Ustaz Khalil menurunkan Zakri dan Razali di Balai Polis Skudai kerana tadi Zakri dan Razali letak kereta di situ. Khalil terus bertemu Man di Restoran Osman.
"Ustaz... Maafkan Man. Ini ujian paling berat pada Man". Kata Man sebaik memulakan bicara.
Ustaz Khalil pada mulanya tidak mahu bercakap banyak, seperti ada sedikit kekecewaan.
"Ustaz... hubungan Man dengan Cikgu Syikin nampaknya sudah retak dan berkecai. Dan Cikgu Syikin mahu peminangan itu dibatalkan. Ini semua kerana peristiwa di angsana semalam. Man malu ustaz, Man malu..". Kata Man.
"Tapi semua persiapan sudah dirancang Man. Kenapa buat keputusan batal itu secara mengejut ? Kenapa tak teruskan saja ? Bergaduh itu perkara biasa dan boleh reda". Kata Khalil.
"Susah nak cakap ni ustaz. Syikin benar-benar mahu putuskan hubungan dengan Man....Man tahu, Man sudah susahkan ustaz, tapi...." Kata Man dan kata-katanya terputus dan tak berjaya meneruskan kata-katanya itu.
Man kemudian menceritakan peristiwa yang berlaku dan termasuk kursus kahwin di Hotel Seri malaysia serta pertemuan dengan Syikin dan Syira di Terminal Larkin.
"Okey Man, saya faham perasaan Man. Cuma saya sedikit terkilan dan ada rasa malu pada orang yang menunggu saya termasuk pak imam dan ketua kampung di sana. Mereka sepatutnya sama-sama rombongan meminang ke rumah Syikin. Itu yang saya malu sikit, yang lain saya tak kisah". Kata Khalil.
"Tapi tak apalah, saya lupakan saja. Saya di JB dia di kampung. Cuma lepas ni kalau pak imam dan ketua kampung tu telefon dan tanya saya lagi, saya tak nak jawablah". Kata Khalil lagi.
"Ustaz... Maafkan Man, Man sanggup jumpa mereka semua termasuk pak imam dan ketua kampung tu. Man nak minta maaf pada mereka semua. Rasa petang ni juga Man nak ke sana". Kata Man.
Ustaz Khalil nampaknya sudah reda terutama lepas makan nasi kandar lauk ayam goreng masala dan air teh o panas.
"Man.. saya nampak muka kau pucat saja, macam tak sihat saja Man ?". Kata Khalil.
"Ermmmm... kurang tidur sikit ustaz malam tadi, banyak benda nak fikir". Kata Man.
"Jaga kesihatan kau Man. Kalau tak sihat, rehatkan diri, jangan buat kerja berat dan jangan fikir masalah yang berat-berat". Kata Khalil.
"Yer ustaz, petang ni saya nak ajak Aboi sama dan nak duduk kampung dalam 2-3 hari. Nak cari ketenangan jumpa mak Man". Kata Man.
"Baguslah tu Man. Lagi satu, dalam hal meminang dan cari jodoh ni, sebaiknya jangan belakangkan keluarga. Elok Man berterus terang lepas ni, tak kiralah jodoh Man dengan sesiapa. Ermmmm... tengok perancangan kita hari ni gagal, ada hikmah dan pengajaran sebenarnya. Mungkin sebab kita belakangkan keluarga kita, agaknya itulah pengajaran yang Allah nak tunjukkan pada kita". Kata Khalil dan Man terdiam.
Yer, tadi rancangan nak meminang Cikgu Syikin adalah hasil perbincangan Man dan ustaz Khalil. Ustaz Khalil bersetuju membantu Man dan merahsiakan dari pengetahuan mak ayah Man. Bukan niat Man untuk membelakangkan keluarga, tapi adalah kerana sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Hasil perbincangan itu, ustaz Khalil bersetuju, cikgu Syikin pun bersetuju. Mulanya memang ustaz Khalil tak setuju Man belakangkan mak dan ayahnya, tapi akhirnya ustaz Khalil setuju setelah dapat penjelasan dari Man. Man rancang, nak meminang dulu, lepas itu barulah nak beritahu mak ayahnya.
Ustaz Khalil menyiapkan beberapa ahli rombongan meminang yang terdiri dari orang kuat-kuat juga termasuk pak imam dan ketua kampung di kampung cikgu Syikin. Menurut Syikin, ayahnya tiada halangan untuk menerima kunjungan rombongan ini. Diceritakan oleh Cikgu Syikin, yang bapanya seorang pesara guru dan orang yang dihormati di kampungnya. Bapanya sedia menerima Man sebagai menantu walaupun mengetahui Man tidak ada kelulusan seperti Syikin, seorang guru yang ada ijazah dan bakal ada master itu.
Kerunsingan Khalil apabila peminangan itu terpaksa dibatalkan adalah kerana memikirkan, bagaimana perasaan ayah Syikin serta ketua kampung dan pak imam itu. Bila Man sendiri menawarkan untuk menyelesaikan isu ini, ustaz Khalil nampaknya berpuashati.
Yanti memandu kereta seorang diri meninggalkan Hotel Grand JB untuk pulang ke KL dalam jam 1.15 tengahari selepas solat zohor. Kawan sebilik Yanti menemani Yanti hingga ke kereta. Banyak nasihat dan kata-kata peransang diberikan kawannya itu. Yanti cukup bertuah dan bersyukur dapat bersama sebilik selama 3 hari di hotel itu.
Masuk saja ke lebuhraya, kereta Yanti tidak laju seperti biasa, gayanya pecutannya tidak seperti dia hendak berjalan jauh ke KL. Yanti yang tidak makan tengahari tetapi tidak terasa lapar dari tadi, sekarang dia mula terasa lapar pula. Lagi satu, ingatan Yanti tetap kepada Man dan adik Man, Syira. Dari semalam, Yanti sudah tanamkan azam, dia tak akan jejakkan kaki ke Johor lagi selepas ini dan dia akan anggap, keluarnya dia dari negeri Johor kali ini adalah kali terakhir dalam hidupnya. Tapi tak tahulah, sejauh mana kuatnya azamnya itu, entahlah.
Yanti menangis sendirian sambil memandu bila mengenangkan Syira yang sedaya upaya mahukan Yanti sehidup semati bersama Man. Ini membuatkan kasih Yanti kepada Syira lebih daripada adik beradik walaupun mereka tiada apa-apa kaitan keluarga. Fikir Yanti, sedangkan mak, ayah, abang dan kakak Yanti sendiri tak sebegitu besar pengorbanannya untuk menyelami perasaan cintanya pada seorang lelaki idamannya. Yanti rasa, Yanti hendak bertemu Syira sebelum dia meninggalkan Johor buat selama-lamanya ini. Dan Yanti tahu, berdasarkan sms yang dikirimkan Syira semalam, Syira sudah berada di kampung waktu itu.
Man adalah insan yang teristimewa dalam hidup Yanti. Man berjaya mencuri hati Yanti yang tiada bandingannya dengan lelaki lain dalam hidup Yanti. Walaupun perasaan marah, geram, terbakar dan menyampah pada Man bila menayangkan aksi intimnya dengan Cikgu Syikin, tapi sebenarnya, Man masih tetap di hati Yanti.
"Man.... semoga Man bahagia dengan gadis pilihan Man. Yanti tumpang gembira". Bisik hati kecil Yanti.
Esok, Isnin Yanti rasa nak cuti dan dia tiada masalah kerana dia memang banyak cuti lagi. Bila papantanda menunjukkan 2 kilometer lagi persimpangan keluar Air Hitam, Yanti mula terfikir untuk tidur di hotel berhampiran rumah Man. Bukan apa, cuma hati Yanti terlalu rindukan suasana di sekitar kampung dan bandar itu. Mungkin Yanti nak tidur di hotel yang sama masa Man menjalani pembedahan kepala di hospital pakar dulu. Dan kalau boleh juga, Yanti hendakkan bilik yang sama, bilik 05-12, itu pun kalau ada kosong. Bukan apa, sukar diungkapkan, kenapakah Yanti terlalu rindukan suasana dalam bilik itu, tapi itulah yang yanti mahukan bila dia melayan perasaannya ketika memandu sendirian.
Syira dan Nizar naik teksi dari bandar ke kampungnya kerana tidak mahu mengganggu bapanya yang sibuk ke kebun. Sampai saja di rumah, emak Syira yang dari tadi sibuk memasak, menyambutnya dengan membuka pintu. Syira terus memeluk ibunya sambil menangis teresak-esak, manakala Nizar hanya memerhatikan saja.
"Kenapa ni Syira, kenapa ? Kenapa ? Kenapa kau, kenapa dengan abang Man ?" Kata mak Syira dengan penuh debaran.
"Cakap Syira, cakap.. apa yang dah berlaku ni ?" Desak mak Syira lagi.
Syira terus menangis semahunya sehingga membasahi baju emaknya.
"Nizar, kenapa Nizar ? Apa dah berlaku di Johor ? Kenapa dengan abang Man ?" Desak emaknya. Tapi Nizar terus berdiam diri tanpa sepatah pun keluar dari mulutnya.