Nak Jadi Rakan FB Saya Taip "Kadi Kluang" atau klik bawah ni..

Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

Memuatkan ...

29 September 2012

Lafazkan Syahadah Selepas Dengar Ceramah Dr Zakir Abdul Karim Naik


Ribuan membanjiri Dataran Bandaraya Johor Bahru malam tadi dalam ceramah Dr Zakir Abdul Karim Naik. Ramai juga yang hadir terdiri daripada orang bukan Islam. 

Suatu yang mengejutkan adalah seorang lelaki bukan Islam mengucapkan syahadah dan masuk Islam selepas mendengar ceramah itu. Perkara mengejutkan ini disaksikan oleh ribuan yang hadir malam tadi. Selepas ini, Dr Zakir akan turut berceramah di UITM Shah Alam, Dewan Jubli Perak Kuantan dan PWTC Kuala Lumpur.

28 September 2012

Kenapalah Kakak Dia Kata Wali Dia Gila, Padahal Tak Gila


Seorang wanita 40-an hendak bernikah dengan lelaki 50-an. Perempuan ni ibu tunggal dan sebelum ini pernah bernikah berwalikan bapa. Lelaki pula adalah duda.

Sekarang perempuan ini hendak bernikah berwalikan adik lelakinya. Apabila ditanya mengenai bapa dan datuknya, dia menjelaskan bapa dan datuknya sedah meninggal dunia dan menunjukkan surat mati. Dia hanya seorang sahaja adik lelaki dan lain-lain adik beradiknya adalah perempuan. Maknanya adik dia sajalah yang berhak menjadi wali perkahwinannya.

"Adik saya iaitu wali saya gila, sakit mental". Kata perempuan ini.

"Ada surat dari hospital yang menyatakan dia gila ?" tanya ustaz.

"Surat tak ada tapi adik saya ini memang gila, semua orang dah tahu". Kata kakaknya.

Ermmm.... secara kasar, nampaknya adiknya tak layak jadi wali. Berkemungkinan akan berwalikan wali yang lain atau wali hakim. Perempuan ini bersetuju berwalikan hakim. Tetapi.... ada soalan yang belum terjawab, iaitu betulkah adik dia ini gila ?

"Okey, saya akan datang ke rumah kamu (jaraknya lebih kurang 35km) untuk pastikan adik kamu gila. Atau seorang jurunikah akan dihantar ke sana untuk mengesahkan adik kamu gila". Kata ustaz.

Terus perempuan ini berubah mukanya dan jadi kelam kabut. Akhirnya, tidak semena-mena dia mengaku adik dia tidak gila. Malu muka dia... Akhirnya dia bernikah juga berwalikan adik, adiknya pun tiada masalah dan setuju jadi wali.

Tapi, persoalan yang belum terjawab, mengapa kakak dia kata adik dia gila yer ?

Ceramah Dr Zakir A.Karim Naik di Johor Bahru Malam ini 28 Sept 2012 (Jumaat)

Semua dijemput hadir di Dataran Bandaraya, Johor Bahru jam 8.00 malam ini.

Siapa Dr A.Zakir A.Karim Naik ?

 Dr Zakir Abdul Karim Naik, seorang doktor perubatan yang berubah haluan menjadi cendekiawan.

Tidaklah hairan ke mana sahaja Dr Zakir pergi sekarang, orang menggelarnya ‘Ahmed Deedat Plus’. Deedat, yang luas ilmu, tajam fikiran dan telah menjelajah seluruh dunia untuk menyampaikan mesej agama itu melalui ribuan ceramah, menggelarkan Dr Zakir ‘Deedat Plus’, kerana ketinggian ilmu dan ketajaman fikirannya itu.

27 September 2012

Waspada Dengan Kegiatan Syiah Di Negeri Johor

 
Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) mengesan 300 orang daripada 60 keluarga di bandar raya ini berfahaman dan mengamalkan ajaran syiah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Datuk Zainal Abidin Osman berkata pemantauan berterusan JAIJ mendapati kesemua mereka berada di tiga markas iaitu di Kampung Sungai Tiram, Larkin Perdana dan Taman Daya, di sini.

"JAIJ menerima aduan daripada orang ramai berhubung penglibatan segelintir umat Islam ini. Siasatan mendapati mereka mengamalkan ajaran syiah beraliran Jaafariyah Isna A'shar yang berasal dari Karbala, Iran," katanya  ketika menjawab soalan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (BN-Jorak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

Empat Tahun Bercerai, Nikah Semula

Lelaki 50-an dan perempuan 50-an bercerai talak satu empat tahun lalu. Lelaki sebagai petani manakala perempuan tidak bekerja. Lepas bercerai masing-masing duduk rumah masing-masing. Perkawinan mereka lebih 20 tahun dulu dikurniakan 3 orang anak. Seorang anak perempuan bernikah semasa ibu dan bapa mereka sudah bercerai dengan berwalikan bapa.

Lelaki dan perempuan ini tidak bernikah dengan sesiapa sepanjang 4 tahun bercerai itu. Akhirnya pasangan ini membuat keputusan bernikah semula dan melupakan kisah hidup pahit manis perceraian mereka 4 tahun lepas. Majlis pernikahan turut disaksikan oleh anak-anak.

25 September 2012

Mak Ayah Terkejut Besar, Anak Dah Nikah Kat Seberang


Ibu bapa berusia 50-an membesarkan anak lelaki sulung mereka dengan pendidikan agama dan akademi yang baik. Anak lelakinya ini menyambung pelajaran hingga ke pengajian tinggi seterusnya bekerja di sebuah negeri di utara.

Baru-baru ini, pada usia anaknya 20-an, diketahui yang anak lelakinya ini sudah bernikah. Cara ibu bapa mengetahuinya adalah dari orang yang tidak dikenali. Mengetahui berita ini, ibu bapa bergegas menemui anaknya dan didapati anaknya duduk serumah dengan seorang perempuan. Dari segi gaya rumah termasuk pakaian, nampak macam itu rumah keluarga.

Anaknya mengaku sudah bernikah di seberang dan menunjukkan surat nikah itu. Ibu bapa terkejut melihat surat nikah iaitu anaknya sudah bernikah dua tahaun lepas. Bagaimanapun anaknya sedikit pun tidak menunjukkan reaksi sudah bernikah terutama apabila balik ke kampung termasuk hari raya adalah seperti orang  bujang.

Apabila dibongkar lagi, perempuan juga tidak memberitahu keluarganya yang dia dah nikah. Pasangan ini belum ada anak dan mereka rahsiakan pernikahan mereka.

24 September 2012

Asam Garam Hidup Bermadu : Cerita Dari Isteri Kedua


Ifah, umur awal 30-an, masih anak dara sebelum bernikah, bekerja sebagai eksekutif. Semasa umurnya 20-an, dia tidak menyangka akan menjadi isteri kedua malah amat tidak gemar kalau cerita kisah bermadu ini. Akhirnya, Ifah  bernikah dengan suaminya, lewat 30-an hampir 2 tahun lalu. Suaminya ada seorang pegawai di jabatan kerajaan.

 Mereka bernikah di sini, bukan seberang dan dapat kebenaran dari mahkamah syariah. Isteri pertama dipanggil ke mahkamah oleh hakim sebelum kebenaran diperolehi. Dalam keadaan yang serba salah dan tertekan, isteri pertama hadir ke mahkamah.

Peperangan besar berlaku antara isteri dan suaminya bila mengetahui hasratnya bernikah lain. Dia hadir ke mahkamah dan membuat bantahan. Bagaimanapun, hakim mempertimbangkan beberapa perkara termasuk kemampuan dan ekonomi suami. Akhirnya mahkamah memberi kebenaran. Ifah menceritakan yang madunya (isteri pertama) pada mulanya menerima kehadiran isteri kedua, tetapi lama kelamaan, berlaku pergolakan.

Isteri pertama 30-an, bekerja di sebuah pejabat kerajaan dan dikurniakan anak-anak yang masih kecil dan bersekolah rendah. Dia tewas dengan ejekan dan hasutan kawan-kawan sepejabat yang dah jadi buah mulut orang. Ketenteraman isteri pertama hanya boleh bertahan selama 2 bulan saja. Dari seorang wanita yang penyabar dan lembut, isteri pertama bertukar jadi garang atau istilah yang Ifah berikan adalah 'gila meroyan'.

'Gila meroyan, macam mana tu gila meroyan ?'. Tanya ustaz.

'Gila meroyan itu macam orang kena masuk hantu'. Kata Ifah.

'Macam mana masuk hantu tu ?' . Tanya ustaz lagi, seakan tak berapa nak faham.

'Kena rasuk macam orang gila'. Cerita Ifah.

Bercerita pasal gila meroyan dan masuk hantu itu antaranya, isteri pertama sering mengamuk kalau suami tidur ke rumah isteri kedua. Dari pagi siang sampai malam, malam sampai siang, telefon suami akan berbunyi, dah tentu mengganggu ketenteraman. Akibatnya, suami semakin kurang tidur ke rumah isteri kedua dan kalau datang pun dalam keadaan takut-takut macam mat rempit nak curi moto.

Rumah isteri pertama dalam lingkungan 5 km saja dari tempat kerja suami. Semua pakaian suami ada di rumah isteri pertama. Isteri kedua pula jaraknya dalam 40km dan jadi tempat datang-datang suami saja macam orang baca meter letrik.
BERSAMBUNG KE EPISOD KEDUA

22 September 2012

CUEPACS Nak Minta Elaun? Mintaklah....


CUEPACS nampaknya minta kerajaan supaya elaun rumah dinaikkan. Tapi jangan minta itu saja. Bagaimana yang duduk di kuarters kerajaan ? Tentu tak rasa apa-apa kalau elaun rumah naik. Pada saya, nak minta elaun rumah dinaikkan, mintaklah. Kalau permintaan ini ditunaikan, saya rasa, akan ramailah yang beli rumah sendiri atau menyewa di luar. Akan banyak juga kuarters kerajaan yang kosong kalau perkara lain CUEPACS tak pandang.

Cuma jangan lupa, minta juga elaun Cola diberikan penuh kepada yang mendiami kuartes kerajaan, sekarang dapat separuh jer. Contohnya di Johor Bahru, kalau duduk kuarters kerajaan dipotong elaun rumah (semua) dan dipotong separuh elaun Cola yang RM 300 tu.

Satu lagi, kalau duduk pangsapuri kerajaan yang ada caj lain seperti penyelenggaraan bangunan RM 180 sebulan, kena bayar sendiri. Tapi ini soal penyelenggaraan ini bab lainlah.

Baca sendirilah dari akhbar ini :
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menambah Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) kepada penjawat awam dalam belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen 28 September ini.
Sambungannya, Klik Sini

KESIMPULAN SAYA :

1. Minta elaun rumah semua peringkat gred dinaikkan.
2. Penghuni kuarters kerajaan dapat 50 peratus dari jumlah elaun rumahnya.
3. Elaun cola dapat 100 peratus kepada penghuni kuarters.
(Apa macam CUEPACS, ada bernas ke cadangan saya ni? )

Maka dengan itu, semua menang-menang. Sekarang banyak kuarters kerajaan yang orang tak mahu duduk. Jangan kata saya saja buat cerita, ini bukan rahsia lagi. Antara sebabnya adalah sewa rumah di luar lebih murah berbanding potongan elaun rumah dia. Kedua, elaun cola hilang 50 peratus.

21 September 2012

Adik Tak Mahu Jadi Wali Pernikahan Kakaknya


Seorang anak dara 30-an bernikah dengan lelaki bujang 30-an berwalikan hakim. Apabila diminta menceritakan kisahnya itu, katanya adiknya sudah lama tidak bertegur dengan kakaknya. Adiknya sekarang tinggal di sebuah negeri di utara dan bekerja di sana.

Bapa perempuan ini sudah meninggal dunia lama dan hanya seorang adik lelakinya saja yang sepatutnya menjadi wali. Akhirnya perempuan ini berjaya mendapatkan perintah mahkamah kerana 'wali enggan'.

20 September 2012

Beberapa Kali Bercinta dan Putus Tunang Akhirnya Nikah Dengan Suami Orang


Seorang perempuan 30-an, anak dara akhirnya bernikah dengan suami orang 30-an sebagai isteri kedua. Mengikut ceritanya, perempuan ini sudah beberapa kali putus cinta lebih sepuluh tahun lalu dan dua kali bertunang dan putus tunang sebelum ini.

Akhirnya, beliau bercinta dengan seorang lelaki yang sudah punyai isteri dan anak seterusnya bernikah. Nikah pula bukan nikah lari pergi naik tongkang ke seberang, atau naik perahu ke sungai sempadan, tapi melalui permohonan di mahkamah syariah. Isteri pertama turut hadir ke mahkamah syariah dan mahkamah meluluskan permohanan ini.

"Tuan, isteri pertama saya setuju saya bernikah ni". Kata pengantin lelaki.

Isteri Setuju ?

Tak apalah, dengar sajalah apa yang lelaki ni cerita. Kalau ditanya, apa maksud 'setuju' itu lebih lanjut, mungkin ada banyak makna. Mungkin juga setuju dalam keadaan terpaksa atau setuju dalam rela dan lain-lain. Lebih lagi kalau ditanya sendiri pada isteri pertama, maksud 'setuju' tu apa... Tak mustahil, perkataan lain yang keluar dari mulut, yang saya tak mahu tambah menambah lagi.

Akhirnya Bermadu

Berbalik pada cerita di atas tadi, ada orang yang saya kenali, dia ni beberapa kali putus cinta dan setahu saya sekali putus tunang, yang saya tak tahu berapa kali putus tunang tu, tak tahulah. Nanti, dia baca cerita saya ni, jangan rasa risau pulak. Pasal apa ? Pasal orang kita, rasa poligami ni dah macam benda yang paling dia tak mahu  berlaku. Sampai ada orang rasa, kalau suami dia naikah lagi satu, macam dah nak kiamat dah.

Media : Majalah dan Akhbar, TV

Media mainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran masyarakat. Jadi dalam bab poligami ini, media patutnya kenalah jadi media yang seimbang. Antaranya, kalau kita siarkan cerita rumahtangga bergolak, bercerai, main kayu tiga, maksiat dan pelacuran, kenapa pula media tak siar kebaikan berpoligami.  Kenapa majalah dan akhbar, tak cerita kebaikan dan kebahagian orang yang beristeri lebih dari seorang ?

Masukkanlah dalam media, buat temuramah dengan beberapa tokoh yang berpoligami. Temuramah sekali isteri pertama dan kedua serta anak-anak sekali. Atau kalau tak mahu siarkan nama pun boleh juga. Tapi jangan buat cerita sendiri, kenalah pergi temuramah.... Hehe...

19 September 2012

Akibat Tangguhkan Perkahwinan, Pasangan Dah Tak Tahan dan Terbuncit


Lelaki 20-an bertunang dengan gadis 20-an lebih kurang setahun lalu. Lelaki kerja swasta dengan gaji lebih RM 2,000 manakala perempuan tak bekerja. Sepatutnya, pasangan ini bernikah pada 3 bulan lepas tetapi terpaksa ditangguhkan kerana kehendak ibu perempuan. Punca ditangguhkan adalah kerana bapa perempuan baru saja meninggal dunia. Maka menurut ibunya, majlis pernikahan perlu ditangguhkan untuk menghormati kematian bapa perempuan.

Nasi Dah Jadi Bubur

Bagaimanapun, lelaki dan perempuan ini sudah terlanjur dan membuat kerja di sebuah hotel. Selepas itu, perempuan disahkan mengandung. Apabila sudah mengandung 3 bulan, barulah pasangan ini datang ke pejabat untuk bernikah berwalikan abang.

"Tuan, saya malu dengan masyarakat kerana perbuatan anak saya ini....." Kata bapa  kepada lelaki, kemudiannua menangis teresak-esak.

18 September 2012

Operasi Khalwat : Lari Tak Cukup Tanah

 
Panik apabila pintu bilik hotel yang ditumpangi diketuk penguatkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) daerah Kluang, seorang lelaki sanggup mengadang pintu biliknya dengan sebuah meja bagi menyelamatkan diri bersama pasangan kekasihnya daripada ditahan dalam Ops Maksiat, awal pagi kelmarin.

Selepas hampir 10 minit mendiamkan diri tanpa memberi tindak balas, pintu bilik berkenaan dipecahkan pihak penguatkuasa.
Menurut Pegawai Tadbir Agama daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor, pemeriksaan penguatkuasa mendapati, seorang lelaki berusia 33 tahun bersama pasangannya berusia 19 tahun yang sedang mengandung tujuh bulan berada di dalam bilik hotel itu.

“Pihak kita juga menghadapi sedikit masalah apabila lelaki itu yang juga bekas tentera tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan pegawai penguatkuasa JAJ kepadanya,” katanya.

Mohd Khalil berkata, hasil soal siasat, lelaki tersebut telah diberhentikan daripada perkhidmatan tentera kerana kesalahan tatatertib dan sudah mempunyai isteri serta empat anak yang tinggal di Taman Sri Impian.

“Manakala pasangannya itu tidak bekerja setelah menamatkan persekolahan sehingga tingkatan lima,” katanya.

Beliau berkata, lelaki tersebut memberitahu yang dia mahu bernikah apabila mengetahui kekasihnya mengandung, tetapi hasratnya terbantut apabila mendapat tentangan daripada isteri.

“Bagaimanapun, pasangan tersebut dibebaskan setelah diikat jamin oleh keluarga masing-masing dan akan didakwa di bawah Seksyen 23(1) (2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor dan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau enam kali sebatan jika sabit kesalahan.

“Pasangan itu adalah antara tujuh pasangan yang telah berjaya ditahan dalam Ops Maksiat sempena Hari Merdeka awal pagi kelmarin,” katanya.
 
Dipetik dari Akhbar Sinar Harian, Edisi Johor.

15 September 2012

Filem Hina Nabi Muhammad, Apa Agenda Mereka ?

Saya dah tonton filem itu yang boleh ditonton di youtube. Sekali tengok saja, saya dah tak sanggup nak tengok kali kedua. Semuanya cerita penipu yang difilemkan oleh musuh Islam. Siapa pemilik youtube dan laman-laman kesukaan kita di internet ? Adakah orang Islam punya ? Cuba senaraikan, yang mana satu orang Islam punya... Kalau orang Islam punya, adakah dapat sambutan hebat seperti youtube atau facebook.
Ada beberapa video di youtube yang hanya berada beberapa minit saja di sana, kemudian dibuang oleh pengendali youtube. Katanya disebabkan bantahan seseorang atau institusi atau negara kerana beberapa isu. Tapi, kenapa pula dalam video menghina Islam seperti ini dibiarkan oleh youtube ?
Sudah lama berada di Youtube
Video yang menghina nabi itu sudah wujud di youtube sejak julai lagi iaitu sudah 2 bulan dan penonton sudah melebihi sejuta orang. Tidak dinafikan, youtube adalah video internet yang paling popular. Di facebook pun, ramai orang mengiklankan video ini, facebook juga tak sekat.
Apa Agenda Mereka
Musuh-musuh Islam nak tengok bagaimana tahap kekuatan orang Islam. Mereka tak nampak sekuat mana kekuatan iman, tapi mereka boleh nampak sekuat mana perpaduan umat Islam. Dunia Islam luas dari Asia, Afrika, Eropah malah seluruh dunia ada orang Islam. Negara orang Islam juga ada dan ada pertubuhan orang Islam iaitu OIC. Apa tindakan atau pendirian OIC dalam hal ini ?
Boikot Barang ?
Adakah tindakan boikot barang musuh Islam adalah satu tindakan yang tepat. Beberapa tahun lalu kita sudah jalankan kempen boikot barangan ini tapi apa kesannya ? Bila negara Belanda siar di akhbar mereka kartun hina nabi, kita boikot barang Belanda. Tapi kita lupa, pada masa itu, Belanda antara negera yang menjadi pelabur yang besar di negara kita.
Orang kita dalam bab boikot ini sebenarnya tak ke mana. Kita nak boikot barang orang yang bermutu dan masuki pasaran dunia tapi barang kita ada kualiti atau tidak ? Malaslah nak cerita lebih dalam bab ni sebab yang niaga keropok lekor sampai ke pasaran dunia pun bukan orang Islam, eksport belacan pun bukan orang Islam dan barang yang ada sijil halal kebanyakannya syarikat bukan Islam.
Orang Islam pula bila suruh ambil sijil halal dia kata dia dah Islam, buat apa nak ambil sijil halal lagi. Ada juga yang tak mahu bayar untuk mendapatkan sijil tu yang jumlahnya bukanlah sebanyak mana. Ada juga yang komplain kata kedai makan tu tak ada sijil halal dan jual benda tak halal, sedangkan yang mengadu tu juga ada kedai makan tapi tak ada sijil halal juga. Maaflah, bukan saya nak mengata, tapi ini kelemahan kita.

Orang Islam Mesti Menentang

Orang Islam wajib menentang penyebaran video ini. Kita boleh bersahabat dengan orang Islam selagi mereka tidak memusuhi dan memerangi agama kita. Cuma kaedahnya bagaimana ? Antaranya, kita sama-sama duduk semeja, gariskan tindakan-tindakan kita dan seterusnya bertindak mengikut batasan undang-undang negara.

13 September 2012

Cantik Yang Dah Tak Cantik

 
Seorang jurujual kereta bukan Melayu kata,
 
"Kalau dokumen you cantik, loan boleh lulus".
 
Betulkah perkataan 'cantik' itu  sesuai di situ ?
 
Lepas tu dia kata lagi.
 
"Enjin kereta you dah tak cantiklah".
 
Betulkah perkataan 'cantik' itu sesuai di situ ?
 
Lepas tu ada seorang kata,
 
"Tadi ada seorang perempuan cantik lalu depan rumah kamu".
 
Kira betullah bahasa tu iaitu cantik sesuai bagi perempuan. Tapi kenapa pula dokumen cantik sedangkan dokumen dia tak lengkap bukan tak cantik. Lagi satu, apa perlunya perkataan dokumen, orang kampung saya tak faham, elok guna perkataan surat sokongan dan sebagainya.
 
Enjin tak cantik, memanglah enjin itu tak cantik macam anak dara.
 
 
 
 


10 September 2012

Ramai Bakal Pengantin Perempuan Tak Pandai Memasak ?



Dalam 3 tempat saya berceramah dalam kursus pra perkahwinan beberapa hari lepas, saya tanya peserta soalan bab masak memasak.

"Siapa kat sini pandai masak ? Sila angkat tangannnn" Kata saya sambil memandang ke arah peserta perempuan.

Tiada seorang pun yang angkat tangan tapi ramai yang tersipu-sipu. Apa maknanya tu ? Entah...

"Okey, siapa yang pandai masam mee goreng ? Angkat tangan..." Kata saya lagi.

Tidak ada juga yang angkat.

"Ermmm... siapa yang pandai masak nasi lemak. Angkat tangan..." Tanya saya lagi.

Sekali lagi tak ada yang angkat.

"Okey, siapa yang pandai buat teh tarik ? Angkat tangan.."

Nampaknya seorang pun tak ada yang angkat tangan. Kenapa yer ?

Bakal Pengantin Tak Pandai Masak ?

Bukan saya nak mengata, tapi itulah hakikat yang berlaku kepada bakal pengantin perempuan. Bukan saya nak marah, tapi nada saya berceramah itu lebih kepada lawak jenaka saja. Dalam kita dok cerita pasal berjimat cermat dan bising pasal harga makanan kat kedai mahal, kita tak berapa ambil kira dalam bab memasak ini. Cuba bayangkan, berapa ringgit duit kita habis di restoran atau kedai makan sehari, apa lagi sebulan atau setahun ?

Mee Goreng

Saya tanya pasal mee goreng sebab saya tahu cara nak masak mee cara paling ringkas. Harga sebungkus mee mentah adalah RM 2.00 sekilo. Dengan sekilo itu, kalau macam mee dihidang kat kedai, boleh 8-10 orang makan. Bayangkan sebungkus mee dijual RM 3.00 sepinggan, tauke kedai boleh untung RM 30.00 dengan modal RM 2.00 tadi. Di kedai sekarang susah nak cari mee harga RM 3.00 lagi, biasa RM 3.50 atau RM 4.00.

Tak Pandai Masak Sungguh Ker ?

Tidak angkat tangan mungkin kerana tak berani dan takut kena tanya dan mungkin dia orang tahu tapi tak mahu mengaku tahu. Okey, saya tak tanya banyak, saya tanya bagaimana nak buat teh tarik. Oleh kerana seorang pun mengaku pandai, saya sebut saja nama dan seorang itu terpaksa buat. Bila ditanya, dia memang tak tahu buat dan kalau saya minum teh dia, mungkin boleh sakit perut.

Belajar Buat Teh Tarik, Klik Sini

07 September 2012

Suami Isteri Rasa Bersalah Walaupun Berjaya Menipu di Mahkamah


Ada orang suka menipu dan penipuannya bermutu tinggi dan berjaya juga. Kemahiran menipu bukan semua orang ada dan bukan senang untuk dipelajari. 

Melibatkan Hukum Hakam

Tetapi bagi satu kes ini, seorang lelaki 40-an dan isterinya 40-an sudah bercerai talak satu. Selepas 3 bulan lebih bercerai, kedua-dua mereka telah hadir mendaftarkan 'rujuk' dengan mendakwa mereka telah rujuk dalam tempoh edah. Pertama, perempuan mendakwa dia masih ada edah iaitu belum 3 kali suci lagi. Lelaki pula mendakwa telah rujuk dalam tempoh tersebut.

Setelah meneliti beberapa perkara, mahkamah telah mengesahkan mereka telah rujuk semula. Maknanya mereka jadi sebagai suami isteri yang sah semula. Bagaimanapun, selepas beberapa bulan, perempuan membongkarkan cerita sebenarnya, iaitu semasa rujuk berlaku, edahnya sudah habis. Katanya waktu itu, dia sudah beritahu suaminya yang dia sudah habis edah tapi suaminya kata, semua itu boleh diselesaikan dengan memberi keterangan palsu di mahkamah.

Sendiri Rasa Bersalah

Sekarang, pasangan suami isteri ini tidak bahagia dan rasa bersalah, akhirnya merujuk kes ini ke pejabat kadi.

04 September 2012

Barang Keras Tak Semestinya Bahaya, Yang Lembik Lagi Bahaya


 

Saya dengar satu ceramah seorang ustaz ni di internet. Kira ada unsur lawak juga ceramah ini tetapi tinggi maksud yang nak disampaikannya. Saya ubah sikit ayat ikut gaya bahasa saya tapi maksudnya lebih kurang sama juga.
 
Benda Keras
 
Kita janganlah takut dengan benda keras contohnya kura-kura. Tengok kura-kura, kena langgar moto atau kereta, dia selamba jer. Kalau kena langgar lori balak atau lori traler, berkecailah juga. Sekeras-keras kura-kura, tak dengar pula kes kura-kura mendatangkan kecederaan pada orang atau memusnahkan rumah orang.
 
Benda Lembik
 
Benda lembik macam ular dalam semak, diam-diam patuk orang. Kalau lambat hantar hospital, boleh arwah. Kalau nak banding kerasnya kura-kura jauh kerasnya berbanding ular. Tapi orang takut pada ular, tak takut kura-kura.
 
Lelaki dan Perempuan
 
Ustaz ini buat cerita yang keras itu adalah lelaki dan yang lembut itu perempuan. Ceritanya lagi, orang lebih takut perempuan berbanding lelaki walaupun perempuan itu lembut saja fizikalnya. Tak mahulah saya cerita lebih-lebih, sendiri dengarlah ceramah tu dan sendiri carilah sampai jumpa dalam youtube.

03 September 2012

Pembiayaan Peribadi Ni Membantu atau Memerangkap Peminjam ?

Baca suratkhabar hari ini, kemudian di dalamnya ada satu kertas yang diselitkan. Iaitu iklan mengenai pembiayaan peribadi atau pinjaman peribadi atau orang kampung saya panggil 'personal loan'. Bank ini adalah bank yang berdaftar dan antara yang terkenal juga. Katanya dia menawarkan pinjaman pada kadar serendah 4.45 % setahun, sekali imbas macam murah sangatlah tu.

Tengok Betul-betul

Kat belakang kertas tu dinyatakan secara terperinci bayaran bulanan yang dikatakan 4.5 % itu. Bila saya tengok dan cuba bandingkan dengan sebuah bank lain, nampaknya bank yang iklan inilah yang kira paling murah. Contohnya, kalau pinjam 100,000 tempoh 15 tahun, kena bayar RM 938 sebulan, kalau 20 tahun RM 796 sebulan. Kalau pinjam RM 200,000, 15 tahun kena bayar 1,874 sebulan, 20 tahun 1590 sebulan.

Ada Benda Yang Diselindungkan

Bila baca kat bawah pula, ada tulisan "Ansuran Bulanan Adalah Tidak Termasuk Caj Perkhidmatan Sebanyak 2 %".

Ohhhh... ada syarat lain rupanya. Kenapa dalam jadual atas itu tidak dinyatakan terus jumlahnya setelah dicampur 2 peratus ? Saja jer kan, nak nampakkan kata pinjaman ini bayar murah kan ?

Tahukah kita yang 2 % itu dari kadar mana ? Kadar pinjaman asas ker ? Baki tahunan ker atau baki bulanan ker ? Nampak saja 2 peratus, tapi jumlahnya tak mustahil sebenarnya sangat tinggi.