Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

Memuatkan ...

31 Julai 2011

Salam Ramadhan :11 Amalam Sepanjang Ramadhan

1.  Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.”  (HR Bukhari & Muslim)
Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata:  “Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami melaksanakan solat.”  Ada seseorang bertanya:  “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?”  Ia menjawab:  “Kira-kira 50 ayat.”  (HR Bukhari & Muslim)
Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.”  (HR Muslim)
 2.  Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka
Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.”  (HR Bukhari & Muslim)
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata:  “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru masak) sebelum solat.  Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah kering).  Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.”  (HR Abu Daud dan At-Turmudzi)
3.  Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.
Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”
4.  Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda:  “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak.  Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata:  “Sesungguhnya aku sedang berpuasa””.  (HR Bukhari & Muslim)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)
5.  Bersiwak atau menggosok gigi. 
Amir bin Rabi’ah berkata,  “Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa.  Kerana seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.”  (HR Bukhari)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.”  (HR Bukhari)
6.  Bermurah hati dan banyak menderma.
Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya:  “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril.  Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran.  Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.”  (HR Bukhari)
7.  Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.
(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)
Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya.  Para ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran.  Membaca untuk memahami al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.
8.  Memberi makan untuk berbuka puasa.
Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.”  (HR At Turmudzy)
9.  Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:  “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.”  (HR Bukhari & Muslim) 
10.  Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan
Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata:  “Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.”  (HR Bukhari & Muslim)
11.  Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.
Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata:  “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.”  (HR Bukhari & Muslim)
Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata:  “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan kebiasaan Beliau itu.”  (HR Bukhari & Muslim)

Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam di atas.  Janganlah dilepaskan peluang untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha kita untuk bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas. Mudah-mudahan hidayah dan taufiq menyinari hati dan jiwa kita semua dan mudah-mudahan melekat ke dada kita semua akan nilai besar Taqwa, amin.

30 Julai 2011

Harga Nasi Ayam RM 4.50 Sepinggan, Mahal Ker Tak ?


Saya singgah makan tengahari di sebuah restoran di Rompin, Pahang. Tengok orang ramai juga di kedai tu dan saya minta nasi ayam. Rasa nasi ayam tu okey juga, cuma tak samalah dengan nasi ayam Hainan yang saya pergi kursus dulu.

Masa makan tu, tengok di papan tanda, cuma dipaparkan menu sahaja tapi tidak diletakkan harga. Kan elok kalau diletakkan harga. Masa saya bayar, dia kata nasi ayam harga RM 4.50 satu. Okeylah, saya bayar. Tapi masa dalam kereta tu saya terfikir juga, kenapa harga nasi ayam 4.50. Di Rompin pula tu, bukan di bandaraya.

Sebenarnya di Johor Bahru, banyak kedai jual nasi ayam RM 3.50 sampai hari ini dan kalau kedai yang mahal sikit pun RM 4.00. Jadi tak betullah kalau orang kata duduk JB ni makanan mahal, tak semestinya.

Harga Ayam Dah Naik ?

Mungkin alasan naik harga nasi ayam sebab harga ayam dah naik. Itu betul, kalau dulu sekilo ayam dapat dengan harga RM 6.00 sekilo, sekarang boleh capai RM 8.00. Lebih kurang harga seekor ayam sederhana (elok buat nasi ayam adalah ayam saiz sederhana), dalam RM 10.00 seekor dulu, sekarang dah jadi RM 13.00-15.00 seekor.

Seekor Ayam Kerat 18

Yang saya dapat ilmu potong ayam (cara potong ayam pun kena belajar tau), seekor ayam boleh dapat 16 pinggan nasi ayam. Atau kalau boleh pandai potong, boleh jadi 18 pinggan.  Okey, kalau seekor ayam RM 15 dapat 18 ketul ayam, maknanya seketul ayam adalah hampir RM 1.00. Katakan bahan lain termasuk nasi, sayur, sup, kicap dan sos adalah RM 1.00, maknanya modal menyediakan sepinggan nasi ayam adalah RM 2.00  sahaja.

Maknanya kalau jual nasi ayam RM 4.50, peniaga mengaut keuntungan besar melebihi 100 peratus dari harga modal. Nanti peniaga kata, dia perlu tanggung kos lain termasuk kenaikan bayaran eletrik dan gaji pekerja. Yer, semuanya betul, saya tak kata sapa betul sapa salah. Cuma nak beritahu, niaga nasi ayam ni untung.

Ramadhan Minat Masak

Yer, setiap kali Ramadhan, tiba-tiba saja minat memasak saya datang semula. Saya hadir kursus masak nasi ayam tahun 2008 dan kalau masuk Ramadhan ni, nak tengok semula nota saya yang lama.

Satu lagi, saya selalu selitkan dalam ceramah saya tentang perlunya orang kita ceburi perniagaan restoran ini kerana keuntungannya tinggi. Jadilah peniaga nasi ayam, tapi nasi ayamnya kenalah sedap. Ayam dia janganlah hangus, jangan keras, semua itu perlukan ilmu. Nasi dia pula kenalah sedap, jangan lebih kurang saja. Nak tahu cara masak yang betul, pergilah kursus, saya bukan guru nak ajar orang walaupun saya ada ilmu tu.

Mohd Ashraf Yang Gagal Tukar Kepada Perempuan, Meninggal Dunia

Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu, 5 pagi tadi.

Beliau dimasukkan ke hospital itu 3 pagi semalam setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah. Semalam, doktor mengesahkan anaknya itu mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau 'unstable angina with cardiogenic shock'.Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, memohon untuk menukar nama di dalam MyKadnya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu.





29 Julai 2011

Mahkamah Bebaskan Pelakon Norman dan Memey Tuduhan Khalwat


KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, pagi ini melepas dan membebaskan pelakon, Norman Hakim dan tunangnya, Memey daripada tuduhan berkhalwat tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie, Salehan Yatim. Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 35, dan pelakon drama, Memey atau nama sebenarnya, Suhaizah Suhaimi, 23, didakwa berkhalwat di pejabat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, jam 3 pagi, 30 Oktober 2008.

28 Julai 2011

Seorang Janda Muda, Lemas di Lautan Maksiat


Berusia lewat 20-an, seorang janda anak tiga melalui hidup dengan penuh mencabar. Sejak berpisah dengan bekas suami 3 tahun dulu dia balik ke kampung rumah mak ayah setelah hidup merantau ke negeri bekas suami. Dia berkenalan dengan lelaki bujang 20-an yang lebih muda darinya.

Cinta terhalang oleh keluarga lelaki dan tidak mendapat restu keluarga. Akhirnya mereka terlanjur dan terjerumus ke lembah maksiat. Perempuan mengandung anak luar nikah akibat perbuatan terlampau dengan lelaki ini. Kemudian mereka akhirnya memutuskan untuk bernikah.

27 Julai 2011

Mokhtar Dahari Menanduk Bola....... Golllllll, GoLLLLLL


Juruhebah sukan:
"Soh Chin An merampas bola, cantikkk. Melorongkan ke tengah ke pada Khalid Ali. Khalid menggelecek pemain Korea....Ahhh berjaya di situ menewaskan pemain tengah Korea. Khalid pantas menendang ke tengah.

Ahhhh.... dapat ditampan dengan kemas  oleh Hasan Sani. Hasan Sani menggelecek, berjaya melepasi pertahanan Korea. Menendang tinggi ke tengah di depan gol....

Mokhtar Dahari menerpa dan menanduk bola  dan ....Gollllll....Gollllll."

Kata Peminat:
"Golllll..". Sambil melonjak dengan kawan-kawan.

Juruhebah:
"Ohhhh tidak, tidak gol. Bola terkena palang dan melantun keluar".

Ermmmmm....begitulah dulu tahun  70-an dan 80-an, masa kegemilangan bolasepak negara. Masa tu dengar ulasan bolasepak siaran lansung melalui radio, tv belum banyak lagi. Juruhebah kata gol, kita kat rumah dah melonjak kata gol juga. Rupanya juruhebah tersilap. Sekarang tak boleh silap sebab kat tv penonton tengok sama. Dulu percaya seratus peratus pada juruhebah.

Budak-budak sekarang kalau kita cerita yang dulu ulasan bola melalui radio, dia orang tak percaya, dia kata kita buat lawak.


Rakaman Wacana: Apa Selepas 9 Julai ? (Datuk Wan Ahmad SPR dan Datuk S.Ambiga)

Saksikan rakaman melalui Youtube, Wacana Sinar Harian - APA SELEPAS 9 JULAI? - Kompleks Karangkraf Shah Alam - 26 Julai 2011. Ahli Panel - Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar dan Datuk S.Ambiga (BERSIH).


Pusingan Pertama :



Pusingan Kedua:


Pusingan Ketiga (1):


Pusingan Ketiga (2):


Pusingan Ketiga (3):


Pusingan Ketiga (5):


Pusingan Keempat :

26 Julai 2011

Suami Meninggal Dunia Masa Isteri Merajuk, Tak Tegur (Episod 2)


"Usia perkahwinan saya masih baru tetapi suami saya telah meninggal dunia... Sebelum suami saya meninggal, saya ada merajuk dengan mengenai suatu perkara. Kami jenis weekend husband and wife. Jadi setiap kali nak pegi keje atau ke mana sahaja saya masih maklumkan kpd suami, cuma cara saya menunjukkan saya merajuk.

Saya berhasrat untuk minta ampun bila kami berjumpa hujung minggu nanti sebab bagi saya bila perbincangan berhadapan antara satu sama lain lagi mudah dari melalui telefon. Tapi malangnya, saya tak sempat jumpa suami saya kerana suami saya yang terlibat dengan kemalangan jalanraya hingga meragut nyawa dia.

Saya betul-betul menyesal dengan perbuatan saya dan ada masa minta Allah beri saya peluang untuk berjumpa suami untuk saya ingin tahu adakah dia maafkan saya..

Jadi adakah saya ini dikategori sebagai isteri derhaka? Saya menyesal sangat-sangat kerana layanan terakhir saya pada suami saya tidak sepenuhnya. Bagaimana status saya adakah isteri derhaka? Kalau saya dikira derhaka, bagaimana saya nak minta ampun kepada suami?

Saya takut perbuatan saya tak dapat masuk syurga dan membuatkan suami saya sedih memperisterikan saya.."
....................................

Ini adalah satu kisah benar dari seorang isteri, pembaca blog saya. Cerita ini dipaparkan di sini supaya pembaca yang budiman dapat memberikan komen yang berguna untuk kebaikan semua.

Episod 1

25 Julai 2011

Lelaki 19, Perempuan 18 ditangkap Khalwat di Rumah Bujang


Lelaki 19, perempuan 18 ditangkap khalwat di rumah sewa lelaki di Kluang jam 10.30 malam. Tangkapan penguatkuasa Jabatan Agama Johor daerah Kluang selepas mendapat maklumat dari orang awam. Lelaki bekerja sebagai pencuci kereta manaka perempuan sebagai kerani.

Satu perkara yang menarik perhatian adalah mereka baru kenal selama 2 minggu sebelum tangkapan dan begitu mudah diajak masuk ke rumah lelaki bujang.

Taklimat Kepada Amil Zakat Fitrah Kluang

Sekarang sedang berlansung taklimat kepada Amil zakat fitrah di daerah Kluang. Seramai 177 amil hadir. Program ini merupakan majlis tahunan sebagai persedian amil-amil sebelum menjalankan tugas kutipan zakat fitrah pada Ramadhan nanti.

Ceramah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Agama Johor, Haji Ramly bin Yusof. Kadar zakat fitrah di seluruh negeri Johor tahun ini adalah RM 7.50 atau RM 5.00, sama seperti tahun lepas.

Ramai Budak Sekolah Guna Bahasa Gangster

Sabtu lepas, tengahari saya ke satu kedai makan. Kebetulan waktu itu budak sekolah penuh di kedai itu dengan baju seragam kurikulum. Mungkin hari itu pelajar ada program di sekolah.

Yang jadi tumpuan saya ada bahasa yang mereka gunakan. Mereka tiru gaya perbualan filem gangster yang sedang popular sekarang.

"Lu jangan main-main sama gua. Lu mau mati ker masuk gua punya kawasan". Kata seorang pelajar tu.

Filem ni saya pun tengok, saya dah cerita dah dalam tulisan saya yang lepas. Saya ni bukanlah minat sangat tengok filem Melayu ni tapi ada satu yang menarik perhatian saya dalam filem ni. Cerita ni okey, ada pengajaran yang baik.

Tapi yang saya nak tegur sikit adalah gaya bahasa dan perbualannya. Bila saya tengok filem ni, saya dah agak, orang sekarang akan terpengaruh. Rupa betul, dan saya dengar sendiri budak-budak sekarang cepat meniru.

24 Julai 2011

Bat Patah Tidak Patahkan Semangat Untuk Muncul Juara Berganda


Sabtu: Saya bersama pasukan Kluang muncul juara Ping Pong Melayu di Penjara Simpang Renggam. Final mengalahkan Uniteknikal Melaka 2-0. Tempat ketiga adalah Penjara dan keempat Kota Tinggi. 14 pasukan bertanding termasuk dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Bat Patah

Ahad: Acara individu bergu pula bermula dengan lebih 30 bergu bertanding. Seperti biasa, bat dan getah kena gam sebelum perlawanan. Tetapi masa hendak melekatkan getah, letak di kerusi dan tekan dengan alat penggelek. Tiba-tiba bunyi berdetap. Alamakkkk... bat saya patah di bahagian pemegang.

 Rupanya kedudukan kerusi itu tidak rata hingga menyebabkan bat saya patah masa tekan kuat tadi. Main ping pong ni kenalah betul-betul gam tu kuat sebelim main. Adoiiiii....Mana mampu saya main gunakan bat lain, pasti tak sama. Susahlah nak rebut kejuaran.

 Seorang kawan saya kata, bat jenis itu tak patah terus sebab ada urat-urat di dalam dan boleh digam. Saya terus ke kedai runcit di situ dan beli gam gajah RM 2.50. Letak perlahan-lahan, nampaknya boleh  macam boleh pakai juga tapi tak berani kuat-kuat.

Rupanya bagus juga bat tu dan berjaya menang semua perlawanan untuk ke final dan akhirnya muncul juara mengalahkan Segamat 3-2. Perlawanan menentang Segamat sangat mencabar dan mendebarkan. Saya mendahului 1-0, kemudiannya ketinggalan 1-2. Masa itu saya rasa sudah tidak ada harapan muncul juara dan terpaksa berpuashati dengan tempat kedua saja. Tapi berjaya juga bangkit dengan kedudukan 2-2. Set penentuan pula berjaya dengan kemenangan 3-2 dan muncul juara.

Tempat Ketiga adalah Johor Bahru, keempat juga regu dari Johor Bahru.

Nanti Lepas Raya Nak beli Bat Baru

Pengalaman bat patah ini sungguh mendebarkan, lebih-lebih lagi perlawanan hampir dimulakan. Pasti lepas ini dah serik dan tah akan tekan bat atas kerusi lagi. Bat tu saya pakai sejak tahun 2007 dengan harga RM 280 kayu sahaja. Nampaknya lepas raya ni nak beli lain, tak tahulah sekarang harga berapa.

Tahniah Kepada Pengajur

Tahniah diucapkan kepada Penjara kerana menganjurkan pentandingan dengan licin. Pengalaman masuk kejohanan lain sebelum ini, ada banyak juga kecacatan yang menggangu kejohanan. Tahniah juga kerana pihak Penjara tidak malu bertanya kepada orang yang lebih arif dalam menganjurkan kejohanan besar seperti ini. Semoga kejohanan ini dapat menarik minat di kalangan Melayu seterusnya menguasai permainan pingpong ini yang sebelum ini lebih dikuasai orang Cina.

Juara Berganda

Saya muncul johan berganda dalam acara pasukan dan individu. Bulan lepas juga saya muncul juara dalam kejohanan Terbuka Johor di Johor Bahru. Klik sini

23 Julai 2011

Qari dan Qariah Malaysia Muncul Johan Tilawah Antarabangsa


Qari dan qariah Malaysia, Amirahman Abas dan Suraya Abu Hassan muncul johan kategori masing-masing pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-53 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.

Amirahman yang membacakan surah Nahl bermula ayat 65 meraih markah 89.26 peratus manakala Suraya yang memperdengarkan surah Al-Zahraa bermula ayat ke-57 pula mendapat 88.67 peratus


Dalam pada itu, qari Filipina, Saudi M. Gandisa muncul naib johan apabila mengumpul markah 88.67 peratus dan tempat ketiga, Abdel Bast Mohamed dari Mesir dengan 87.88 peratus.Bagi kategori qariah, tempat kedua dimenangi peserta Indonesia, Noor Khalidah Kapsul Anwar yang memperoleh markah 88.30 peratus dan ketiga, Nur Azizah Sholichin dari Singapura dengan 86.17 peratus.

22 Julai 2011

Bawa dan Tayang Pisau Pemotong Daging Pergi bandar

Dalam jam 9.00 lebih malam tadi saya dari rumah ke bandar Kluang, tak jauh sangat. Berhenti di kedai pertama, nampak macam biasa jer. Isteri saya keluar beli barang, sebagai driver, saya duduk dalam kereta jer.

Kemudian berhenti di kedai kedua, isteri keluar beli barang, saya duduk jaga kereta juga. Masa tu, ada beberapa kereta pandang saya lain macam jer, macam nak ajak gaduh pun ada mukanya, saya buat biasa jer. Mungkin dia tengok kereta saya parking tak berapa betul, agaknya sebab tu lah ada beberapa kereta bunyikan hon.

Lepas tu, jauh juga jalan dan pergi ke satu stesen minyak. Berhenti saja kereta, budak Bangla yang tunggu tu senyum saja. Saya ingat apa hal senyum-senyum. Lepas saya bayar kat dia duit, dia terus duduk jauh dari saya. Macam takut pun ada, mungkin sebab muka saya tak senyum masa tu.

Masa saya tuang minyak sendiri tu, saya terkejut sebab atas bonek kereta saya ada pisau besar pemotong daging. Alamakkkk, tu pisau yang saya guna petang tadi, buat potong pelepah kelapa petang tadi. Tu pisau yang warna putih berkilat yang buat pelangkong ayam. Cepat-cepat saya masukkan pisau tu dalam bonek sambil mengelabah juga saya. Selesai tuang minyak, terus saya jalan.

Masa nak jalan tu dari jauh, Bangla tu senyum jer kat saya. Tak tahulah apa perasaan dia bila dia tahu ada pisau atas bonek saya tadi. Pisau tu lepas potong pelepah tadi, ingat nak letak kejap kat atas bonek, akhirnya terlupa nak bawak masuk rumah. Jalan kereta tu jauh juga tapi tak jatuh sebab ada spoiler dan pisau tu berat.

Ni kira pengalaman yang tak disangka-sangka juga berlaku. Nasib baik tak kena tahan polis, kalau tak, susah nak soaljawab.

21 Julai 2011

Saya 4 Hari di Rumah Isteri Tua, 3 Hari di Rumah Isteri Muda


Tersipu-sipu juga kalau tanya orang yang nikah dua ni. Lelaki ni 40-an, isteri pertama dia 40-an juga, anak enam, dah besar. Isteri kedua pula 30-an, dengar cerita janda bergetah, hehehe.  Nikah cara sah dan dapat izin mahkamah syariah, bukan main lari seberang.

Nak kata dia ni kaya, tak juga. Kira gaji Kadi lagi besar ler, hehehe... Tapinya dah tersurat ke atas diri dia, ada dua cawangan untuk bercucuk tanam. Dah nak masuk dua tahun berbadan dua, ops bukan badan dua, berbini dua... katanya hidupnya bahagia. Katanya, yang pentingnya hidup berpoligami adalah adil pada kedua-dua isteri.

Bagaimana Adil tu ?

Saya nak tahu juga bagaimana yang dikatakan adil itu, menurut kata-kata orang yang ada isteri dua ni. Orang tak kawin dua janganlah sibuk-sibuk nak beri komen, hehehe.

"Saya, seminggu empat hari di rumah isteri tua, tiga hari di rumah isteri muda". Kata dia.

Ohhhh gitu rupanya. Semoga jadi panduan pada lelaki yang beristeri dua atau bakal beristeri dua.

Gadis Terlanjur Perlukan Nasihat Sebelum Nikah


"Untuk pengetahuan ustaz, saya akan bernikah tak lama lagi. Yang menjadi dilema sekarang ni, saya pernah terlanjur dgn bekas kekasih.  Saya takut dengan hari perkahwinan yang dah semakin dekat. Dari awal hubungan lagi (dgn bakal suami) saya ingin berterus terang tapi saya takut.

Jadi, saya risau kalau bakal suami akan tahu pasal hal ni dari org lain di masa akan dtg. Saya keliru samada perlu beritahu bakal suami atau tidak. Saya nampak bakal suami boleh bimbing saya jadi wanita yg lebih baik dan kadang2 rasa mcm tak layak untk menjadi isterinya. Di kalangan kawan saya pun ada yang tahu tentang perbuatan lama saya ini.

Saya menyesal dengan apa yg terjadi dulu. Kadang-kadang terfikir utk tidak meneruskan pkahwinan kerana ketakutan yg ada dlm diri. Tapi saya mengharapkan kehidupan yg lebih baik dan menjadi wanita dan hamba yg lebih baik....".
Sekian.

Saya menerima email ini dari seorang pembaca blog saya. Saya rasa elok diserahkan kepada pembaca lain yang budiman yang dapat membantu gadis ini demi masa depan beliau. Diharapkan pembaca dapat memberikan komen yang baik tanpa menyalahkan atau mengungkit kesilapan lama gadis ini.

20 Julai 2011

Sudah Nasibku Mat Burger (Episod 65)

Syira dail telefon Cikgu Syikin dengan perasaan marah sambil tangannya mengeletar. Tapi Syikin tak jawab, dia dalam bilik air dan tak dengar. Dua kali panggilan tidak berjawab, Syira meninggalkan sms. Apa yang ditulis Syira ?

"Man. Adik u sms i, marah-marah". Sms Syikin pada Man.

Man yang berada di Restoran Osman mengeletar dan berdebar-debar membaca sms itu. Man terus balas.

"Sabar Ikin, apa adik i cakap ?". Sms Man.

Tapi kali ini Syikin diam tak jawab dan menimbulkan persoalan besar pada Man. Selagi sms itu tak terjawab, Man tak tenteram. Man telefon Syikin beberapa kali tapi Syikin sengaja tak mahu jawab. Ini menambahkan kusut dalam kepala Man.

Tak lama kemudian, Ustaz Khalil muncul seorang diri. Nampak cergas saJa Ustaz Khalil dan tak mengantuk walaupun dah nak dekat jam 1.00 pagi.

"Maaf Man, tadi ada kerja sikit". Kata Ustaz Khalil memulakan perbualan dan duduk berhadapan Man.

"Okey Ustaz. Tak mengapa". Kata Man ringkas.

"Malam ni berniaga ker ?" Tanya Ustaz Khalil.

"Niaga sekejap". Jawab Man.

Ustaz Khalil tengok Man macam ada yang tak kena, suaranya longlai saja macam penat dan mengantuk.

"Man, saya tengok Man macam letih jer malam ni.". Kata Khalil.

"Yer ustaz, banyak masalah, lepas satu, satu. tak abis-abis dugaan dalam hidup Man ni". Kata Man.

"Masalah ? Pasal apa pulak ni ?" Tanya Khalil.

Begini ustaz..... Man menceritakan perkara yang berlaku pada ustaz Khalil seperti dalam episod lepas dari adiknya datang JB, ambil Cikgu Syikin di Tution Larkin, hinggalah terserempak dengan Yanti di Angsana. Panjang cerita itu dan Khalil jadi pendengar yang baik, sekali sekala menyampuk dan menanyakan soalan. Fahamlah ustaz Khalil, itu sebenarnya masalah Man. Betul, bukan kecil masalah itu, tapi berat juga.

"Man. Tak sangka peristiwa ini terjadi, anggaplah sebagai suratan takdir, pasti ada hikmah di sebaliknya." Kata ustaz Khalil.

"Yer ustaz....Bagaimana Man nak melalui hari-hari seterusnya ? Ustaz, apa yang harus Man lakukan ?" Tanya Man.

Ustaz Khalil termenung seketika untuk mencari jawapan dan penyelesaian terbaik.

"Man. Sebagai lelaki, sebagai abang sulung, Man kena banyak bersabar. Man kena pandai jaga hati semua pihak iaitu Syira, Yanti dan Cikgu Syikin. Perempuan cepat panas baran tapi Man jangan terlalu ikut rentak mereka. Man jangan mengalah". Kata Khalil.

Man mendengar dengan penuh minat dan sekali sekala meneguk air teh tariknya.

"Man... Saya rasa sekarang adalah masanya untuk Man berterus terang kepada mereka, terutama pada Syira dan Yanti.". Kata Khalil.

"Berterus terang macam mana ustaz " Tanya Man.

"Yer, kalau dah lama sangat Man tak telefon Yanti, inilah masanya Man telefon Yanti. Man boleh luahkan segalanya iaitu yang Man kata dah muktamadkan dulu. Pada Syira pula, Man perlu berterus terang terutama tentang perhubungan Man dengan Syikin. Kalau Man terus berahsia, nanti Man disalah anggap". Kata Khalil dengan nada serius.

"Telefon Yanti ?........ Tidak ustaz, kalau dari dulu Man tak telefon dia, sekarang lagilah tidak ustaz, bukan senang ustaz. Man tak mampu lakukan". Kata Man.

"Tapi sampai bila Man ? Kalau tak sekarang, bila ? Lagi lambat, lagi menyulitkan keadaan dan bertambah kusut". Kata Khalil.

"Ustaz. Kalau Man terus tak hubungi Yanti macam mana ?" Kata Man.

"Itu hak Man, saya cuma beri nasihat. Tapi Man kenalah faham perasaan wanita yang pernah jatuh hati pada Man. Sekarang pun kita tak pasti bagaimana perasaannya pada Man. Man kena berterus terang, jawapan dia dua saja, salah satu...... teruskan atau putuskan". Kata Khalil.

Man terus termenung dan fikirannya serabut. Sekali fikir, ada betul juga nasihat itu, sekali fikir lagi, bukan senang nak lakukan.

"Man. Kalau Man berani kata pada saya yang keputusan Man tempohari muktamad, Man sepatutnya memberitahu Yanti. Man tidak sepatutnya menyiksa hidup Yanti, berdiam diri begini. Saya tahu, cinta Yanti pada Man masih segar, tapi sebagai wanita, dia tak berani berterus terang". Kata Khalil lagi.

Man tak berkata-kata, tapi Man mengangguk.

"Harap Man jangan siksa hidup Yanti. Dia masih menaruh harapan terhadap cinta Man. Jadi kalau Man nak teruskan dengan Yanti, Man teruskan. Tapi kalau Man nak putuskan, Man berterus terang sajalah". Kata Khalil.

"Yer ustaz. Terima kasih ustaz. Man faham ustaz. Malah Man selama ini rasa bersalah kerana berdiam diri dengan Yanti. Sehinggalah hari ini, Allah nak tunjukkan semua itu, berlaku betul-betul di depan adik-adik Man. Betul ustaz, Man tak sepatutnya berdiam diri.". Kata Man.

"Okey, Man. Lapang-lapang nanti telefon Yanti dan jelaskan kedudukan sebenar. Susah sangat, sms saja". Kata Khalil.

"Lagi satu Man, pada Syira, pandai-pandailah Man nak ambil hati dia. Dia masih muda remaja, cepat terasa hati. Tapi saya yakin Syira dapat terima keputusan Man." Kata Khalil.

Lama mereka berbual dan Man nampaknya banyak kali menguap dan mengantuk. Teringat Khalil, esok pagi Man sambung kursus hari kedua di Hotel Seri Malaysia JB.

"Rasa elok Man balik dulu, esok Man nak sambung kursus kan ?". Khalil.

"Yer, seronok juga kursus hari ni, penceramah pun hebat-hebat". Kata Man.

"Man. Lagi satu, esok kalau dah habis kerja, mungkin saya nak laksanakan tugas nak bantu Man itu". Kata Khalil.

Terkejut Man dengar perkataan itu.

"Esok ustaz ?" Kata Man.

"Yer, kenapa ? Dulu Man kata nak segerakan". Kata Khalil.

"Betul ustaz, tapi..... erggggg". Kata Man dan ayatnya terputus.

"Nampak gayanya semuanya dah siap, saya dah janji dengan kawan saya. Semua dah bersedia". Kata Khalil.

"Entah ustaz. Boleh ker ditangguhkan". Kata Man.

"Man. Tangguh tu boleh, tapi.." Kata Khalil dan cakapnya dipotong Man.

"Okey ustaz, maafkan Man. Man banyak menyusahkan ustaz. Tak patut Man mintak ustaz tangguhkan. Okey ustaz, Man rasa terpulanglah pada ustaz, nak teruskan atau tangguhkan. Man redha, Man redha..... Alang-alang fikiran Man dah serabut macam malam ni, Man nekad. Sekarang Man fikir, Man berserah saja pada Allah Taala. Terima kasih ustaz sebab tolong Man. Terima kasih." Jawab Man.

Ustaz Khalil pulang ke rumah dan fikirannya masih memikirkan adakah patut dia teruskan niatnya esok dalam keadaan Man yang macam itu. Jadi atau tidak, Khalil masih memikirkannya. Khalil pasti, nokhtah penamat bagi masalah Man adalah kalau perkara itu dilaksanakan.
Jadikah esok ?



Kisah Bapa Paksa Hantaran 10,000 (Antara Novel Paling Popular Dalam Blog Ini)
http://kadikluang.blogspot.com/2010/03/bapa-paksa-hantaran-rm-10000-episod-1.html

19 Julai 2011

Gaduh Pasal Kasut Anak, Suami Isteri Bercerai


Kisah rumahtangga pasangan 20-an, anak baru seorang, bercerai. Puncanya kasut anak hilang, tak jumpa cari. Isteri membebel berguni sebab suami dipersalahkan dan suami tak tolong carikan. Marah punya pasal, suami tercakap "aku ceraikan kau".

Esoknya kedua-duanya menyesal dan suami isteri datang pejabat untuk rujuk semula perkahwinannya.

Bekas Ustazah Pengikut Ajaran Ayah Pin Gagal Cabar Hak Beragama


PUTRAJAYA 18 Julai - Seorang pengikut ajaran sesat Ayah Pin yang mengisytiharkan dirinya murtad, gagal dalam usaha untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bertujuan mencabar hak dan kebebasan beragama di sisi perlembagaan.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak dengan kos rayuan bekas ustazah, Kamariah Ali, 60, selepas berpuas hati bahawa persoalan yang ingin dikemukakan itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Sivil.Ia selaras dengan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan sebarang perkara yang terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Hakim Datuk Clement Allan Skinner. Kamariah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 30 Disember 2005 yang menolak permohonannya untuk merujuk isu-isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan.

Pengikut 'Kerajaan Langit' itu dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 3 Mac 2008 selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) kerana keluar daripada Islam. Hakim Azhar ketika membacakan keputusan itu menyatakan, perayu memohon deklarasi bahawa dia mempunyai hak mutlak dan bebas memilih serta menentukan agama pilihan sendiri dan bukan tertakluk kepada pengisytiharan dan/atau pengesahan mana-mana pihak.

Menurut beliau, mahkamah bagaimanapun berpuas hati dengan keputusan terdahulu yang mendapati permohonan bekas ustazah itu merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana isu yang dibangkitkan itu sudah diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan. Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Tan Sri Md. Raus Sharif (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) berpendapat, tindakan tersebut merupakan cubaan kali kedua disebabkan dia sebelum ini telah memohon kepada mahkamah untuk menentukan perkara serupa.

Sehubungan itu, panel tersebut bersetuju dengan dapatan hakim berkenaan bahawa tiada keperluan merujuk isu itu kerana persoalan sebenar yang hendak diketengahkan adalah untuk mendapatkan perisytiharan bahawa dia tidak lagi mengamalkan agama Islam (murtad). Responden-responden terdiri daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Kerajaan Negeri Terengganu.

18 Julai 2011

Kenapa Kita Suka Merendahkan Penceramah atau Orang Yang Menyampaikan Ilmu ?

Ada orang suka membanding-bandingkan seseorang penceramah agama. Orang itu bagus, orang ini tak bagus tapi yang tak bagus lebih ramai dari yang bagus ikut pendapat dia. Orang tu belajar tak tinggi dan tak layak mengajar di sini. Katanya orang itu tak cukup ilmu untuk datang ke masjid atau surau itu. Kalau orang itu datang, beberapa jemaah berkumpul dan mengumpat penceramah itu dari belakang.

Kenapa Ini Terjadi ?

Bila cerita ini sampai kepada saya, saya tak menyokong mana-mana sama ada penceramah itu atau orang yang mendengar. Saya tahu, kalau saya sokong penceramah, takkanlah penceramah itu punyai ilmu macam ulama besar. Dia datang seikhlas hati ke situ menyampaikan ilmu sebagai peringatan kepada umat Islam. Takkanlah tunggu nak jadi ulama besar baru boleh berceramah.

Dulu zaman permulaan Islam, semua sahabat adalah pendakwah, tak kira tinggi ilmu atau rendah. Bilal bin Rabah orang kulit hitam boleh jadi pendakwah dan diangkat jadi bilal. Musab bin Umair dijadikan duta ke Madinah sebelum hijrah, bukanlah mempunyai ilmu yang tinggi sangat, bukan ada universiti Islam waktu itu. Begitu juga sahabat lain seperti Saidina Ali, Abu Bakar, Saidina Hamzah, mereka ini bukan mempunyai ilmu sangat tetapi dengan ilmu yang sedikit inilah mereka berpesan-pesan sesama Islam.

Cabaran Dakwah Masakini

Semalam saya berucap di majlis program ziarah dan usrah saudara kita anjuran PERKIM di Kluang. Saya tekankan betapa pentingnya setiap orang Islam menjadi pendakwah terutama di kalangan saudara baru. Okey, kalau nak kata saudara baru ini tinggi ilmu, jauhlah tingginya ilmu orang kampung yang lahir sudah Islam, mereka baru masuk Islam.

Jadi, kelembapan kemasukan orang agama lain  kepada Islam di negara kita adalah kerana kelemahan kita dalam berdakwah. Kita sering mempersoalkan peranan orang lain tetapi tidak mempersoalkan diri kita. Kita nampak salah orang, tapi kita lupa kelemahan diri kita. Sering kita dengar cakap-cakap yang dia bukan ustaz, bukan ustazah nak nasihat orang lain. Sedangkan kita lupa bahawa peranan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itu tanggungjawab sekalian umat Islam.

Sombong Dalam Ilmu

Kenapa pertikaikan seorang ustaz kalau ustaz itu cerita perkara yang orang lain sudah tahu ? Yer betul, orang yang mengadu ini orang yang berilmu, tapi orang lain bagaimana, belum tentu orang lain itu ada ilmu. Jadi biarlah orang itu memahaminya, kita diam sajalah. Lagi satu, ustaz itu kan menyampaikan tazkirah sebagai peringatan atau ulangkaji supaya kita tak lupa perkara agama. Jadi apa salahnya ustaz ini menyentuh perkara yang biasa disentuh sebagai untuk mengimbas kembali ingatan kita.

Bila ustaz lain pula berceramah, dia pun pertikai ustaz ini juga. Katanya itu ini, begitu begini semua nak komplain. Agaknyalah kalau saya suruh dia yang ceramah bagaimana ? Dah tentu dia mengelak, tentu jawabnya dia bukan ustaz dan tak layak. Tapi kalau dah tahu tak layak, tak bolehkah dia diam saja dan menghormati majlis ilmu.

 Jadi, berilah peluang kepada jemaah lain yang nak menuntut ilmu walau sebesar zarah sekalipun yang disampaikan penceramah. Mudah-mudahan lmu itu bermanfaat pada kita di dunia dan akhirat.

Tukar Jantina Lelaki ke Perempuan, Mahkamah Tak Benarkan

KUALA TERENGGANU 18 Julai — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan seorang lelaki yang mahu menukarkan nama dalam Mykad kepada nama wanita selepas menjalani pembedahan tukar jantina dua tahun lepas.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa berkata, permohonan Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, yang mahu menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz ditolak selepas mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan, dan kewujudan organ dalaman.

Mohd Ashraf Hafiz yang membuat permohonan itu pada 25 Mei lepas telah melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand pada 2009 setelah disahkan layak daripada segi psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai.Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.

17 Julai 2011

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo Mohd Ghazali, Meninggal Dunia Sebentar Tadi


AlFatihah....Ahli parlimen PAS Titiwangsa, Dr Lo'Lo Mohd Ghazali menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam ini. Beliau lahir pada 2 Ogos 1957 dan meninggal dunia pada usia 54 tahun.

Saya rasa kerusi parlimen ini akan dibiarkan kosong dan tidak akan diadakan pilihanraya kecil kerana sudah hampir dengan pilihanraya yang akan datang. Ada peraturan menetapkan demikian iaitu selepas 3 tahun pilihanraya sekiranya kerusi kosong, tidak perlu diisi.

Isteri Serang Hendap Perempuan Skandal Dengan Laki Dia (Episod 3)

Isteri tu terus terbakar. Dalam hati dia, tak guna betul perempuan ni, buat-buat tak kenal pulak dengan laki dia. Takkanlah tak kenal laki dia, kalau tak takkanlah boleh telefon laki dia malam-malam. Dah tu pulak, masa telefon tu, suami dia bersendirian.
"Tak apa, awak tak mengaku tak apa, tapi saya nak beri amaran keras.... Jangan kacau rumahtangga saya lagi. Kalau awak ganggu lagi, siap nanti saya kerjakan". Kata isteri tu, kemudian terus dia putuskan perbualan dengan nada marahnya.
Perempuan yang kena serang hendap ni jadi tak tentu arah dan gelabah sungguh. Lagaknya dah macam tupai tersesat masuk rumah, ke sana ke sini semua tak kena. Ini kali pertama berlaku pada dirinya, tak sangka jadi begini. Takut sungguh dia kena marah dan ugut macam tu oleh isteri orang.
Siapa Hairul ?
Hairul ? Siapa Hairul ? Hairul mana pulak ni ? Yang sama kerja kat tempat dia praktikal ker ? Kalau gitu habislah dia esok. Bagaimana kalau isteri dia serang kat pejabat, malulah dia nanti. Tapi Hairul mana yer ? Setahu dia, Hairul tak ada, tapi tak tahulah kalau unit lain kat pejabat tu. Pening-pening...
Periksa semula Telefon
Bila diperiksa semula telefon, rupanya ada satu nombor yang dia dail pada malam 3 hari lepas. Nombor tu nombor dia tak pernah dail. Nombor 019-752XXXX jam 11.25 malam. Menggigil dia tengok nombor tu. Dia nak tahu sangat siapa empunya nombor tu. Dan, siapa pula yang dail nombor tu, dia tak dail pun. Malah masa tu 11.25 dia dah tidur awal, hari tu dia tidur dalam 10.45 malam.
Oh yer, mungkin orang lain guna telefon dia. Oh yer, mungkin mak atau abah yang guna masa dia tidur. Biasa juga mak dan ayah dia guna tak beritahu dia, dia pun tak kisah sangat.
"Mak. Siapa nama Hairul" Tanya dia pada mak dia.
"Hairul mana pulak ni, Hairul tu ramai, yang mana satu ?" Tanya mak dia.
"Entahlah mak. Ada ker mak guna telefon kita tiga hari lepas jam 11.00 malam lebih telefon Hairul tu ?" Tanya dia.
"11 malam ? Tak adalah. Kenapa ?" Kata mak dia.
"Entahlah mak, pening juga ni. Ada sapa-sapa ker guna telefon kita pukul 11.00 lebih  telefon Hairul tu masa kita tidur ?". Tanya dia lagi.
"Rasa mak, abah kau yang guna. Ohhh yer, kawan abah kau pun ada nama Hairul yang main badminton sama dia tu.". Kata mak dia.
"Oh yer ker... Hairul tu dah kawin ke mak ?" Tanya dia.
"Alahhhh, anak dah 4 orang, yang hensem-hensem tu. Kan tahun lepas pernah datang raya rumah kita dengan anak isteri dia. Tapi mak tak tahulah, kalau kawan abah kau ada Hairul lain. Ada apa tanya ni ?" Tanya mak dia.
Lega Sikit
Dengar cerita mak dia tu, kira tahulah juga kedudukan sebenarnya. Ini semua mungkin kes salah faham. Bila ayah dia balik rumah, mak dia tanya bapak dia pasal tu. Maka betullah yang bapa dia yang pinjam telefon anak dia pukul 11.25 tu sebab prepaid dia habis. Bapak dia telefon pun pasal nak ajak si Hairul tu bergu dengan dia pada kejohanan terbuka minggu depan. Hahaaaahahaa... gitu cerita sebenarnya.
Terus Senyap
Dia tak mahu fikir lagi perkara ni. Dia tak salahkan bapa dia yang pinjam telefon dia telefon kawan, betullah tu. Dia pun tak tahu betapa  kecohnya rumahtangga si Hairul tu, yang dia bayangkan mungkin berlaku perang besar. Tapi dia malas nak campur kisah rumahtangga orang, bukan salah dia, dia tak ada kena mengena. Nak telefon semula dan jelaskan kedudukan sebenar pun dia malas, tak mahu bertengkar lagi. Yang dia tahu, cerita ni terus jer senyap...

Episod 1

15 Julai 2011

Terjumpa Dua Pembaca Setia Blog Saya Hari Ini


Petang tadi saya memberikan ceramah motivasi kepada pelajar dan ibubapa di Sekolah Kebangsaan Sungai Linau, Simpang Renggam. Selesai ceramah tu ada seorang lelaki tegur saya.

"Yang ustaz cerita pasal nombor ekor, mimpi rusa warna merah tu, saya dan baca dalam blog ustaz hehe.". Kata lelaki tu.

Mula terkejut juga tapi betullah yang dia cerita tu. Pembaca blog saya tahu cerita tu. Rupanya dia pembaca setia blog saya.

"Promosilah pada member-member lain blog saya ni". Kata saya.

"Tak payah promosi pun, dah ramai peminat blog ustaz kan" Kata dia lagi.

Sebelah malam pula, baru sebentar tadi, saya ceramah di Masjid Felda Air Hitam. Selesai ceramah tu ada seorang lelaki tanya saya.

"Bila nak sambung cerita Man Burger ". Tanya lelaki tu.

Dalam hati saya, memang dia pembaca blog saya. Dia cerita memang betul dia peminat blog saya malah beritahu kawan-kawan dia kat pejabat pasal blog saya. Terima kasihlah.

Untuk soalan sambung tak sambung cerita Mat Burger tu, saya beritahulah saya sibuk sekarang, banyak program dan ceramah. Esok saja ada 4 ceramah tempat lain-lain. Nak menulis novel ini bukan semudah tulis cerita biasa. Cerita biasa tulis senang saja, tulis apa yang terlintas saja, tak ada sambungan. Setiap kali nak tulis kisah Mat Burger, kena baca dalam 10 episod sebelumnya, kekadang tak ada masa terluang. Kalau tak baca semula, mungkin ada benda yang tertinggal atau tersalah tulis. Nak tahu ceritanya, nanti mungkin ada novel bertajuk, Sudah Nasibku Penulis Novel pula.

Lagi Skim Cepat Kaya atau Pelaburan Haram Tumpas di Johor


JOHOR BAHRU - Enam pengarah sebuah syarikat dihukum penjara dua tahun dan denda RM100,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, setelah didapati bersalah atas tuduhan mengambil deposit secara haram daripada 9,000 pelabur berjumlah anggaran RM180 juta,

Hakim, Zanol Rashid Hussain telah menjatuhkan hukuman ke atas 6 lelaki setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.

Dia turut memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang ditetapkan oleh mahkamah. Ketika hakim membacakan hukuman, kesemua tertuduh hanya tunduk dan tidak memberi sebarang reaksi.

Kesemua tertuduh yang merupakan pengarah syarikat Ivory Multi Million didakwa menerima deposit daripada pendeposit tanpa memiliki lesen yang sah antara Mac hingga Oktober 2000 di Lot. 10, Tingkat 19, Johor Bahru City Square, 106-108, Jalan Wong Ah Fook di sini. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989.

14 Julai 2011

Isteri Belum Cerai, Tapi Nak Nikah


Seorang isteri 30-an, sebelum ini dalam 5 tahun dulu bernikah di negara luar dengan lelaki tempatan. Kiranya dia ni jadi isteri kedua, nikah dengan lelaki yang dah beristeri. Hasil perkahwinan, ada seorang anak dan surat beranak ada macam biasa.

Sejak 2 tahun lepas, pasangan ini sudah tidak duduk bersama dan katanya sudah bercerai. Kata wanita ini, suaminya sendiri yang melafazkan cerai di depannya. Sejak itu mereka berdua anggap sudah bercerai dan tidak duduk sama lagi.

Sekarang, wanita ini nak bernikah dengan lelaki pilihannya. Tapi masalahnya, betulkan mereka sudah bercerai ? Katanya sudah, tapi surat cerainya mana ? Kalau tidak ada surat cerai, maka janganlah kata sudah cerai. Dia masih dikira isteri orang dan tidak boleh bernikah.

Bagaimana Nak Dapat Surat Cerai ?

Ini persoalan besar. Sebenarnya, kalau mereka bernikah di negara luar, perlulah sekali lagi ke negara tersebut untuk dapatkan surat cerai. Katanya susah sebab surat nikah pun  suami dia yang pegang, dia tak pegang apa-apa.

Cara kedua, dia kena daftarkan pernikahan luar itu di negara kita di pejabat kadi. Kalau sudah dapat surat nikah, ada kemungkinan dia boleh dapat surat cerai di negara kita juga. Dia kena mengadu yang suaminya sudah ceraikan dia di mahkamah syariah, biar mahkamah memutuskannya. Kalau berjaya, hakim boleh  memutuskan dia sudah bercerai.

Maka kalau semuanya sudah selesai, barulah wanita ini bernikah dengan lelaki pilihannya.

13 Julai 2011

Tak Lama Lagi Akan Ramai Merana Kena Tipu Pelaburan Emas (Episod 2)


Seorang ni katanya dia masuk pelaburan emas dengan bayar sejumlah wang kepada seseorang (syarikat) untuk beli emas. Nama saja beli emas tapi emas tu dia sendiri tak pegang. Hari-hari orang itu akan lihat harga emas di internet dan jumlah wang yang dia ada sekarang. Untung ! Untung ! Jumlahnya nampaknya nampaknya meningkat setiap hari.

Saya Tak Percaya

Terus terang saya tak percaya pada  ini semua. Pertama, syarikat apa yang dia labur itu ? Berdaftar atau tidak ? Dia cakap berdaftar. Yer ler, kalau berdaftar pun berdaftar sebagai perniagaan apa ? Entah. Dia orang pun bukan nak siasat lanjut.

Dulu masa saham 'Swiscash' tengah meletup sekitar 2005-2007, ramai orang kita kaya katanya. Saya sendiri tengok penyata  dalam internet kawan tu, masuk duit ratusan ribu. Pada saya, selagi orang itu tak dapat duit tu, itu kira belum untung. Setakat ada penyata dalam internet, tak payahlah nak cerita lebih. Akhirnya saham swiscash lingkup dan ramai merana dan kerugian ribuan ringgit. Ramai terpaksa bayar personal loan pada bank.

Tahun lepas kata swiscash, kerajaan nak pulang semula pada pelabur, maka suka hatilah seorang tu. Dia kata, kalau dapat nanti, dia jadi jutawan juga. Dia dah tengok kereta Mercedes baru dalam RM 300 ribu, katanya dia nak angkat kereta tu. Tapi saya kata pada dia, bukan senang nak dapat duit tu sebab kena tuntut di mahkamah. Kenalah kemukakan bukti, antaranya laporan polis. Rupanya dia tak buat report polis pun, maka dia pun tak tahu sama ada dia dapat ke tidak.

Lagi satu, saya rasa kalau dapat pun bukanlah sampai 300 ribu, itu dah masuk untung. Kalau nak kira modal, dia cuma dapat dalam 30 ribu. Itu pun belum tentu dapat. Maka dah setahun, kereta Merc entah kemana, satu sen pun belum dapat.

M-pay

Satu lagi saham M-pay dalam tahun 2006-2007, katanya kad diskaun di mana-mana pusat beli belah. Kalau masuk kena bayar dan taja orang dapat duit lagi. Ramai kawan pujuk saya masuk tapi saya satu sen pun tak percaya. Tapi ramai juga yang masuk dan labur ribu-ribu juga dengan harapan nak jadi jutawan. Masalahnya, kad dia pun saya tak dapat tengok, dia kata ada masalah pasal cetakan. Rupanya terus hilang bila duit dan dia kebas. Ramai kena tipu.

Saham Minyak

Kenaikan harga minyak, diambil kesempatan orang penyangak ni buat saham minyak. Pelaburan dia hanya masuk duit dalam internet, nanti kita untung.  Ramai juga yang masuk dan dapat untung dalam komputer tapi belum boleh ambil duitnya. Tak lama lepas tu lesap semuanya, termasuk laman web dia sekali lesap.

Tapi M-pay ker, saham minyak ker, swascash ker,  masa tu tengok duit kita kat internet juga,hari-hari meningkat. Samalah juga macam orang ni yang tengok duit dia meningkat sebab labur emas ni.

Hati-hati Penipuan

Bukan saya nak kata apa, tapi hati-hatilah. Jangan sampai kita kena tipu. Sekarang harga emas meningkat, ada orang ambil kesempatan buat saham emas pulak. Tersebar dalam akhbar juga termasuk kertas yang diselitkan dalam akhbar.

Beberapa hari lepas saya telefon dan menyamar nak tahu tentang pelaburan emas ni. Nak tunggu dia jawab, berpuluh kali dail baru dia jawab. Bila kita tanya, dia taknak jawab. Dia kata kena jumpa dan bawak kawan kat satu tenpat. Soalnya, kenapa nak selindung-selindung. Kalau betul perniagaannya, kenapa taknak cerita ?

Nasihat Saya

Laburlah di institusi yang betul, bukan syarikat cendawan ni yang datang dan pergi. Kalau betul, masuklah Bursa Malaysia, sana ada ratusan saham. Tapi ingat, kenalah ada kemahiran nak melabur kerana bukan senang untuk senang. Kalau melabur ni, kena ambil risikolah untung atau rugi. Selain tu, ada juga koperasi-koperasi yang kita dah tahu rekod keuntungan lepas yang boleh kita masuk.

Kalau taknak rugi macammana ? Masuklah saham ASB atau Tabung Haji. Duit kita tak turun atau hilang. Cuma keuntungan ASB dan Tabung Haji tidaklah sebesar mana. Tapi yang penting selamat dan terjamin. Institusi yang saya sebut ini iaitu ASB, Tabung Haji dan Bursa Malaysia adalah berlesen.

Pelaburan emas ini masih baru walaupun harga emas meningkat sejak 10 tahun dulu tapi sebelum ini tak ada pun bank buat pelaburan emas. Jadi, kena hati-hatilah, bukan saya kata pelaburan emas ni tak elok, tapi berwaspada selalu.

...Bersambung ke Episod 3:
http://kadikluang.blogspot.com/2011/08/penipuan-pelaburan-emas-sudah-mula.html

Kopi Pun Masuk Bursa Saham


Hari ini satu syarikat awam masuk ke pasaran saham di Bursa Malaysia. Yang menariknya, syarikat ini niaga kopi. Jangan terkejut, kopi boleh sampai berjaya ke bursa saham, teh tarik jer yang belum lagi.

Saham OLDTOWN BERHAD WHITE COFFEE, ditutup pada RM 1.33 naik 0.08 sen selepas penutupan jam 12.30 hari ini.

12 Julai 2011

Bujang Nikah Janda Anak Dua

Lelaki bujang 30, bernikah dengan janda kematian suami umur 28 tahun, anak dua. Perempuan kematian suami setahun lepas. Lelaki  kerja makanik, perempuan kerja juruwang.
Selamat pengantin baru.

Haram Makan, Berubat Guna Cicak Tokek : Majlis Fatwa Kebangsaan


Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang buat kali ke-95 pada 16 hingga 18 Jun lalu memutuskan hukum memakan dan berubat dengan menggunakan cicak tokek adalah haram. Dalam satu kenyataan yang dipaparkan di laman web e-fatwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Fatwa Kebangsaan berpandangan bahawa para ahli fekah telah mengklasifikasikan cicak tokek sebagai binatang yang haram dimakan kerana ia tergolong dalam kategori yang menjijikkan serta mempunyai racun.

“Justeru, masyarakat Malaysia diseru tidak menjadikan binatang ini sebagai makanan yang biasa dimakan.
“Sehingga kini, tidak ada bukti saintifik dan ujian klinikal yang membuktikan penggunaan cicak tokek mampu menjadi penawar kepada penyakit-penyakit tertentu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan itu.

Sebelum ini laporan akhbar pernah menyebut permintaan cicak tokek amat tinggi dan didakwa dijual pada harga ratusan ribu bagi seekor cicak jika ia dijual. Ada juga dakwaan yang menyebut cicak ini mampu mengubati penyakit HIV bagaimanapun sehingga kini tiada kajian yang dapat mengesahkan kesahihannya.

“Justeru, Jawatankuasa Muzarakah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan hukum memakan cicak tokek adalah haram di sisi Islam.

“Manakala untuk tujuan perubatan penggunaan cicak tokek adalah diharuskan dengan syarat keberkesanannya dapat dibuktikan sekiranya tiada alternatif ubat lain yang boleh digunakan bagi merawat penyakit berkenaan,” katanya.

11 Julai 2011

Nak Bunuh Diri di Jambatan Muar: Suami Ada Skandal Perempuan Lain ?


Muar, 10 Julai 2011:

"Panggil suami aku datang sini, kalau tidak aku bunuh diri,” kata seorang wanita yang dikenali sebagai Suriani, 30, ketika cuba terjun dari Jambatan Kedua Muar di sini, kira-kira jam 4.30 petang.Tindakan nekad wanita berkenaan mendapat perhatian orang awam yang selepas itu melaporkan kejadian kepada polis.

Kira-kira lima minit kemudian, polis tiba di lokasi lalu cuba memujuk wanita berkenaan supaya tidak meneruskan hajatnya. Bagaimanapun, wanita bersenjatakan sebilah pisau itu beberapa kali meminta suaminya datang ke tempat kejadian. Katanya, jika permintaan itu tidak dipenuhi, dia akan terjun dari jambatan selain mengelar lehernya menggunakan pisau di tangannya.

Difahamkan, wanita terbabit bertindak sedemikian selepas mengetahui hubungan sulit suaminya bersama seorang wanita lain. Berikutan itu, dia yang tidak berpuas hati melarikan diri dari rumahnya di Tanjong Agas dekat sini, sebelum menuju ke jambatan berkenaan.

Kakaknya, yang dipanggil polis bagi memujuknya terlebih dulu tiba di lokasi, bagaimanapun wanita itu gagal ditenteramkan, malah tetap mahu suaminya datang untuk menyelesaikan masalah. Selepas beberapa kali mengugut mahu membunuh diri, akhirnya polis akur dengan permintaan Suriani dan mencari suaminya.

Kira-kira 10 minit kemudian, suaminya berusia sekitar 30-an tiba di lokasi dan berjaya memujuk isterinya bertenang serta menyelesaikan masalah melalui perbincangan.

“Kita selesaikan perkara ini cara baik,” teriak lelaki itu dengan jarak kira-kira 50 meter dari isterinya.
Suriani yang berpuas hati dengan pujukan suaminya, kelihatan tenang sebelum turun dari palang jambatan dan menyerah diri kepada polis.

Mimpi Rusa Warna Merah, Nombor Apa Nak Naik ?


Semalam saya masuk satu kedai makan sarapan pagi. Nampaknya orang ramai hari tu dan ada satu saja meja kosong dan saya duduk situ. Sedang tunggu air teh tarik dan roti canai siap, saya baca akhbar dan dengar perbualan tiga lelaki 40-an hingga 50-an tu, tak jauh sangat dengan saya, membelakangkan saja.

"Malam tadi aku mimpi jumpa rusa warna merah tersesat dalam kebun. Agak nombor apa nak naik yer". Kata salah seorang dari orang tu.

Saya dengar dan mulalah pasang telinga. Tiba-tiba ada seorang lelaki sebelah meja saya tegur, dia seorang saja.

"Tuan kadi, bagus ceramah tuan kadi hari tu, ringkas dan padat isinya". Kata lelaki tu kuat juga suara dia.

Saya tertanya-tanya juga, ceramah bila, kat mana. Yang pasti, orang tu kenal saya ni kadi. Masa tu, meja yang sebelah saya lagi tu senyap saja dan mereka berbisik-bisik satu sama lain. Entah apalah yang dibisikkan, tak tahulah. Mungkin juga dia bisik pasal saya.

"Tuan kadi, ceramah masa perhimpunan bulanan pagi, saya kerja pejabat kerajaan (dia sebut pejabat dia)". Kata lelaki tu.

Ohh yang hari isnin tu, baru saya ingat, dah seminggu dah. Kita orang berbuallah sikit, lepas tu lelaki tu pergi sebab dia beli bungkus saja.

Semasa makan tu, orang yang tiga orang sebelah meja saya tu senyap saja, berbual pun perlahan saja. Mungkin dah tukar topik dari nombor ekor ke topik lain. Saya buat tak tahu saja makan situ. Habis makan saja baliklah.

Saham MRCB Corporation Bhd


PADA 5 Julai 2011, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) mengumumkan anak syarikat 70 peratus miliknya, Country Annexe Sdn Bhd (CASB) memeterai perjanjian penswastaan dengan kerajaan Malaysia dan Syarikat Tanah dan Harta Sdn Bhd bagi memajukan beberapa projek infrastruktur di Brickfields bernilai RM128.7 juta.

Sebagai pertukaran, CASB akan diberikan dua bidang tanah milik kerajaan di Brickfields masing-masing seluas 14,297 meter persegi dan 5,642.71 meter persegi. OSK Research dalam nota penyelidikannya 6 Julai lalu mengekalkan saranan ‘Beli’ ke atas saham MRCB dengan nilai wajar turut dikekalkan pada RM2.58 sesaham.

10 Julai 2011

Pesan Terakhir (Sajak oleh Syed Qutb)


Sahabat…
...Andainya kematian kau tangisi
Pusara kau siram dengan air matamu
Maka diatas tulang belulangku yang dah luluh
Nyalakaniah obor untuk umat ini
Dan
Lanjutkanlah gerak merebut kemenangan

Sahabat,
Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu
Taman-taman indah disyurga Tuhan
Terhampar menanti
Burung-burungnya berpesta menyambutku
Dan berbahagialah hidupku di sana

Sahabat,
Puaka kegelapan pastikan lebur
Fajarkan menyingsing
Dan alam ini kan disinari cahaya lagi
Relakan lah rohku terbang menjelang rindunya
Jangan gentar berkelana ke alam abadi
Di sana cahaya fajar memancar.

Sayyid Qutb-1966

09 Julai 2011

Pentauliahan PALAPES 2011 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Teringat Kisah Lama

Hari ini 9 Julai 2011 diadakan majlis pentauliahan Palapes universiti seluruh negara di UTHM, Batu pahat. Terkenang zaman saya dulu, ditauliahkan ke Leftenan Muda, Angkatan Tentera Malaysia tahun 1995 di USM, Pulau Pinang sewaktu saya bersama Palapes UKM. Maka hari pentauliahan inilah hari yang paling bersejarah bagi seseorang yang menyertai Palapes, tak kira siapa, termasuk saya.

Kalau masa saya dulu, masuk Palapes 3 tahun jadi kadet, tahun keempat baru ditauliahkan. Jadi bukanlah masa yang singkat untuk ditauliahkan itu. Pulak tu kena melalui masa dan latihan sebenar sebagai seorang pegawai tentera sebelum ditauliahkan. Suka duka, pahit manis, terus jadi kenangan yang berharga bagi diri saya.

Mula Masuk UKM

Masa mula melangkah ke UKM tahun 1992, saya ditempatkan di Kamsis Dato Onn Dua (dua tahun lepas tu ganti nama Kamsis Tun Hussein Onn). Kamsis tu ringkasan pada Kampung Siswa, sekarang dah ditukar kepada kolej, kamsis orang dah tahu.

Di kamsis tu sebahagiannya didiami oleh Palapes yang orang panggil ROTU. Hari pertama masuk UKM di kamsis tu, saya rasa sungguh tertekan tapi sabar saja sebab dah terpaksa. Pertama, kerana pelajar seniornya garang-garang belaka, yer le askar memang macam tu, takkan lembut-lembut pulak. Kawan satu sekolah dulu lelaki ada 3 orang masuk UKM tapi saya seorang saja yang kena duduk kamsis tu, yang dua lagi kamsis lain, jadi taklah kena lanyak teruk macam saya.

Tapi dah beberapa hari melalui minggu suaikenal, nampaknya bagus dan dapat banyak pengalaman terutama tentang disiplin ala ketenteraan yang diterapkan. Tapi ada juga kawan saya yang menangis,  tak tahan kena buli dengan abang senior. Pada saya bukan teruk sangat, bukanlah ada pukul memukul, cuma kena buat aktiviti lasak sikit dan disiplin ketat. Saya dan kawan lain ada nasihatkan kawan seorang tu supaya sabar dan jangan menangis lagi.

Lagi satu, masa minggu suaikenal tu, senior-senor buat promosi supaya kita orang masuk Palapes. Palapes ni sebahagian dari tentera simpanan, dapat elaun, makan percuma, pakaian percuma dan dapat jaminan dapat asrama. Tapi saya nampaknya tak berminat masuk tu semua sebab saya fikir jiwa saya tak berapa kena dengan ketenteraan ni.

Berakhir Minggu Suaikenal

Berakhir minggu suaikenal, rasa lega sangat. Yang paling penting, bebas dari kongkongan senior dan disiplin yang ketat ni. Bagaimanapun, senior-senior ni selalu tanya kita orang, bila nak isi borang Palapes, nampaknya dia orang tak henti-henti lagi promosi. Ada beberapa orang saja kawan saya yang minat nak masuk, antaranya kawan baik saya Azmi. Azmi pujuk saya siang dan malam masuk Palapes tapi saya memang degil taknak masuk.

Tawaran masuk Palapes katanya dah ditutup dan Azmi dan beberapa orang lagi pergi  ujian masuk. Saya dan beberapa orang tak layan sangat dan buat hal sendiri saja. Selesai ujian, Azmi datang ke bilik saya, dia cerita ujian tak susah mana dan tak ramai orang yang masuk. Azmi diminta pujuk kawan-kawan lain join Palapes, tapi saya tetap tak mahu masuk.

Pada saya, masuk Palapes ni serupa masuk tentera dan memang sama pun. Saya rasa saya ni tak cukup tinggi dan berat badan nak masuk. Masa tu berat saya dalam 46 kg saja dan syarat masuk tentera 45 kg, cuma lebih sekilo saja. Ukuran dada saya, rasanya saya tak layak walaupun saya tak tahu kiraan sebenarnya. Lepas tu, ujian kena pamping dan akan dikira dalam berapa minit tu. Lepas tu kena lari dan kena habiskan dalam beberapa saat. Saya rasa saya ni bukan boleh lari pecut macam tu.

Pengetua Nak Jumpa

Satu hari tu, ada satu notis di kamsis iaitu pengetua Kamsis tu, pensyarah Kapt Dr Mohamad katanya nak jumpa beberapa pelajar tahun satu untuk memberi penerangan sekali lagi tentang Palapes ni sebelah malam. Bila pengetua dan keluar notis macam tu, kita orang nampaknya pucat muka. Pakaian malam tu, semua kena pakai kemeja lengan panjang dan tali leher.

Dalam perjumpaanan itu, Dr Mohamad beri penerangan lebih jelas tentang Palapes dan mengharapkan sambutan luarbiasa pelajar kamsis tu join palapes. Di akhir perjumpaan tu, saya dan beberapa orang lagi, Sukri, Mamat, Mail yang mulanya taknak masuk, ambil juga borang.

"Sukri, kita buat-buat masuk, kalau tak nanti pengetua kata apa". Kata saya.

"Okey, set. Aku pun fikir macam tu". Kata Sukri.

Hantar Borang

Maka kita orang hantar borang, dan tak lama lepas tu kita orang dipanggil ujian. Saya dan beberapa orang pakai pakaian sukan. Ukur tinggi, berat dan ukuran dada saya lulus rupanya, menepati fizikal seorang tentera. Kemudian kena lari dan jurulatih tu ambil kiraan masa. Masa tu saya lari sepenuh tenaga, bukan apa, malu kalau corot, lebih lagi ada beberapa orang perempuan lari sama. Nampaknya lari saya lulus dan yang tak lulus kena ulang sampai lulus.

Lepas tu pamping, saya buat sepenuh hati walaupun tangan sakit dan lenguh. Maka ujian fizikal saya lulus. Terkejut juga saya, saya lulus rupanya. Bukan calang-calang ini, yang buat ujian tu tentera betul, bukan kawan-kawan. Lepas tu buat pemeriksaan perubatan dan saya lulus lagi. Kali ini ada beberapa kawan saya gagal sebab rabun jauh dan warna. Saya lulus.

Gunting Rambut

Pasal rambut pun sensitif tau. Dulu bergaya sikit rambut panjang tapi kena rambut macam askar. Kali pertama, tentera yang guntingkan kepala semua bakal kadet pakai mesin. Tergelak juga bila kita orang tengok muka masing-masing berubah bila rambut macam askar.

....BERSAMBUNG (saya sibuk, hari ini banyak ceramah)

08 Julai 2011

Pengantin Lelaki Sebut Nama Perempuan Lain Masa Akad Nikah


Bukannya tersasul tapi sebut nama lain. Hairan juga lelaki ini, kalau tersasul adalah dekat-dekat dengan nama perempuan ni, tapi lain sangat. Maknanya nama orang lain, bukan nama perempuan dia nak nikah tu. Kemudian barulah dia sedar yang dia salah sebut, dan dia perbetulkan. Tapi mengapa yang jadi salah sebut tu ?

Hai... nama perempuan mana pulak yang disebut tu. Ramai sangat makwe ker ?

Dua Tahun Bercerai Talak Tiga, Bernikah Semula Dengan Bekas Isteri

Suami 47 tahun, isteri 45 tahun, bercerai talak 3, dUa tahun lalu. Perkahwinan mereka lebih 20 tahun itu dikurniakan 5 anak, seorang menantu dan seorang cucu. Selepas bercerai suami tak nikah-nikah, manakala isteri bernikah dengan lelaki lain. Oleh kerana jodoh tak panjang, isterinya bercerai.

Maka hari ini mereka bernikah semula yang juga bekas suami-isteri yang pernah bercerai talak 3. Dipercayai, dorongan anak-anak membuatkan mereka kembali mendirikan rumahtangga. Hantarannya wang tunai RM 10,000.

"Semoga rumahtangga yang dibina kali kedua ini kekal hingga ke akhir hayat dan jangan ulangi kesilapan lama semasa perkahwinan kali pertama". Nasihat kadi sebelum lafaz akad nikah.

"Yer tuan kadi, semua itu dijadikan pengajaran dalam hidup saya. Saya berjanji tidak ulangi kesilapan lama". Lelaki tu.

SELAMAT PENGANTIN BARU.

Isteri Tolak Poligami Dosa Besar : Dato Noh Gadut


Isteri yang menolak syariat berpoligami secara mutlak adalah berdosa besar dan perlu segera bertaubat, kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut.

Beliau berkata, tindakan bakal isteri atau isteri yang sejak awal dan terang-terangan menolak syariat menuntut bakal suami atau suami tidak berpoligami dengan menandatangani perjanjian juga boleh membawa jatuh hukum murtad.
“Ini dosa besar dan perlu segera bertaubat sebab Allah syariatkan sesuatu mesti ada kebaikan.

Tindakan itu juga boleh jadi murtad kerana menolak secara total syariat ditetapkan Allah yang menjejaskan kepercayaan kita kepada-Nya dan ketentuan-Nya,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Akram Sabri yang berkata, wanita Islam boleh menolak poligami dan tidak berdosa sekali pun Islam menghalalkannya.

Kelmarin, Akram dilaporkan berkata, wanita mempunyai hak menuntut syarat ke atas suami supaya tidak berpoligami.

Bagaimanapun, katanya, penolakan isteri itu tidak mewajibkan suami mematuhinya kecuali jika pasangan sudah menandatangani perjanjian tidak berpoligami.
Ditanya pandangan beliau yang bertentangan dengan Akram, Nooh berkata, persepsi berlainan mungkin disebabkan suasana dan budaya negara berbeza.

“Mungkin suasana negara Arab lain, budaya kita lain, saya tidak kata pendapatnya tidak betul, itu persepsi dia.

“Kita kena melihat ‘nyamuk dengan kelambu’... kalau nyamuk yang silap kenapa kelambu dibakar, mungkin kesilapan suami, bukan syarat poligami itu sendiri sebab sudah jelas dalam al-Quran ia tidak boleh ditolak, namun ia tertakluk kepada syarat tertentu.

(Dipetik dari akhbar Berita Harian 8 Julai 2011)

Selepas 21 Tahun Menduda, Akhirnya Bernikah

Bercerai dengan isteri pada usia 32 tahun pada tahun 1990 dan ada seorang anak. Sekarang, selepas 21 tahun menduda pada usia 53 tahun, akhirnya bernikah dengan seorang janda kematian suami umur 30-an.
Selamat Pengantin Baru diucapkan.