkat bawah.
"Maaf encik, ini perselisihan keluarga" Kata Cikgu Syikin kepada pengawal apabila Man dikatakan akan dihantar kepada polis.
"Tolong encik. Kami tak salah, ini sikit rasa selisih faham antara abang dan adik perempuan". Kata Syikin menerangkan lagi, manakala Man terus menangis dan berdiam diri. Setelah pengawal itu berpuashati tidak ada unsur jenayah, Man tidak dihantar kepada polis.
"Sampai hati abang Man buat perkara ini, sampai hati..." Luah Syira pada pengawal wanita itu di bilik keselamatan. Fahamlah pengawal itu, ini kes adik beradik dan tidak perlu dihantar kepada polis.
Yanti hendak hantar Syira dan Nizar balik rumah. Di dalam kereta, setelah dihidupkan enjin, sebelum kereta bergerak, Yanti berkata sesuatu. Yanti di tempat pemandu, Syira di sebelah, manakala Nizar di belakang.
"Sabar Syira. Jadilah adik yang baik. Jangan jadi adik yang derhaka dan tidak mengenang jasa. Jangan keluarkan kata-kata sebegitu pada abang Man, dia seorang abang yang baik...". Kata Yanti.
Syira terus menangis dan tak kata apa-apa.
"Terimalah takdir Allah Taala yang kakak dan abang Man tidak dapat hidup bersama. Maafkan kakak, Syira. Tapi, kakak akan anggap Syira dan Nizar macam adik kandung kakak. Yer, kakak tak ada adik, kakak anak bongsu. Kakak hendak sangat ada adik..." Kata Yanti lagi.
Syira tidak dapat menahan sebak. Syira meletakkan mukanya di bahu Yanti dan tangisannya makin kuat.
"Kak... maafkan Syira. Syira tak dapat membantu abang Man dan kak Yanti untuk hidup sebagai suami isteri. Syira menyesal yang amat sangat, Syira sudah berusaha sedaya upaya...". Kata Syira.
"Syira, Syira tak ada salah apa-apa. Abang Man juga tak salah. Ini semua ketentuan Allah Taala. Kakak tidak sedih hari ini, Syira. Kakak tak tahu, kenapa tiba-tiba kakak dapat semangat baru hari ini. Syukur alhamdulillah, kakak tenang menghadapi semua ini dengan izin Allah Taala.. " Kata Yanti.
"Kak.. satu lagi, maafkan Syira sebab Syira tidak memberikan hadiah yang kakak kasi itu (baju batik) kepada abang Man. Maafkan Syira. Bukan tak mahu kasi, tapi Syira terfikir, bilakah masa yang sesuai". Kata Syira.
"Oh yer, itu tak mengapa, itu hadiah ikhlas dari kakak pada Man. Berilah pada Man, mungkin pada hari bahagianya nanti". Kata Yanti.
Tersentuh sangat Syira bila disebut 'hari bahagia'. Adakah hari bahagia itu dengan Cikgu Syikin, tidak, tidak, bisik hati kecil Syira. Yanti hantar Syira dan Nizar sampai rumah. Kereta Man nampaknya tak ada.
"Sabar Man, sabar". Kata Cikgu Syikin yang memandu kereta dari Angsana ke Larkin.
Tadi Man ambil Syikin di kelas tution di Larkin. Syikin sebenarnya setiap hujung minggu, selain ada kelas di UTM, dia ada juga kelas tambahan sambilan di Larkin. Dapat juga menambah pendapatannya.
"Syikin, maafkan Man apa yang berlaku sebentar tadi, Man malu". Kata Man semasa sampai saja di Larkin, di sebelah kereta Syikin.
"Yer, Syikin faham dan Syikin minta maaf kalau-kalau kehadiran Syikin dalam hidup Man menyusahkan Man dan keluarga Man". Kata Syikin.
"Satu lagi Man.... kalau Man tidak perlukan Syikin dalam hidup Man, Syikin redha demi kebahagian Man dan keluarga. Maafkan Syikin, Man" Kata Syikin lagi.
Man tidak bersuara apa-apa. Dia mengeleng-ngelengkan kepala. Syikin tak faham apa maksud mengeleng itu ? Tertanya-tanya juga.
"Syikin... apa kata kalau malam ini kita berdua jumpa ustaz Khalil. Man rasa hari ini adalah hari yang penuh ujian dalam hidup Man dan keluarga Man. Jom kita jumpa ustaz Khalil, mungkin dia boleh bantu beri nasihat". Kata Man.
Syikin keberatan untuk jumpa ustaz Khalil. Sebelum ini pun Syikin tak pernah jumpa ust Khalil, cuma dengar cerita dari Man saja. Lagi pun, sudah jauh malam, rasa segan pula dia seorang cikgu wanita keluar dengan lelaki larut malam sebegini. Setelah Syikin pulang,Man meneruskan hasrat bertemu ust Khalil walaupun sudah hampir 12.00 malam. Ustaz Khalil pun bersetuju dan berjumpa Man di tempat biasa, restoran Mamak Osman.
Tentu Man nak cerita perkembangan terbaru ini pada Ust Khalil. Jadi, apa pandangan dan komen Ust Khalil ? Sungguh mendebarkan bagi Man... ?
BERSAMBUNG KE EPISOD 64 (belum ditulis)